Saturday, May 22, 2010

Ziana pilih Mohd.


ZIANA ZAIN


MENGGUGURKAN Ketty Natalia Rasul atau Thalia daripada menjadi protegenya pada program Mentor 4 dilihat menjadi titik penamat. Tidak mementingkan diri sendiri, Ziana Zain sebaliknya turut meminta pandangan beberapa pihak - protege dan pihak produksi, sebelum menjatuhkan hukuman.

"Saya akui sukar hendak buat keputusan saat akhir ditambah hendak cari pengganti Thalia dalam masa 48 jam. Tetapi, saya kena hadapi juga situasi ini kerana memikirkan Thalia yang kurang yakin daripada segi mental dan fizikal mengharungi cabaran dalam program ini.

"Bukan mudah orang baru seperti Thalia menyesuaikan diri dalam keadaan ini. Lantaran itu, lebih baik saya menggugurkan Thalia sebelum terlambat. Apatah lagi pertandingan ini baru saja bermula, saya kena bertindak cepat," katanya ketika ditemui usai rancangan berkenaan di Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam minggu lalu.

Menolak desas-desus Thalia kurang berdisiplin untuk bekerjasama dengan dirinya yang mementingkan nilai kesempurnaan, Ziana memiliki alasan relevan tentang keputusan dibuat agar tidak disalah tafsir kemudian hari.

"Terus-terang, Thalia ada rupa dan bakat sebagai penyanyi. Cuma, keserasian saya dan Thalia sebagai mentor dengan protege mungkin tidak terlihat.

"Selama sebulan kami bekerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain. Namun, dia masih belum tunjuk peningkatan dalam tempoh percubaan. Tidak timbul istilah Thalia kurang berdisiplin," jelas Ziana.

Lebih mencabar, dalam masa singkat, Ziana terpaksa mencari pengganti Thalia. Namun, rezeki berpihak kepadanya selepas berjaya menemui Mohd. Izwan Mohd. Nor atau Mohd., 22. Menjalani uji bakat menjadi protege Mas Idayu di Johor Bahru, Johor, Mohd. kini berada di bawah jagaan Ziana.

"Mohd. merupakan protege pilihan tiga terbaik oleh Mas Idayu. Lagipun, saya tidak pakai ambil mana-mana orang untuk jadi protege. Dia ada bakat nyanyian bagus, suara tulen sebagai lelaki dan bersemangat memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Ini yang saya lihat pada pandangan mata sendiri.

"Alhamdulillah, persembahan Mohd. sewaktu menyampaikan lagu Mahakarya Cinta dan berduet dengan saya menerusi Senja Nan Merah boleh dianggap baik. Bayangkan, dia buat persediaan tergesa-gesa sebelum bermulanya pertandingan untuk kumpulan B," jelas Ziana.

Mohd. pula enggan mensia-siakan kepercayaan diberi. Katanya: "Walaupun tertekan kerana perlu belajar bermacam-macam perkara dengan Ziana dalam waktu 48 jam, ia bagaimanapun mengajar saya untuk menempuhi cabaran lebih berat selepas ini."

Pada program itu, Mohd. bersaing dengan protege Mus dari kumpulan May iaitu Ayim manakala Dayang Nurfaizah bersama anak didiknya, Adi. Biarpun masih baru, protege masing-masing menunjukkan kemampuan sebagai penyanyi sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Ayim yang mendendangkan lagu solo berbahasa Inggeris, Making Love Out Of Nothing At All dan bergandingan dengan mentornya dengan lagu medley, Dari Kacama dan Dalam Kembara mengungguli undian tertinggi pada minggu itu menewaskan Mohd. dan Adi.

Format pemarkahan menentukan pemenang dikira menerusi tiga bahagian. Sebanyak 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus oleh khidmat pesanan ringkas (SMS) dan selebihnya ditentukan juri awam.

Memasuki musim keempat, Mentor kali ini memperlihatkan Ajai selaku penasihat vokal manakala Sazlan Mat Adnan sebagai penasihat persembahan.

Mentor 4 bersiaran secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam dari Dewan MBSA Shah Alam. Peminat boleh mengunjungi laman web www.tv3.com.my/mentor4 untuk mendapatkan sebarang informasi terkini mengenai program tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: