KUALA LUMPUR: Penyanyi sepanjang zaman Datuk Yusni Hamid adalah antara empat seniman/seniwati tanah air menyerahkan koleksi masing-masing termasuk hasil karya dan rakaman lagu-lagu mereka kepada Arkib Negara hari ini.
Koleksi disampaikan kepada Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Sidek Jamil pada majlis bicara lagu "Irama Melayu Mewadah Warisan Bangsa" di sini, bagi tujuan rujukan dan penyelidikan generasi muda.
Datuk Yusni yang terlibat dalam dunia seni lebih 30 tahun dan popular dengan lagu 'Ku tak mengerti' dan 'Kasih ku abadi' menyerahkan gambar-gambar dan keratan akhbar mengenai kegiatan seninya.
Sementara Datuk M.Daud Wahid, presiden Persatuan Penyanyi dan Pencipta lagu Malaysia (Papita), penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Usah cemburu' dan 'Hanya irama dan Lagu' menyerahkan piring hitamnya yang berjudul "Pemandu Teksi" yang memuatkan lagu-lagu nyanyiannya di era 70an.
Manakala Mohd Wazata Zain pelawak terkenal dengan patung 'Chot' di era 70an dan 80an menyerahkan skor muzik lagu gubahannya yang bertajuk 'Seniman' yang dinyanyikan oleh Tan Sri S.M.Salim.
Borhan Ahmad, bekas penerbit TV3, yang merupakan ahli Papita menyerahkan CD lagu-lagu Melayu lama.
Sidek berharap lebih ramai penggiat seni negara dapat menyerahkan hasil karya seni mereka untuk simpanan Arkib Negara sebagai bahan rujukan para penyelidik.
Beliau berkata program bicara lagu irama Melayu hari ini, bertujuan merekodkan maklumat lisan daripada tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung atau tidak dalam perkembangan industri seni hiburan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: