
BANGKOK - Ibu negara Thailand semalam bergegar dengan pihak tentera sekali lagi melepaskan tembakan peluru hidup ke arah penunjuk perasaan antikerajaan pada hari ketiga untuk menyuraikan kumpulan itu yang dikepung sejak Khamis lalu.
Setakat ini, 22 orang dikhuatiri terbunuh dan lebih 160 cedera digempur pasukan keselamatan di kawasan seluas 3.5 kilometer yang dikuasai kumpulan itu dan merupakan penyokong bekas perdana menteri digulingkan, Thaksin Shinawatra.
Jurucakap tentera, Sansern Kaewkamnerd berkata, anggotanya dibenarkan menembak peserta kumpulan dikenali sebagai Baju Merah itu sebaik mereka cuba untuk mendekati kawasan dikawal pihak keselamatan dari jarak 36 meter.

BEBERAPA penunjuk perasaan mengangkat mayat seorang anggota Baju Merah yang ditembak oleh pasukan tentera Thailand semalam.
Langkah drastik itu dilihat sebagai tindak balas selepas penunjuk perasaan kelmarin dilihat semakin berani mencabar pihak tentera termasuk melancarkan serangan roket buatan sendiri dan menyebabkan ramai anggota tentera cedera.
Saksi-saksi berkata, keadaan di situ tidak ubah seperti berada di zon perang apabila mereka sempat melihat beberapa mayat dibawa keluar dengan pengusung manakala mangsa cedera dihantar ke sejumlah 20 buah hospital di sekitar Bangkok.
"Kami akan terus melawan," kata seorang pemimpin Baju Merah, Kwanchai Praipana yang memberi kata-kata semangat kepada ribuan aktivis di markas mereka sambil mengulangi tuntutan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva meletak jawatan.
Pihak tentera mula menguasai kawasan kepungan Baju Merah selepas berjaya menghalang penduduk daripada memasuki kem kumpulan itu yang mungkin menyeludup senjata selain menyekat bekalan air, elektrik dan talian telefon.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon menyuarakan kebimbangan ekoran keganasan pihak keselamatan menangani krisis politik Thailand selain nasib 17 juta penduduk Bangkok yang tidak menentu.
Beberapa kedutaan Barat di sini semalam mengeluarkan larangan sementara kepada rakyatnya berkunjung ke Bangkok sekali gus bakal menjejaskan ekonomi negara itu yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: