Sunday, May 23, 2010

Suzie penyokong kuat Liverpool


BANGGA bersama koleksi peribadinya.


WARNA merah yang menghiasi logo kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool ternyata memikat hatinya. Kerlipan dan sinaran terang pada logo itu seolah-olah menceriakan kehidupan dan melancarkan aktiviti harian Norsuziyannie Mat Noor atau mesra disapa Suzie.

Minat terhadap kelab bola sepak ternama itu menyebabkan anak kelahiran Kangar, Perlis sangat arif tentang segala-galanya berkaitan pasukan tersebut. Dia juga rajin membuat kajian dan perincian tentang profesionalisme pasukan itu pada masa lapangnya.

Tambahan pula, Suzie adalah seorang wanita yang berjiwa lasak dan gemar sukan ekstrem yang mencabar. Itu yang mendekatkan lagi jodoh Suzie dengan pasukan Liverpool tersebut.

‘‘Saya turut berkongsi meminati Liverpool bersama kakak Norzita dan abang ipar, Sanusi Shaari. Dengan mereka saya berkongsi rasa tentang pasukan kegemaran kami. Saya juga tidak lepaskan peluang untuk menonton perlawanan melibatkan pasukan Liverpool yang disiarkan secara langsung di rumah mereka,’’ katanya yang meminati Steven Gerrard dan Fernando Torres.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga menyertai aktiviti Kelab Penyokong Liverpool Malaysia (LVSM) sebagai bukti sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pasukan yang dikenali dengan slogan U’ll Never Walk Alone.

Pada masa yang sama, Suzie menyimpan impian untuk ke Anfield, United Kingdom bagi menyaksikan perlawanan pasukan itu secara langsung. Dia mahu sangat melihat Gerrard beraksi di hadapan matanya sendiri.

Ditanya tentang prestasi Liverpool, graduan Sarjana Muda Pengurusan Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersebut enggan mengulas lanjut. Dia mahu berfikiran positif terhadap pasukan kegemarannya. Tidak ada yang perlu diceritakan kerana dia amat berharap agar Liverpool dapat bangkit semula dari kejatuhan selepas mengalami mimpi teruk pada musim ini.

Sementelah bercerita tentang bola sepak, Suzie turut menyatakan sokongan terhadap pasukan bola sepak tempatan terutama Selangor dan Perlis. Pendapatnya, dua pasukan tersebut mempunyai kekuatan tersendiri setiap kali beraksi di padang.

Apatah lagi selepas mengikuti prestasi kedua pasukan sejak di zaman persekolahannya. Suzie cukup terkenal dengan watak ‘keras’ turut menjadi sasaran bahan umpatan di kalangan rakan perempuannya.

Ia terjadi selepas Suzie kerap memakai baju T dan berseluar jeans sedangkan teman lain sudah pandai berfesyen dan menata rias diri. Namun sekarang semuanya sudah berubah kerana Suzie semakin bijak mengimbangi kedua perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: