Saturday, May 22, 2010

Skil atasi fobia




TEMPOH sepuluh minit sudah pun berlalu, namun gadis itu masih berdiri tegak di tepi kolam renang. Belum ada tanda-tanda dia akan terjun ke dalam kolam itu seperti para peserta lain.

Mata Nordiana Zulkifli hanya merenung ke dasar kolam sedalam lebih lima meter itu. Jantungnya berdegup kencang, butir-butir peluh mula membasahi dahinya.

Walaupun dilengkapi jaket keselamatan namun gadis berusia 27 tahun itu masih gementar, hatinya berbelah bahagi sama ada mahu meneruskannya atau tidak, apatah lagi itu merupakan pengalaman pertamanya terjun ke kolam sedalam itu.

“Awak boleh lakukan, ambil masa kamu, bila dah bersedia baru terjun. Jangan bimbang saya dan jurulatih lain ada di sisi untuk pastikan keselamatan awak,” kata jurulatih skuba dan penyelamat Dolphin Sport Adventure, Lee Bee Liong.

Gadis itu akhirnya nekad terjun. Sebaik tubuhnya menghempas air, dia mula panik, tangannya terkapai-kapai cuba mencari Bee Liong yang sedia menunggu untuk berpaut.

Sebagai seorang yang berpengalaman selama berbelas-belas tahun dengan aktiviti berkaitan air sama ada renang, menyelamat atau selam skuba, Bee Liong sudah biasa berhadapan individu seperti Nordiana.

Bee Liong memberi kata-kata semangat kepada Nordiana untuk meneruskan renangan sehingga ke hujung kolam. “Awak perlu berani, selagi awak tidak mencuba selagi itulah awak tidak akan berupaya melawan perasaan takut,” tambahnya.

Bagi Bee Liong, ketakutan terhadap air timbul apabila seseorang itu tidak menguasai kemahiran asas berenang menyebabkan mereka mudah panik sekiranya berada di persekitaran akuatik.

Sebagai jurulatih dia bukan sahaja mengajar cara-cara berenang tetapi pada yang sama turut mementingkan aspek pemahaman asas iaitu keyakinan diri dan teknik survival di dalam air.

“Bagi mereka yang fobia terhadap air, stigma mereka sentiasa membayangkan sesuatu yang negatif misalnya, aku boleh mati lemas dan aku tidak pandai berenang.


STEVEN (kanan) menunjukkan cara-cara memasang spinalboard kepada peserta.


“Kami bertanggungjawab menghapuskan stigma ini sama ada melalui pendekatan psikologi dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap air, selepas itu barulah proses pengajaran secara teori dan praktikal dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika ditemui semasa mengendalikan Kursus Penyelamat Trauma Akuatik kepada 20 kakitangan dari pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur di Stadium Sukan Negara, Shah Alam baru-baru ini.

Bee Liong berkata, pengalamannya menyelamatkan seorang mangsa lemas ketika bertugas sebagai penyelamat di sebuah kolam renang di sekitar Lembah Klang kira-kira lima tahun lalu membuktikan kursus sedemikian amat penting bagi setiap individu.

Jelasnya, ketika kejadian tiada siapa yang menyedari kehadiran dua lelaki berkenaan yang menyusup masuk ke kawasan kolam berkenaan.

“Waktu operasinya pada hari itu telah tamat dan ia ditutup kepada pengunjung, salah seorang daripada mereka terjun ke dalam kolam itu sebelum tiba-tiba lemas.

“Secara kebetulan saya masih berada di sekitar kawasan itu, selepas mendengar jeritan rakannya saya bergegas menyelamatkan mangsa yang sudah tidak sedarkan diri, bantuan yang tepat pada waktunya serta resusitasi kardiopulmonari (CPR) ternyata berjaya menyelamatkan nyawanya,” ujar Bee Liong.

Kecemasan dalam air Bee Liong membayangkan situasi akan menjadi berbeza sekiranya dia tidak berada di situ atau orang lain yang melihatnya tidak mempunyai pengetahuan menangani kes kecemasan di dalam air

Pengetahuan di dalam kursus ini bukan sahaja penting untuk mereka yang mahu menjadi penyelamat, tetapi kepada orang ramai sebagi persediaan untuk mereka kerana malang tidak berbau, sekurang-kurangnya tindakan pantas yang dilakukan boleh menyelamatkan mangsa,” katanya.

Kursus Penyelamat Trauma Akuatik yang dianjurkan oleh St. John Ambulans Malaysia dengan kerjasama Dolphin Sport Adventure itu bukannya sesuatu yang baru malah telah diperkenalkan di negara ini sejak sedekad lalu.

Modul yang sama pernah dipraktikkan di beberapa negara seperti Australia, Britain dan Amerika Syarikat (AS) bertujuan melatih anggota pasukan keselamatan, penyelamat pantai serta petugas paramedik.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini barulah ia dibuka kepada orang awam seiring dengan permintaan daripada pengusaha pusat-pusat rekreasi air yang semakin bertambah.

Jurulatih kanan Unit Latihan dan Pemasaran St. John Ambulans Malaysia, Steven Wong berkata, secara umumnya, kursus berkenaan merangkumi kaedah sokongan hayat, keselamatan dalam air dan variasi teknik menyelamat di samping latihan tindak balas kecemasan akuatik.

“Setiap situasi kecemasan adalah berbeza-beza, banyak faktor yang perlu ditimbangkan paras air, keadaan mangsa dan lokasi di mana ia berlaku.


KEYAKINAN diri penting ketika berada dalam air.


“Lebih penting, teknik yang digunakan mestilah betul dan sesuai bagi mengelakkan risiko kepada penyelamat sekali gus mengelakkan kecuaian serta meminimumkan risiko kehilangan nyawa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Steven berkata, para peserta berlatih menggunakan peralatan keselamatan seperti pelampung, jaket keselamatan, resque can dan resque tube serta spinalboard yang sering digunakan oleh pasukan penyelamat dan paramedik.

Dalam kebanyakan kes lemas, kebanyakan mangsa tidak sedarkan diri akibat kecederaan di leher.

Penggunaan objek

“Jika mangsa sedar, mereka masih boleh menjerit meminta tolong, bagaimanapun mangsa yang tidak sedar agak sukar kerana penyelamat tidak tahu kecederaan yang dialaminya.

“Sebab itulah dalam kursus kita lebih menekankan kaedah menyelamat mangsa yang tidak sedarkan diri misalnya teknik mengapungkan mangsa, di samping bantuan awal yang boleh diberikan seperti CPR di dalam air,” ujarnya.

Pada masa yang sama, tambah Steven, mereka yang ingin menyelamatkan mangsa lemas juga perlu lebih kreatif sekiranya peralatan itu tidak ditemui di sekitar kawasan kejadian.

“Setiap saat memberi makna di antara hidup dan mati, justeru penggunaan objek-objek seperti dahan pokok, batang kayu, baldi atau bekas plastik kosong, tali dan seluar panjang boleh dijadikan alat yang berkesan untuk menyelamatkan mangsa lemas.

“Sekurang-kurangnya mereka tahu cara-cara untuk bertindak balas sekiranya berada dalam situasi berkenaan sama ada di tasik, sungai, laut dan kolam renang tanpa menunggu bantuan semata-mata, ia mampu mengurangkan risiko kematian,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta Dayang Wirdayana Raynilda Abdul Hamid, 26 berkata, kursus itu memberi panduan kepada para peserta mengenal pasti risiko dan cara-cara menghadapi kemungkinan serta kesannya.

Berpengalaman mengikuti kelas renang sebelum ini, dia berpendapat, pengajaran sedemikian tidak boleh diperoleh di dalam buku kecuali mereka mengalaminya sendiri.

“Saya melihat kesedaran masyarakat masih rendah kerana apabila berlaku sesuatu kecemasan mereka tidak tahu bertindak dan hanya menunggu bantuan semata-mata.


TEKNIK CPR merupakan teknik asas bagi menyelamatkan mangsa lemas.


“Sedangkan pengetahuan dan kemahiran itu sangat penting untuk menyelamatkan nyawa seseorang tidak kira sama ada ia berlaku di darat atau di dalam air,” katanya.

Rakannya, Tan Choon Siong, 27, memberitahu, banyak pengalaman yang diperoleh sepanjang mengikuti kursus berkenaan.

“Tidak semestinya mereka yang ingin menyelamatkan mangsa lemas perlu mempunyai kemahiran berenang, sebaliknya kita boleh memanipulasikan objek di sekeliling kita bagi tujuan itu.

“Walaupun ia sekadar di peringkat asas, namun ia sudah cukup memberi keyakinan kepada peserta kursus ini bahawa mereka juga berupaya menyelamatkan nyawa orang lain asalkan kaedah dan tekniknya betul,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: