![]() |
| ABDUL Hamid Abu Bakar (tiga kiri) bergambar bersama peserta nasyid dari Sekolah Kebangsaan Teruntum yang muncul johan pertandingan nasyid kontemporari sekolah rendah sempena Festival Hari Guru di pusat beli-belah East Coast Mall Kuantan, kelmarin. Hadir sama pada majlis itu, Othman Mohamad (dua kiri). |
KUANTAN 14 Mei - Lagu Ucapan Yang Baik dan Anak Soleh memberi tuah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum untuk muncul juara dalam pertandingan nasyid kontemporari sekolah rendah sempena Festival Hari Guru di pusat beli-belah East Coast Mall di sini semalam.
Dengan kemenangan itu, SK Teruntum menewaskan sembilan lagi sekolah rendah dalam pertandingan peringkat daerah itu.
Kemenangan itu membolehkan SK Teruntum membawa pulang hadiah wang tunai RM200, hamper dan sijil penyertaan.
Naib johan disandang oleh SK Sungai Talang yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150, hamper dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga disandang SK Permatang Badak yang membawa pulang wang tunai RM100, hamper dan sijil penyertaan.
Semua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Hamid Abu Bakar.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.
Sementara itu guru pembimbing kumpulan nasyid tersebut, Nor Ainanee Mohamad Nor ketika ditemui berkata, anak-anak didiknya mengadakan latihan selama dua minggu sebelum menyertai pertandingan tersebut.
Menurutnya, mereka tidak menyangka muncul juara kerana tempoh latihan yang dijalankan terlalu singkat.
''Kami bersyukur kerana menjadi johan walaupun baru pertama kali menyertai pertandingan seumpama ini," katanya yang merupakan guru muzik sekolah itu.
Nor Ainanee memberitahu, dengan kejayaan itu pihaknya berazam akan melakukan yang terbaik dalam pertandingan nasyid peringkat negeri tidak lama lagi.
Tambahnya, ahli kumpulan nasyid sekolah itu terdiri daripada 10 murid lelaki dari tahun empat hingga enam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: