Saturday, May 22, 2010

Sindiket resit tol palsu tumpas


Shafien menunjukkan sebahagian daripada resit kosong yang digunakan oleh sindiket untuk mencetak resit palsu pembayaran tol di Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.


NIBONG TEBAL - Para pemandu kenderaan berat yang mahu menipu boleh mendapatkan resit tol bernilai RM141.70 bagi perjalanan dari Ipoh Selatan, Perak ke Skudai, Johor melalui Lebuh Raya Utara- Selatan hanya dengan harga RM4.

Kegiatan sindiket yang aktif sejak 14 bulan lalu itu terbongkar apabila polis yang menerima maklumat daripada orang awam menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Keramat Permai di sini pada Isnin lalu.

Pemeriksaan mendapati rumah tersebut telah diubahsuai menjadi sebuah pejabat kecil bagi menjalankan operasi mencetak dan menjual resit tol palsu kepada golongan pemandu kenderaan berat khususnya pemandu lori.

Pemandu kenderaan berat yang membeli resit pembayaran tol palsu itu akan menggunakan jalan lama untuk menghantar barangan yang diarahkan oleh majikan masing-masing sebelum menggunakan resit palsu itu untuk membuat tuntutan bayaran tol daripada majikan mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 34 tahun yang bekerja sebagai kerani di rumah tersebut.

"Kita merampas satu set komputer, pencetak dan beberapa gulung resit kosong bercetak logo Lebuh Raya Utara-Selatan dan syarikat konsesi Shahpadu," kata beliau di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: