|
|
NAMPAKNYA untuk tempoh tiga tahun akan datang, aktor kelas atas Hollywood, Sean Penn harus bersikap baik. Jika dia melanggar etika, pemenang Oscar berusia 49 tahun ini akan berhadapan dengan hukuman penjara.
Ini kerana aktor ini baru sahaja dijatuhi hukuman tiga tahun masa percubaan dengan 36 jam tempoh mengikuti kelas mengawal kemarahan atas tuduhan mencederakan seorang paparazi.
Sean juga harus melakukan kerja komuniti selama 300 jam. Jika dia gagal mengawal kemarahan atau menjalankan hukuman yang diberikan dalam masa tiga tahun, dia akan dimasukkan ke penjara.
Aktor tersebut bagaimanapun tidak hadir ke Mahkamah Los Angeles sewaktu pertuduhan berjalan dan hanya diwakili peguamnya.
"Anak guam saya tidak berminat memanjangkan hal ini di mahkamah. Secara dasarnya dia bersetuju dengan hukuman yang dijatuhkan kepadanya dan mahu meneruskan kehidupan seperti biasa," begitu peguamnya, Richard Hirsch memberitahu majalah People.
Terdahulu, Sean didakwa telah mencederakan seorang jurugambar pada Oktober tahun lalu di Brentwood, California. Melalui video yang dirakamkan, jelas menunjukkan Sean memaki jurugambar sebelum menendangnya beberapa kali.
Selain mengalami kecederaan, kamera yang digunakan jurugambar tersebut juga mengalami kerosakan teruk akibat serangan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: