KUALA LUMPUR: Setiap penyingkiran peserta berbakat Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) akan menyedihkan Pengetuanya, Norman Abdul Halim.
Norman sejujurnya berasa terkilan kerana Ain boleh dikategorikan sebagai pelajar yang berbakat dalam AF8.
"Kalau ikut prestasi, saya tak rasa Ain patut disingkirkan, tetapi saya akur dengan keputusan itu.
"Ini kerana ia bukan dilihat semata-mata dari aspek prestasi tetapi ada kaitan dengan populariti seseorang pelajar itu," katanya pada sidang akhbar sejurus AF8 minggu kesembilan berakhir.
Norman mendedahkan jangkaannya bahawa pelajar berbakat tetapi kurang dari segi populariti akan tersingkir pada minggu kesembilan menepati keputusan undian.
Katanya, pelajar terbabit yang dijangka tersingkir ialah Ain dan Maulana yang memang berbakat dalam akademi.
Ternyata Ain terpaksa akur perjalanannya dalam AF8 telah berakhir.
Bagaimanapun tegas Norman, perjuangan Ain belum berakhir kerana pihak Astro Entertainment dan KRU Studios sudah membuat persiapan rapi untuk membantunya dan peserta-peserta yang tersingkir sebelum ini.
"Mereka bernasib baik kerana masing-masing sudah membuat single mereka. Kita telah keluarkan single Ain bertajuk Menanggung Sepi supaya popularitinya berterusan sepanjang tahun ini.
"Mudah-mudahan dengan apa yang akan diusahakan di AF8 ini, Ain akan terus berjuang dalam industri muzik pada masa akan datang," ujarnya.
Sementara itu, Pengetua AF8 ini meramalkan Shahir dan Adira bersaing hebat menjadi juara kerana popular.
"Saya dah tengok, nampak dan lihat dari segi sokongan pengundi terhadap mereka berdua," katanya.
Dalam pada itu, Norman berkata, dia turut berjaya menelah kemasukan Iwan dan Daus ke konsert akhir AF8 Sabtu ini.
"Saya tahu Iwan dan Daus akan layak masuk ke final. Mereka adalah pelajar yang popular, dan akan masuk ke final walaupun prestasi mereka terumbang-ambing serta tidak membuat persembahan cemerlang sebelum ini. Inilah hakikat yang saya terima."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: