Monday, May 24, 2010

Sanggul lintang kian berkubur


Sanggul lintang dipakaikan dengan dihiasi cucuk sanggul dan bunga melor.


Tangkas bersilat langkah Tun Teja

Terhunus keris bertatah nilam

Cantik dipandang pengantin Melaka

Bersanggul lintang pusaka silam

Sanggul lintang terkenal di Melaka dan dipakai oleh pengantin perempuan sejak dahulu sehingga sekarang. Tidak berseri atau tidak lengkap seseorang pengantin perempuan itu jika kepala tidak dihias dengan sanggul lintang.

Sanggul lintang mungkin mendapat namanya kerana bentuk sanggul itu yang melintang atas kepala dan bukan di belakang seperti kebanyakan sanggul lain.

Ia yang turut dikenali sebagai sanggul bermahkota kerana perhiasan seperti mahkota di atas kepala. Dipercayai ia berasal daripada hiasan kepala yang biasa digunakan oleh masyarakat Cina peranakan atau Baba dan Nyonya di negeri itu.

Perhiasan itu menjadi kemestian dipakai ketika persandingan perkahwinan masyarakat Melayu Melaka zaman dahulu. Bagaimanapun ia telah diubah suai bagi disesuaikan dengan pemakaian pengantin pada masa kini.

Usahawan dan pengasas Andak Spa di Bandar Hilir, Melaka, Raja Abdul Rahim Raja Hussin atau lebih dikenali sebagai Andak bimbang jika kegemilangan sanggul lintang terus dilupakan lantas beliau berusaha untuk mengembalikan semula zaman gemilang pemakaian sanggul lintang di kalangan pengantin.

Andak handal dalam menghasilkan mahkota sanggul lintang Melaka serta tiara manik yang dijahit sendiri di butik milik isterinya Zanariah Suboh di Bukit Baru, Melaka. Zanariah yang mengusahakan butik Cantik Creative Creation ini berpengalaman selama 27 tahun mengandam dan memakaikan sanggul lintang Melaka pada pengantin.

Andak memberitahu, sanggul lintang Melaka merupakan pusaka silam dan dipakai semasa majlis perkahwinan.

''Sekiranya pengantin perempuan ingin memakai sanggul lintang pada malam berinai, ia mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga jam bergantung kepada kepakaran mak andam.

''Pengantin yang ingin memakai sanggul lintang Melaka terpaksa menahan beban berat mahkota sehingga tiga kilogram mengikut bilangan lapisan pencucuk sanggul yang dipakai. "Orang-orang dahulu percaya berat mahkota yang dipakai melambangkan beban berat yang harus dipikul oleh isteri,'' jelas Andak.

Tambahnya, semasa memakaikan pencucuk sanggul di kepala, mak andam akan berselawat dan berzikir bertujuan menaikkan seri pengantin pada malam itu. Mempelai akan nampak lebih berseri dan sempurna sekiranya memakai baju pengantin songket atau broked.

Pengantin perempuan akan dilengkapkan dengan perhiasan lain seperti alas dada, juntaian bunga melor, gelang kaki tembaga dan kasut baldu bertekat. Pengantin lelaki pula akan dipakaikan dengan jubah ala Parsi dan hiasan kepala yang dipanggil tengkolok yang menambahkan gaya segak seperti pahlawan.

Selain membuat dan mempunyai pelbagai koleksi mahkota sanggul lintang Melaka, Andak juga memiliki koleksi beberapa pasang baju lama yang dibuat daripada songket dan broked bermutu tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: