![]() |
| DALI (kiri) dan Wani berduet menerusi lagu Derita Merindu. |
SEJAK empat bulan lalu, Program Malam Bersama Bintang (PMBB) anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada Jumaat minggu kedua setiap bulan mendapat sambutan hangat para peminat filem tempatan.
Buktinya program yang diadakan secara percuma itu berjaya menarik hampir 500 pengunjung setiap kali ia diadakan di Dataran Karyawan Finas di Hulu Klang, Selangor mulai pukul 8 malam hingga 12 malam dengan pelbagai aktiviti.
Bagaimanapun, setiap kali PMBB yang diadakan bertujuan untuk merakyatkan dunia perfileman kepada masyarakat itu, kebanyakan peminat yang hadir merupakan mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang sahaja.
Justeru, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim menyambut baik cadangan supaya program anjuran perbadanan itu dapat diperluaskan tontonannya termasuklah menerusi Internet di cinemamalaysia.com.my.
Katanya, menerusi rakaman PMBB itu, ia boleh disiarkan melalui Portal Perfileman Malaysia yang dikelolakan oleh Finas dan ditonton secara percuma oleh para pelayar laman sesawang itu walau di mana-mana juga.
“Bagus. Saya setuju dengan cadangan itu. Ia suatu idea yang baik di mana kami pun tidak terfikir sebelum ini. Mungkin inilah masanya kita menggunakan segala kemudahan dan teknologi yang ada bagi memperluaskan lagi PMBB demi industri filem kita.
“Kita akan memikirkan cadangan itu dan berusaha bagi merealisasikannya. Kalau idea itu dapat dilaksanakan, PMBB akan dapat ditonton di seluruh negara, malah di seluruh dunia. Itu lebih baik dan memang menjadi harapan Finas.
“Dengan adanya kemudahan itu, para peminat yang tinggal jauh, contohnya di Sabah dan Sarawak tidak perlu datang ke Finas untuk menonton PMBB tetapi hanya sekadar melayarinya di Internet,” katanya penuh optimis.
Namun, beliau yang ditemui pada PMBB di Dataran Karyawan Finas menjelaskan, beberapa perkara termasuklah soal hakcipta kepada lagu-lagu dan filem yang akan disiarkan melalui portal itu juga harus diperhalusi.
Ini kerana katanya, PMBB bukan setakat menayangkan filem-filem tempatan yang baru sahaja ditayangkan di pawagam-pawagam tetapi juga melibatkan persembahan lagu-lagu yang disampaikan oleh para penyanyi jemputannya.
“Ada beberapa perkara yang perlu diambil kira kalau kita mahu menyiarkan rakaman PMBB di portal kami. Ia melibatkan hakcipta, kebenaran dan bayaran royalti yang harus dibayar kepada pemegang hakciptanya,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd. Mahyidin turut memberitahu, sebuah program seperti battle of the band akan diadakan melibatkan agensi-agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).
Finas jelasnya, yang turut berada di bawah kementerian itu akan menampilkan sebuah kumpulannya sendiri iaitu Band Finas bagi memeriahkan lagi program tersebut sempena sambutan Hari Seniman tidak lama lagi.
“Setakat ini, ada lebih kurang lima kumpulan pemuzik di bawah agensi KPKK. Setiap kumpulan akan diminta memainkan dua buah lagu yang dipetik daripada filem-filem tempatan sama ada lama dan baru pada program tersebut.
“Kami di Finas menyambut baik penubuhan Band Finas kerana ia boleh digunakan pada majlis-majlis anjuran perbadanan ini. Ia juga sebagai salah satu aktiviti sosial anggota-anggotanya yang terdiri daripada kakitangan Finas,” jelasnya.
Band Finas yang dianggotai enam anggota dengan diketuai oleh Erik Latiff selaku pemain keyboards yang juga merupakan anak penyanyi popular tahun 1970-an, Latiff Ibrahim turut mengadakan persembahan pada PMBB.
Pada program malam itu, pelakon filem Zoo iaitu Lan Pet Pet, Azlee Jaafar dan Lisa Surihani sempat mempromosikan filem terbaru mereka itu yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 1 Julai ini.
Selain tayangan filem Evolusi KL Drift 2 arahan Syamsul Yusof, PMBB kali keempat itu yang bertemakan irama hip hop turut menjemput beberapa penyanyi dan pemuzik bagi memeriahkan lagi program tersebut.
Antara artis undangan pada program yang diacarakan oleh Bob Renggo (Suria FM) dan Umie itu ialah kumpulan One Nation Emcees, Dali (Ahli Fiqir), Wana, Tengku Ryo serta sketsa spontan Lan Pet Pet, Azlee serta Lisa Surihani.
Selain Mohd. Mahyidin Mustakim, turut sama memeriahkan PMBB ialah Timbalannya, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab, pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr. Megat Imran bersama kira-kira 50 anak-anak yatim Rumah Bakti Hulu Klang dan ahli-ahli Kelab Pencinta Filem Malaysia.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: