Friday, May 14, 2010

Perjuangan Rabbani tiada noktah



Biarpun sudah hampir setahun kumpulan nasyid Rabbani kehilangan vokalis utamanya, Allahyarham Asri Ibrahim, ia bukanlah titik noktah perjuangan mereka dalam industri nasyid tempatan.

Bagi salah seorang anggota Rabbani, Azadan Abd Aziz, mereka berlapan bertekad terus memperjuangkan semangat Allahyarham Ustaz Asri dan sentiasa memegang kata-kata arwah iaitu ‘tiada satu noktah pun untuk Rabbani berhenti daripada industri seni ini’.

“Kami akan terus pegang kata-kata Allahyarham dan jadikan ia sebagai semangat untuk meneruskan dakwah dan menghiburkan masyarakat. Malah, kami jadikan imej dan personaliti Allahyarham sebagai satu ikutan yang berterusan.

“Malah semasa Allahyarham pergi meninggalkan kita, ramai kawan-kawan Allahyarham yang datang bertemu kami dan memberi semangat untuk meneruskan Rabbani. Allahyarham juga pernah berkata kepada salah seorang penganjur, jika dia tiada, Ustaz Zul pun boleh menyanyi, jadi pada perjumpaan pertama kumpulan, kami terus sepakat memilih Ustaz Zul sebagai penyanyi utama Rabbani,” katanya yang ditemui pada majlis ulang tahun Rabbani yang ke 13.

Walaupun risau peminat tidak dapat menerima kehadiran mereka tanpa Allahyarham, Rabbani tetap mencuba dan membina empayar mereka di dalam industri nasyid tempatan dan memberikan yang terbaik kepada peminat mereka.

Mengulas mengenai kekalahan Rabbani yang tidak menerima sebarang anugerah menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM) ke 17 baru-baru ini, Azadan menjelaskan tiada timbul rasa terkilan tetapi sekadar mengingati prinsip Allahyarham, pergi atas jemputan bukan untuk menerima anugerah.

“Kami akui album Mahabbah ada kekurangan teknikal kerana dirakam dalam tempoh yang singkat iaitu cuma dua minggu sebelum kami bertolak ke Jordan. Jadi apabila beberapa pencalonan dari album itu tak memenangi anugerah, saya terima dan tak terasa apa-apa.

“Seperti yang dinyatakan, Rabbani tidak akan berkubur dan akan terus bertapak. Cuma berilah kami masa dan ruang untuk kami buktikan. Walaupun lagu Kejora Sinar Zaman tercalon sebagai lagu terbaik, kami dedikasikan lagu itu khas buat Allahyarham,” katanya yang akan menemui pihak KRU untuk mendapatkan khidmat untuk album seterusnya terutama dari sudut muzik mereka.

Dalam majlis sama, Rabbani turut diumumkan sebagai duta kepada produk Uzai iaitu produk penjagaan diri, rumah dan kereta.

1 comment:

  1. Al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Asri. Salam perjuangan untuk semua ahli kumpulan Rabbani. Teruskan perjuangan anda. Tiada noktah dalam diri seorang pejuang. Apatah lagi dalam meneruskan kesinambungan perjuangan demi Agama Islam. Jangan takut kerana peminat tidak menerima kumpulan Rabbani, tapi takutlah jikalau Allah S.W.T yang tidak menerima kita. Teruskan perjuangan. Walaupun kita tidak mendapat award dalam mana-mana Anugerah Industri Muzik di tanahair, tapi insyaallah kita menerima AWARD (buku amalan) melalui tangan kanan di Padang Masyar nanti. Salam untuk semua. ALLAH MAHA BESAR.....

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: