Friday, May 21, 2010

Perjalanan Zulkifeli empat dekad




HENING pagi Subuh di sebuah kebun kelapa di wilayah bergolak Mindanao, Filipina tiba-tiba bertukar menjadi medan berdarah apabila bunyi tembakan bertali arus seperti menunjukkan tidak ada pihak yang mahu berhenti.

Sekitar 70 askar tentera Filipina yang menyusup masuk ke kawasan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menyebabkan hampir 50 anggota MILF bertindak balas dengan melakukan serangan bertubi-tubi.

Pertempuran awal pagi itu menyebabkan Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin bingkas bangun daripada tidur, menuju ke medan berdarah tersebut bersama anggota pasukannya. Beliau ketika itu merupakan Komander Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di kepulauan tersebut yang pertama kali ditubuhkan, malah mengepalai pasukan yang terdiri daripada tiga buah negara termasuk Brunei Darussalam dan Libya.

Perjalanan menaiki kenderaan ke kebun kelapa tersebut memakan masa hampir sejam sebelum Zulkifeli terpaksa berjalan kaki beberapa ratus meter meredah belukar. Ketika itu di fikirannya tidak lain, hanya ingin menamatkan pertempuran tersebut. Beliau enggan lebih banyak darah tumpah selepas peperangan di Mindanao yang berlarutan sejak tiga dekad mengorbankan lebih 120,000 nyawa.

Sebaik tiba di lokasi tersebut tanpa menghiraukan nyawanya sendiri, Zulkifeli bergerak meredah lautan peluru di tengah-tengah medan pertempuran yang jaraknya hanya sekitar 50 meter.

Sambil melaungkan kehadiran pasukan IMT, Zulkifeli meminta mereka berhenti berbalas tembakan. Ketika itulah kehebatan pasukan IMT yang dikepalai Malaysia begitu terserlah, apabila atas rasa hormat dan kepercayaan kepada IMT dan Zulkifeli sendiri, kebun kelapa tersebut sunyi daripada bunyi tembakan.

Malah, dalam ketegangan itu, Zulkifeli bukan sahaja berjaya meminta ketua kedua-dua pasukan mengundurkan anggota masing-masing sekitar sepuluh meter ke belakang, bahkan berjaya memujuk mereka bertemu untuk berbincang.


ZULKIFELI (kanan) mengiringi Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada satu lawatan baginda ke London.


Menjadi perintis pertama IMT di Mindanao, cabaran Zulkifeli dan pasukannya ternyata sangat hebat. Kejayaan menyemai bibit keamanan dan jalan ke meja rundingan dan kepercayaan itu menyebabkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diberi mandat mengepalai IMT lima kali berturut-turut sehingga tahun ini.

“Pengalaman di Mindanao meninggalkan kesan yang mendalam dalam kerjaya saya kerana cabarannya sangat hebat. Mendamaikan dua pihak yang telah berperang sejak tiga dekad lalu, bahkan menghentikan pelbagai ancaman lain seperti daripada anggota Abu Sayyaf sememangnya menuntut kekuatan fizikal dan mental,” kongsi Zulkifeli sambil mengakui tanggungjawab mengibarkan bendera Malaysia di Mindanao membuatkan semangatnya sentiasa berkobar-kobar.

Kisah keberanian dan semangat keperwiraan anak Melayu di bumi Mindanao itulah, Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo menganugerahkan Zulkifeli pingat Legend of Honour. Pingat tersebut merupakan anugerah pertama diterima oleh seorang anak Malaysia.

Mempunyai rekod cemerlang sejak menjejakkan kaki ke Sekolah Pegawai Kadet di Port Dickson dan Akademi Tentera Diraja Sandhurst, England, maka tidak hairanlah langkah anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu melaksanakan tugasnya sebagai anggota Askar Melayu Diraja meniti penuh sempurna sejak dari awal.

Hari ini, selepas 38 tahun menumpahkan keringat dengan penuh keberanian, Zulkifeli diangkat sebagai Panglima Tentera Darat yang ke-23 bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin yang bersara wajib.

Hakikatnya, tidak pernah pun terlintas di fikiran lelaki itu untuk menjadi nakhoda pasukan Tentera Darat yang menjadi tiang seri ATM. Dalam nada merendah diri, luah Zulkifeli, saat menyarung uniform Askar Melayu Diraja, dia sekadar menyimpan cita-cita untuk bergelar brigadier jeneral.

“Sewaktu bergelar leftenan muda, saya memang memasang impian untuk menjadi seorang jeneral, tetapi saya cakap dalam hati kalau dapat jadi brigadier jeneral pun jadilah. Waktu itu, tidaklah pernah terlintas untuk menjadi Panglima Tentera Darat.

“Namun, apa yang lebih penting adalah kecintaan saya pada kerjaya ini. Walaupun latihannya keras dan mencabar tetapi jiwa saya serasi dengan disiplin dan peraturan dalam pasukan beruniform. Malah, sewaktu bekerja keseronokan saya adalah perhubungan dan kebertanggungjawaban terhadap anggota yang dianggap sebagai sebuah keluarga,” katanya yang menyertai pasukan Kadet Bersatu Malaysia sejak di bangku sekolah.

Malah, masih segar di kotak fikiran Zulkifeli, selepas tamat peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) dia terpaksa memujuk kedua-dua orang tuanya untuk membenarkan beliau menyertai angkatan tentera kerana mereka bimbang kerjaya tersebut berisiko dan sangat mencabar fizikal.

Impian tercapai

“Selepas itulah saya memohon memasuki pegawai kadet dengan mendapat latihan di Sekolah Pegawai Kadet Port Dickson sebelum menyambung pengajian di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi.

“Kemudian daripada 100 orang pegawai kadet, saya antara dua orang yang terpilih mendapat tawaran ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom selama setahun iaitu enam bulan latihan pegawai kadet dan enam bulan lagi sebagai leftenan muda,” luah Zulkifeli, 56, membuka kisah perjalanan kariernya dalam temu bual eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.

Bercerita perjalanan 38 tahun dalam Tentera Darat, beritahu suami kepada Datin Umi Kalsom Wan Awang itu, antara jawatan yang telah disandangnya dalam perjalanan meniti ke puncak kerjaya sekarang termasuklah Ketua Platun Unit Combat Intelligent Sport (UCIS) Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Terendak; pegawai risik; pegawai jurulatih di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Ketua Kompeni di Batalion 20 Kem Desa Pahlawan Kelantan sebelum ditukar ke Sibu sebagai pegawai staf 2 (Operasi).

Beliau kemudian pulang ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di Department Tentera Darat sebagai pegawai staf 2 (Gerak) diikuti pegawai staf 2 (Latih). Pada tahun 1991, Zulkifeli dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pegawai Pemerintah Batalion keenam Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Taiping, Perak diikuti Pegawai Memerintah di Batalion Kesembilan Kem Terendak, Melaka sebelum bertukar ke Markas Tentera Darat cawangan Pembangunan Tentera Darat.

Memegang jawatan kolonel pada tahun 1997, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu diberi mandat sebagai Komanden Pulada Ulu Tiram, Johor sebelum dilantik sebagai Pengarah Infantri Kem Markas Tentera Darat.


ARROYO (kiri) menyampaikan pingat Legend of Honour kepada Zulkifeli.


“Ketika itu, saya melihat peluang untuk mencapai impian bergelar Brigadier Jeneral semakin terbentang luas. Apatah lagi, bidang latihan di Pulada khususnya latihan tempur sememangnya menjadi kegemaran saya,” kongsi Zulkifeli.

Ditukarkan sebagai kolonel di Markas Tentera Darat pada tahun 2002, enam bulan kemudian Zulkifeli dilantik sebagai Brigadier Jeneral dengan jawatan Asisten Panglima di Bahagian Perkhidmatan Simpanan.

Ternyata dengan komitmen dan kredibiliti Zulkifeli, beliau kemudian diangkat sebagai Panglima 8 Briged bertanggungjawab ke atas Tentera Darat di Kelantan dan Terengganu diikuti mengetuai Misi IMT di Mindanao, Panglima 3 Divisyen menjaga Tentera Darat di selatan Semenanjung Malaysia (Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang), Panglima Medan Tentera Darat menerajui Markas Medan Tentera Darat sebelum pada Jun 2008 dengan pangkat Leftenan Jeneral. Beliau dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat.

Berkongsi pengalaman meniti kerjaya sebagai Panglima Tentera Darat, Zulkifeli turut mengakui kejayaan menukarkan batalion kesembilan di Kem Terendak daripada infantri biasa kepada batalion infantri para (payung terjun) antara yang membanggakannya.

“Ketika itu saya adalah pegawai memerintah di batalion itu. Menukarkan sebuah batalion biasa kepada batalion para sepenuhnya bukan mudah kerana setiap anggota perlu menjalani ilmu teori dan praktikal latihan penerjunan.

Semangat timba ilmu

“Tetapi saya berbangga apabila dalam tempoh setahun pada tahun 1994, seramai 400 orang anggota membuat demonstrasi penerjunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah diikuti dengan serangan darat ke atas musuh di sebuah bukit berdekatan. Disaksikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ia juga sebagai tanda batalion kesembilan beroperasi sepenuhnya sebagai batalion para,” jelas Zulkifeli teruja.


ZULKIFELI melihat foto-foto kenangan beliau sepanjang 38 tahun berkhidmat dalam pasukan Tentera Darat.


Menariknya, dalam tempoh meniti kesibukan kerjaya, semangat untuk terus menimba ilmu tidak pernah padam dalam jiwanya. Sehubungan itu, Zulkifeli menyambung pengajian di Maktab Turus Angkatan Tentera, Royal Thai Army and General Staff College, Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan menamatkan ijazah Sarjana dalam Master of Science in National Resource Strategy di Universiti Pertahanan Kebangsaan, Amerika Syarikat (AS).

Meluahkan semua itu tidak dapat dilakukan tanpa sokongan isteri tercinta, Zulkifeli mengakui pengorbanan Umi Kalsom sangat besar kerana beliau bertindak sebagai ketua keluarga apabila ketiadaannya.

“Pengorbanan isteri terutama dari segi masa dan tanggungjawab memang besar. Bayangkan dulu semasa berkahwin, malam kami nikah esoknya isteri sudah hantar saya ke lapangan terbang sebab saya perlu bertugas ke Australia selama sebulan.

“Begitu juga dengan anak-anak yang mungkin sudah lali dengan kesibukan tugas saya. Namun, seboleh-bolehnya apabila mempunyai masa senggang saya habiskan secara berkualiti bersama mereka seperti melancong, keluar bersiar-siar atau makan sekeluarga,” ujar ayah kepada dua puteri Ainul Mardhiah, 26 dan Ainur Asyiqin, 20.

Menjadikan membaca sebagai hobi yang digemari dan kekal sehingga hari ini, Zulkifeli lebih meminati bahan bacaan genre isu kontemporari terutama berkaitan ketenteraan selain sesekali turut membaca novel.

Percaya kepada pegangan hidup melakukan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan, Zulkifeli turut gemar bermain golf dan selam skuba.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: