Tuesday, May 4, 2010

Perbezaan Di Set Filem, Drama- Vee

SALAM, apa khabar semua? Alhamdulillah akhirnya Vee selesai menjalankan penggambaran di Kuala Lumpur bagi telenovela Isabella 26 episod selama dua bulan setengah lamanya. Vee ada beberapa hari untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga sebelum Vee berangkat ke kota London pada 8 Mei nanti untuk menyelesaikan beberapa babak lagi untuk drama bersiri ini.

Walaupun Vee berasa lega akhirnya tamat juga penggambaran yang banyak mengorbankan masa Vee dengan anak-anak tetapi jauh di sudut hati Vee, Vee tahu pasti Vee akan merindui semua yang terlibat dalam menjayakan penggambaran telenovela ini.

Setelah begitu lama bersama, makan bersama, berkongsi cerita dan pengalaman, gelak ketawa, gurauan dan penat lelah bersama, sedikit sebanyak pasti akan membuat Vee rindu.

Pada masa yang sama, banyak juga ilmu yang Vee pelajari dari pelakon senior yang berkaliber dan penuh pengalaman seperti Rosyam Nor, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi. Walaupun Vee sudah hampir 18 tahun berada di persada seni ini, masih banyak yang Vee tidak tahu dan perlu Vee pelajari.

Lakonan yang bagus bukanlah hanya sekadar melafazkan dialog dan menzahirkan ekspresi melalui mimik muka; gerak tubuh (body language) dan lirikan mata juga adalah antara faktor yang menyokong untuk menghasilkan lakonan yang bagus.

Setelah sekian lama tidak membintangi penggambaran yang memakan masa yang lama, pengalaman berada di set Isabella adalah sesuatu yang sangat mencabar. Berbanding dengan cerekarama atau filem yang tidak begitu banyak babaknya, telenovela menuntut kesabaran kerana memakan masa yang begitu panjang, menuntut pelakonnya sentiasa berada dalam keadaan aktif mindanya dan fokus yang tinggi untuk memastikan mood dan emosi ada kesinambungan walaupun babak seterusnya dijalankan penggambarannya pada hari yang berlainan.

Memang sungguh berbeza berada di set penggambaran filem dan drama. Yang pertamanya adalah skalanya cukup berbeza. Filem sebagaimana yang diketahui umum memakan belanja yang besar, jadi kalau berada di set filem kita akan lihat tenaga kerja yang begitu ramai.

Kadangkala, Vee terasa kelakar kerana bila habis penggambaran pada waktu majlis penutupan (wrap party), satu tradisi pembikin filem untuk meraikan selesainya penggambaran), Vee tidak sedar yang ada kru atau pekerja yang Vee tak pernah nampak di set!

Bayangkan sesuatu produksi itu mempunyai bahagian pengurusan, arahan, teknikal, seni set, tatarias dan juga kostum. Setiap satu mempunyai lebih kurang tiga sehingga lima kru, selalunya lebih. Jadi di setiap set penggambaran filem tidak kurang dari 30 orang kru yang bekerja setiap hari, ini tidak tercampur dengan barisan pelakon.

Bezanya dengan set drama pula, skalanya lebih kecil dan pihak pengurusan selalunya mahukan kuantiti melebihi kualiti. Ini paling ketara ketika penggambaran drama bersiri di mana babak yang dirakamkan kadang-kadang mencecah lebih dari 10 babak sehari. Berbanding dengan set filem, babak yang dirakamkan hanyalah dalam lima babak sahaja sehari.

Ini selalunya kerana set-up penataan cahaya dan lampu yang digunakan lebih banyak dan memakan masa yang lama di set filem. Kamera juga memerlukan set-up dan pengarah fotografi perlu melihat ‘permainan’ pelakon atau lakonlayar yang dikehendaki pengarah untuk mencari sudut yang paling cantik untuk sinematografi atau seni pembentangan fotografi kepada penonton kelak nanti di pawagam.

Di set drama pula penelitian untuk lakonlayar dan seni fotografi berada di tahap minima, di bawah penguasaan pengarah sepenuhnya. Pun begitu, pengarah yang berpengalaman dan team teknikal yang bagus dapat menghasilkan mutu penggambaran yang tinggi dan menghiburkan dalam masa yang cepat.

Tetapi sebenarnya, pembikinan sesuatu cerita itu tidak kira media filem atau drama TV, tidak kira pada skala kecil atau besar, pokok pangkalnya adalah ia satu kolaborasi besar antara kesemua tenaga kerjanya. Berada di industri kreatif ini memang seronok dan mengujakan. Kerana kesemua yang terlibat tidak kira berperanan kecil atau besar menyumbang kepada siapnya sesuatu produk itu. Dan kesemua melakukan kerja ini dengan sepenuh jiwa.

Vee amat bertuah dapat bekerjasama dengan ramai tenaga kerja kreatif yang bagus selama Vee berada di dunia lakonan ini. Ramai yang Vee sanjungi dan hormati. Vee juga ingin mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih Vee pada semua yang menyokong Vee selama 18 tahun ini. Masih banyak lagi watak yang Vee idamkan untuk Vee berlakon, yang masih Vee belum cuba.

Vee juga ingin memaklumkan yang Vee boleh dihubungi di laman Facebook Vee iaitu Vanidah Imran FC. Jadi para rakan dan peminat bolehlah berkongsi pendapat dengan Vee. Setiap teguran dan kritikan Vee jadikan landasan untuk memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik.

Vee juga ingin memberitahu bahawa laman Facebook tersebut diselenggara sendiri oleh diri Vee dan tiada laman web lain melainkan laman tersebut sahaja yang digunakan oleh Vee. Ini kerana ada beberapa laman web sosial yang menggunakan nama Vanida Imran yang Vee sendiri tidak tahu kewujudannya.

Vee harap para peminat tidak tertipu dengan laman-laman web yang menggunakan nama Vee tersebut ya.Semoga ketemu lagi minggu hadapan, insya-Allah. Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: