
JEJAKA ini merupakan anak kelahiran England namun dia berjaya mengukir nama di Hollywood. Ed Westwick malah mampu bertutur dalam loghat Amerika.
Itulah kelebihan Ed yang semakin terkenal melalui watak Chuck dalam siri Gossip Girl yang ditayangkan mulai 31 Mei ini di saluran 8TV pada setiap hari Isnin pukul 10.30 malam.
Sejak kecil, jejaka berusia 23 tahun ini gemar mengajuk cara ibu dan bapanya beraksi. Kebetulan, watak lelaki nakal bernama Chuck Bass diinspirasikan setelah dia mengajuk beberapa individu yang pernah ditemui dalam hidupnya yang penuh dengan sifat pentingkan diri, berlagak dan tidak berhati perut.
“Saya rasa saya berkongsi pendapat yang sama dengan para penonton tentang karakter saya. Ia sebenarnya satu hubungan ‘cinta dan benci’. Seiring dengan pergerakan musim, saya rasa khalayak akan simpati terhadap Chuck.
“Dia seorang yang menarik kerana mempunyai pelbagai lapisan dalam karakternya. Dia boleh menjadi jahat tetapi pada waktu yang sama, Chuck sangat menarik.
“Dia mempunyai hati yang baik cuma dirosakkan oleh keinginan yang melampau,” Ed memberi deskripsi terhadap watak yang dibawakannya selama tiga musim itu.
Pada satu sisi yang lain, Ed merupakan vokalis kepada grupnya yang digelar The Filthy Youth. Anak kepada pensyarah dan pakar psikologi ini sebenarnya bercita-cita untuk menjadi pereka landskap taman.
“Bagi saya taman adalah sebuah tempat yang fantastik. Saya suka melukis dan membuat rekaan. Saya juga gemar menanam pada musim bunga. Tanaman sangat semula jadi dan cantik.”
Mendalami ilmu lakonan di Teater Belia Nasional di London, Ed pernah disenaraikan sebagai Most Underrated Actors/Actresses pada tahun 2007. Namun, sejak mula dikenali sebagai Chuck dalam siri Gossip Girl, perjalanan karier Ed semakin menampakkan sisi gemerlapan.
Kini setiap tahun, hari-harinya terisi dengan jadual lakonan filem dan sejak tahun 2007 dia sudah muncul dalam filem Son of Rainbow, 100 Feet, S.Darko dan bakal muncul dengan filem Chalet Girl tahun hadapan.
Ed juga menjadi pelakon Gossip Girl kedua yang menjadi wajah kepada produk. Dia menjadi wajah baru bagi jenama K-Swiss selepas Leighton Meester menjadi duta Reebok.
Pernah dituduh homoseksual lantaran karakter Chuck yang begitu bersih, Ed mengaku dia adalah lelaki yang setia dengan pasangan malah dia menolak spekulasi yang mengatakan dia penggemar lelaki.
“Saya pernah berkucupan dengan seorang wanita di khalayak ramai. Mungkin saya perlu buat lebih daripada itu,” sindirnya sambil menegaskan dia bukan seorang lelaki homoseksual.
Sebagai penggemar wanita, Ed mengimpikan gadis yang penuh dengan gaya dan keyakinan.
“Saya bukanlah seorang lelaki yang mempunyai objektif untuk memikat wanita setiap kali saya keluar. Tetapi saya pernah berjumpa wanita-wanita yang menarik.
“Apabila anda dapat berbual dengan seseorang sehingga pukul 2 pagi, saya tahu ia perbualan yang mengujakan,” ujarnya yang pernah menjalinkan cinta lokasi dengan salah seorang pelakon Gossip Girl iaitu Jessica Szohr.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: