Saturday, May 15, 2010

Pendaki Solo


Pengerusi eksekutif kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (kanan) dan penolong ketua pengarang kumpulan Utusan, Zaini Hasaan (kiri) antara yang memberi semangat.


PADA peringkat awal misinya, Mohd. Noor Amin menerima pelbagai teguran dan kritikan. Malah tidak kurang juga yang menunggu masa untuk melihat usahanya tersungkur menemui kegagalan.

Dalam masa 111 hari seperti yang dijanjikan pendaki solo itu membuktikan bahawa tiada apa yang dapat menghalangnya daripada mengejar impian - melakukan 111 kali pendakian ke puncak Gunung Kinabalu setiap hari berturut-turut.

Namun kejayaan Projek Pendakian Solo 1Malaysia bukan sahaja digagahi untuk pencapaian diri sendiri. Tetapi untuk dijadikan inspirasi kepada seluruh rakyat negara ini. Itu yang diluahkan Mohd. Noor selepas membuktikan sesuatu yang dianggap mustahil mampu dicapai dengan semangat dan keazaman.

Ramai yang takjub dan hairan bagaimana pendaki berusia 42 tahun itu saban hari menamatkan pendakian ke puncak tertinggi Asia Tenggara itu.

Jika untuk pendaki biasa, ia mengambil masa tiga hari.

Di kalangan mereka yang arif dalam selok belok sukan mendaki juga kagum dan tidak putus-putus mengucapkan kata-kata tahniah dan rangsangan kepada usaha Mohd. Noor.

“Kerja gila!” Itu juga antara ucapan paling bermakna yang dilempar sahabat dan kenalan yang memahami perit-getir yang ditempuhi jurugambar akhbar Utusan Malaysia itu.

Untuk menyelami keperitan yang dilalui ikon sukan mendaki itu elok di hitung setiap langkah yang melayakkan nama beliau tercatit dalam Malaysia Book of Records dan bakal mendapat pengiktirafan World Guiness Book of Records.

218 kali Gunung Everest

Pendakian Mohd. Noor dari Gerbang Timpohon ke puncak Kinabalu pada ketinggian 4,095 meter melibatkan jarak sejauh sejauh 17.4 kilometer (turun dan naik). Jika dicampur, pendakiannya telah melalui jarak sejauh 1,931.4 kilometer (km) yang bersamaan 218 kali ketinggian Gunung Everest. Malah sebelum pendakian Projek Pendakian Solo 1Malaysia itu, Mohd. Noor sudah pun menakluk puncak yang sama lebih daripada 70 kali termasuk 50 kali pada 2007.

Bukan sembarangan cabaran. Tetapi beliau bukanlah manusia yang terlalu luar biasa kerana kejayaan itu tidak mungkin tercapai tanpa disiplin diri yang tinggi.

Malah beliau sendiri mengakui rutin sehariannya melibatkan peraturan yang ketat dan tidak akan dilanggar sama sekali.

Sepanjang tempoh untuk mencipta rekod itu, Mohd. Noor hanya tidur antara empat hingga lima jam sehari. Beliau bangun dan memulakan pendakian seawal pukul 6 pagi.

Untuk mengekalkan stamina, diet juga dilakukan secara berjadual dan turut berpantang daripada beberapa jenis makanan.

Makanan hariannya berupa nasi, sajian berbentuk bijirin, pisang dan sedikit makanan penambah tenaga.

“Sumber tenaga paling utama adalah empat biji pisang setiap hari. Ia adalah makanan wajib yang akan mengiringi saya setiap hari. Selain itu, makanan tenaga berbentuk jeli dan ketulan, roti dan biskut juga membantu,” katanya.

Untuk kekuatan otot dan sendi, sup urat menjadi menu paling mujarab yang diambil sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu.

Namun sepanjang enam jam perjalanan mendaki, Mohd. Noor tetap akan singgah berehat di empat lokasi utama iaitu di Pondok Lowi, Layang-Layang, Laban Rata dan Sayat-Sayat untuk menghabiskan dua liter minuman yang digalas bersama.

Selain mengerah kudrat tulang empat kerat, faktor cuaca juga sebahagian daripada cabaran yang ditempuhi. Perubahan cuaca pada tahap ekstrem misalnya antara yang sebab kenapa tidak semua pendaki mampu melakukannya.

Suhu semasa awal pendakian adalah sekitar satu darjah selsius dan ia melonjak naik sehingga 42 darjah selsius pada tengah hari.

Bukan sahaja pancaran matahari yang menyengat kulit, Mohd. Noor juga melalui saat-saat cemas terutama ketika berlakunya limpahan air yang turun bertali-arus seolah-olah banjir.

Bagaimanapun semua itu seperti alah bisa tegal biasa. Setelah berulang-kali berdepan dengan situasi itu, beliau mengakui ia merupakan antara pemandangan paling indah dan pengalaman yang jarang dapat disaksikan pendaki lain di gunung itu.

“Cuma kadang-kala kepantasan pendakian terganggu apabila trek mendaki diselubungi kabus yang sangat tebal atau dilanda angin kencang,” ujarnya.

Walaupun rekod hanya memerlukan Mohd. Noor melakukan satu pendakian dalam masa sehari, pendaki negara itu tetap mengutamakan kepantasan.

Catatan masa terpantas yang dilakukan adalah lapan jam iaitu enam jam mendaki dan dua jam menurun. Kepantasan yang sering menyebabkan juru pandu yang ditugaskan mengiringinya ketinggalan jauh di belakang.

“Biasanya mereka (juru pandu) akan mula mendaki lebih kurang setengah jam lebih awal dan akan dipotong semula oleh saya semasa pertengahan pendakian,” ujarnya.

Sepanjang Projek Pendakian Solo 1Malaysia itu seramai 20 orang juru pandu dari Taman Negara Kinabalu ditugaskan menemani Mohd. Noor secara bergilir-gilir.

Tidak cukup dengan catatan masa terpantas, pendaki yang juga aktif dalam pendakian tangga bangunan tertinggi di seluruh negara itu juga pernah tiba di Low‘s Peak (puncak) sebanyak dua kali dalam masa sehari.

Tetapi lumrahnya, tiada keazaman yang betul-betul tinggi tanpa berbalas dengan kesengsaraan. Akibat daripada pendakian itu, Mohd. Noor bukan sahaja menderita akibat kesakitan pada bahagian kaki malah kesan daripada panas terik matahari juga menyebabkan mukanya hangus ‘terbakar’.

Namun semua itu bukanlah masalah yang serius sehinggalah beliau mengalami kecederaan otot pada bahagian lutut. Dengan lutut berbalut, beliau meneruskan pendakian yang berbaki kira-kira 10 kali. Ia adalah kemuncak cabaran yang nyaris menggagalkan misi penting itu.

Ahli fisioterapi dari Universiti Malaysia Sabah yang kini menjadi sahabat baik Mohd. Noor iaitu S. Mohd. Salim S. Ibrahim, mungkin antara individu yang paling memahami penderitaan itu melalui sesi urutan yang dilakukan setiap kali selepas pendakian. Selain itu, tahap kesihatan juga dipantau pada setiap pagi melalui pemeriksaan kardiovaskularnya.

Antara individu lain yang menyaksikan pahit-getir yang dilalui Mohd. Noor ialah Penyelaras Pendakian Solo 1Malaysia, Ku Muhammad Zulzairi Ku Zulkiffli yang menguruskan perihal rehat dan pengurusan diet pendaki itu dan umumnya seluruh warga UMS yang terlibat dalam misi itu.

Yang pasti, Kinabalu akan menjadi teman dan tempat paling rapat di hati Mohd. Noor sepanjang hidupnya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: