Monday, May 10, 2010

Pasar legenda Baitulmaqdis


MENJELANG tengah hari keadaan di pasar mula sibuk dengan urusan jual-beli.


SUASANA hening pada pagi itu harum semerbak dengan aroma renehan sup yang dimasak oleh Eliran Shrefler. Kelazatan dan keenakan masakan sup dan sajian stu tersebut telah menyebabkan restorannya dianggap legenda di pasar Mahne Yehuda iaitu tanda mercu utama di Baitulmaqdis.

Shrefler baru menginjak usia 28 tahun. Namun dia mahir menghasilkan makanan yang istimewa dan mengendalikan restoran dilengkapi set perabot mewah dan selesa.

Ia merupakan restoran yang mula diasaskan oleh bapanya, Azura sekitar tahun 1960.

Selepas menyusun buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, daging dan barang jualan pada awal pagi, Shrefler beralih pula membasuh dapur yang bakal digunakan untuk merebus.

Tepat pukul 11 pagi, restoran Azura sudah tersedia sajian sup dan stu yang dimasak oleh abang Shrefler, Chico, khas buat para pelanggan.

Sejak pasar tersebut dipenuhi dengan para peniaga dan menerima kunjungan daripada masyarakat tempatan, ia berjaya menarik perhatian pengunjung remaja, golongan berada dan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk membeli-belah di sana.

Perubahan demi perubahan dapat dilihat sepanjang jalan di pasar Mahne Yehuda, yang turut dikenali sebagai Shuk iaitu pasar dalam bahasa Ibrani.

Penjualan variasi keju, kedai arak, kafe, bakeri gaya Perancis, barangan runcit Asia dan butik pereka membantu meningkatkan perniagaan pasar tersebut. Secara tidak langsung ia mendorong para peniaga veteran lebih gigih berniaga untuk bersaing dengan pasar raya dan pusat beli-belah.


VARIETI gula-gula turut dijual di pasar Mahne Yahuda.


"Sewaktu memulakan operasi kedai ini ada yang mengatakan saya gila dan tidak kurang juga menyifatkan saya genius," ujar Eli Mizrahi, yang mengasaskan bar kopi espresso pertama di pasar tersebut lapan tahun lalu.

Tidak jauh dari restoran Azura terdapat sebuah bangunan berpintu biru yang selesai menjalani proses ubahsuai dan dibuka awal tahun ini oleh tiga orang chef muda. Sambutan pelanggan terhadap restoran tersebut amat menggalakkan terutama pada waktu tengah malam.

"Perniagaan restoran cukup memberangsangkan sampaikan tak menang tangan kami dibuatnya," ujar chef Asaf Granit.

Menu di restoran tersebut dimasak menggunakan bahan-bahan tempatan yang dibeli di pasar yang sama termasuklah makanan yang tidak perlu disembelih seperti hidupan laut dan daging babi.

"Kami menjual makanan yang tidak perlu disembelih tetapi sebagai menghormati kawasan kejiranan dan masyarakat yang tinggal di sini kami tidak membuka kedai pada malam Jumaat dan Sabtu. Simbiosis kehidupan di sini cukup membahagiakan dan menggembirakan," ujarnya.

Menjelang tengah hari keadaan pasar mulai sibuk dengan urusan jual-beli dan tawar-menawar. Golongan peniaga tidak jemu-jemu menawarkan barangan kepada pelanggan pada harga yang berpatutan. Namun kesibukan dan hiruk-pikuk di pasar sedikit pun tidak menghalang pelangan menjamu selera di sebuah restoran keju Basher.

Restoran Basher yang beroperasi sejak enam dekad lalu merupakan salah satu mercu tanda popular di... Ia adalah perniagaan keluarga secara turun temurun dan kerap mendapat kunjungan pelangan golongan elit kerana menyajikan seleksi keju dari seluruh Eropah dan Israel.

"Suasana pasar pada tahun lepas dan hari ini tidak sama seperti dua dekad dulu. Perniagaan kulinari dilihat mendapat permintaan yang tinggi di Israel dan di seluruh dunia," terang pemilik Eli Basher sambil menghidangkan sekeping keju dari Swiss.

Lorong-lorong pasar yang gelap dan sempit tidak sedikitpun dicemari dengan proses-proses ubah suai kerana para peniaga tidak pernah menyuarakan sebarang perubahan baru di sana.

"Anak-anak muda tidak mahu bekerja di sini. Mereka mahukan pekerjaan yang mendatangkan hasil segera," ujar Pinhas Mitza, 82, yang mula mencari rezeki di pasar tersebut pada 52 tahun lalu selepas berhijrah dari Iran.


PELANCONG dari Singapura, Lili menjamu selera di restoran Azura.


Mitza tetap gigih bangun pagi untuk ke pasar dengan kerusi roda elektriknya yang sudah usang. Dia kelihatan begitu ramah melayani pelanggan yang datang membeli-belah di gerai kecilnya yang terletak di satu sudut yang dikenali sebagai Georgian.

"Kehidupan harian saya banyak dihabiskan di sini. Saya lebih bahagia di pasar berbanding duduk di rumah kerana di rumah saya asyik bergaduh dengan isteri (ketawa)," ujarnya kepada AFP.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: