![]() |
| Dari kiri, Teh Bak Heng, Azliha Zainal dan Seetam Kaur A/P Pritam Singh berbangga dengan kerjaya jururawat yang dipilih. |
KETIKA zaman sekolah apabila cikgu meminta seluruh kelas menyenaraikan cita-cita masing-masing, penulis tidak pernah terlintas untuk meletakkan pekerjaan sebagai jururawat sebagai tiga senarai teratas.
Begitu juga rakan-rakan lain. Yang lazim disenaraikan kerja sebagai cikgu, doktor, peguam, juruterbang malah sebahagian besarnya memilih untuk menjadi polis atau tentera dan jarang yang bercita-cita untuk menjadi jururawat.
Gambaran ketika itu kerja jururawat terpaksa bergelumang dengan darah, menghadap orang sakit dan paling 'menggerunkan' berdepan dengan orang mati.
Namun itu cerita lebih 20 tahun dulu ketika usia kanak-kanak. Semakin meningkat dewasa semakin berubah dan tinggi pandangan penulis terhadap kerjaya mulia ini.
Apatah lagi apabila kira-kira setahun lalu penulis terpaksa 'bertunggu-tangga' di hospital menemani ibu yang sakit. 'Bermalam' di hospital bersama wanita-wanita berseragam putih bersih, membuka mata penulis seluas-luasnya terhadap tanggungjawab besar dan pengorbanan murni golongan ini.
Ya! memang mereka dibayar gaji untuk tugas tersebut. Namun dalam beberapa perkara berkaitan menjaga orang sakit biarpun sekecil mengelus tangan dengan penuh tulus bagi meredakan kegundahan hati pesakit, ia tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.
Malangnya, kemuliaan hati jururawat kurang diberi perhatian menyebabkan tidak ramai menyedari kerjaya itu bukan sekadar mengambil tekanan darah, memberi suntikan mahu pun meladeni kerenah pesakit.
Tanggungjawab
Justeru sempena Hari Jururawat yang disambut setiap 12 Mei, penulis cuba menyelami nurani tiga jururawat yang penulis temui di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketua Jururawat, Teh Bak Heng, 50, tidak malu mengakui memilih kerjaya sebagai jururawat kerana ketika itu dia tiada pilihan selepas tamat sekolah.
"Tapi itu cerita dulu ketika saya sendiri tidak begitu mengetahui tugas sebenar sebagai jururawat. Saya masuk pusat latihan jururawat dulu pun kerana pilihan terakhir.
"Namun sebaik menerokai dunia ini saya semakin jatuh cinta dan melihat potensi yang begitu luas seiring dengan perkembangan pesat dunia perubatan itu sendiri," katanya.
Malah katanya, segala penemuan baru dalam dunia perubatan mahu atau tidak, pasti akan membabitkan jururawat.
"Seorang doktor tidak mungkin dapat berfungsi dengan sempurna tanpa bantuan jururawat. Kami ibarat 'tangan kiri' doktor," katanya.
Berpengalaman lebih 33 tahun, Bak Heng pernah bertugas di pelbagai wad sebaik menamatkan kursus asas di pusat latihan jururawat di Pulau Pinang pada tahun 1977.
Pada 1991 wanita ini nekad melepaskan gelaran penjawat awam untuk menyahut cabaran bertugas di negara orang.
Menimba pengalaman hampir 16 tahun di hospital di Oman, pada 2007 Bak Heng kembali ke tanah air dan menyertai Hospital Gleneagles hingga sekarang.
Selain menjadi ketua jururawat Bak Heng juga merupakan tenaga pengajar di kolej kejururawatan hospital tersebut.
Berkongsi rahsia kekal lama dalam kerjaya tersebut kata Bak Heng, kesabaran dan disiplin menjadi 'azimat' penting dalam mengharungi tugas sebagai jururawat.
''Walaupun dimarah teruk oleh pesakit, sebagai jururawat kita harus senyum dan bersedia meminta maaf. Itu etika paling penting dalam kerjaya ini,'' ujarnya.
Malah menurutnya, senyuman kadang kala menjadi ubat yang paling mujarab dalam membantu menenangkan pesakit.
''Itulah ubat yang paling senang. Dengan senyuman kita sebenarnya mampu melegakan kesakitan pesakit,'' ujarnya yang fasih berbahasa Melayu.
Bak Heng tidak menafikan tugas jururawat bukanlah semudah yang dilihat oleh mata kasar sebaliknya seperti pekerjaan-pekerjaan lain ia juga ada cabaran tersendiri.
''Sesetengah orang mungkin melihat kerja sebagai jururawat biasa-biasa saja dan tiada istimewanya.
''Sebab itu ada yang tidak menghargai kerja kami, sehinggalah ada orang yang mereka sayang terlantar di hospital dan memerlukan jagaan rapi. Di situlah mereka akan sedar betapa pentingnya peranan individu seperti kami," ujarnya tersenyum.
Bagi jururawat muda, Seetam Kaur A/P Pritam Singh, 23, tidak pernah menyesal memilih kerjaya yang disandangnya sekarang biarpun dilihat oleh sesetengah rakannya sebagai kurang glamor.
Bahkan dia cukup berbangga kerana melalui kerjaya tersebut sekurang-kurangnya dapat berdamping dan membantu individu yang memerlukan perhatian.
''Biarpun kawan-kawan lain bergaya ke pejabat dengan pakaian yang cantik-cantik, sedangkan saya setakat beruniform jururawat, tidak pernah wujud perasaan malu atau berasa diri kekurangan.
"Kalau direnungkan tidak semua berpeluang berkerja dan pada masa sama berbakti membantu orang yang sakit," katanya.
Seetam Kaur tidak menafikan masih ada di kalangan masyarakat yang berfikiran dangkal menganggap bidang ini sebagai kelas kedua.
"Itu semua pemikiran yang ketinggalan zaman dan saya percaya pandangan generasi sekarang sudah berubah," ujarnya yang menegaskan jururawat kini sudah lama diterima masyarakat sebagai kerjaya profesional.
Katanya lagi, hari ini kerjaya jururawat bukan lagi pilihan terakhir bagi seseorang tetapi merupakan kerjaya yang semakin diminati anak-anak muda.
Bekas lulusan Kolej Kejururawatan Gleneagles ini memberitahu, kerjaya yang diceburi ini semakin mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.
''Bayang jika tiada jururawat, mana mungkin doktor dapat melakukan tugasnya sendirian.
"Peranan kami bukan sekadar membantu doktor, tetapi lebih penting melaksanakan kelancaran tugas merawat dan menjalankan prosedur klinikal dengan penuh profesional," katanya.
Malah akui Seetam Kaur lagi, kemahiran dan pengetahuan yang ada pada jururawat Malaysia juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
''Sebagai contoh, jururawat diperlukan di negara-negara maju dan sedang membangun. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri menyatakan, jururawat membentuk kategori terbesar dalam tenaga kerja kesihatan,'' ujarnya.
Menjadikan ibunya sebagai idola, Seetam Kaur kini lebih bersemangat dalam bidang yang diterajuinya apabila salah seorang kakaknya juga terlibat dalam dunia kejururawatan
''Dari kecil lagi saya didedahkan dengan kerja-kerja amal kerana ibu juga merupakan seorang jururawat.
''Malah perasaan simpati terhadap orang sakit membuatkan timbul satu perasaan untuk membantu.
''Apa yang pasti tugasan yang saya tempuhi setiap hari ini memberikan kepuasan,'' ujarnya berterus terang.
Sepanjang dua tahun berkhidmat, pelbagai pengalaman dilalui yang sedikit sebanyak menjadikan dia semakin matang.
Antara yang sukar dilupakan pengalaman menyambut kelahiran bayi yang disifatkan Seetam Kaur merupakan detik-detik yang mendebarkan.
''Pertama kali bertugas di bilik bersalin membuatkan saya cemas dan gentar kerana menyaksikan kepayahan seorang ibu melahirkan bayi.
"Malah ketika itu timbul perasaan tidak yakin untuk membantu pesakit tetapi sokongan dan bantuan rakan-rakan membuatkan saya semakin berani," kata anak gadis ini.
Perkara itu turut dilalui oleh seorang lagi jururawat, Azliha Zainal, ketika di awal perkhidmatannya.
Namun selepas hampir 15 tahun bergelumang dalam dunia kejururawatan terutama dalam bidang perbidanan, dia kini semakin selesa dengan tugasan hariannya.
Katanya, sudah menjadi lumrah kepada semua tidak yakin dengan sesuatu yang baru.
Pada awal perkhidmatan dia turut melalui perasaan tersebut tetapi bak kata pepatah Melayu 'alah bisa tegal biasa.'
''Bertugas dalam wad bersalin tidak sama seperti bertugas di wad biasa. Di wad bersalin tugasnya lebih mencabar berbanding kerana kita membantu menyelamatkan dua nyawa dalam satu masa,'' tegasnya.
Menurut wanita yang berasal dari Seremban ini, berpendapat tugas jururawat adakalanya lebih mencabar berbanding bidang-bidang lain kerana ia membabitkan nyawa manusia.
Selain itu, tugasnya bukan sekadar berfokus pada bantuan fizikal semata-mata tetapi juga sebagai 'penyejuk hati' kepada pesakit.
Di tanya pernah dimarahi pesakit, Azliha tersenyum pahit, katanya itu adalah 'hadiah harian' kepada mereka yang bergelar jururawat.
''Pada ketika itu, kita harus faham kerana pesakit itu mungkin tertekan kerana sakit dan tempat paling mudah untuk melepaskan tekanan tersebut adalah kepada jururawat,'' ujarnya.
Katanya lagi, dalam situasi tersebut, perkara yang sering dibuatnya adalah meminta maaf dan mendiamkan diri.
''Pada awal bekerja dulu, saya sering sedih sebab dimarahi pesakit, namun kini sudah lali dengan tindakan tersebut,'' ujarnya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: