Thursday, May 13, 2010

Lebih kuasa dengan TimelineX


TIMELINE X seberat 2.2 kilogram dan setebal 24 mm amat sesuai bagi pengguna yang banyak bertugas di luar.


PERANTI komputer riba merupakan aksesori penting dalam kehidupan masyarakat hari ini untuk mempermudahkan lagi perjalanan kehidupan mereka.

Dengan adanya komputer riba, pengguna dapat menjalankan urus niaga, pembentangan mesyuarat atau melayari Internet di mana sahaja dengan lebih mudah.

Bagaimanapun, komputer riba yang tidak mempunyai ciri-ciri seperti ringan, nipis dan ketahanan jangka hayat bateri kadangkala membantutkan segala urusan pengguna.

Ini semua bakal berubah apabila Acer Sales and Services Sdn. Bhd. memperkenalkan Aspire TimelineX 4820TG yang mempunyai reka bentuk nipis, berprestasi tinggi dan jangka hayat bateri lebih lama.

Gajet baru TimelineX boleh digunakan dalam tempoh lebih lama dengan prestasi tambahan sehingga 12 jam bergantung kepada penggunaannya. Ini semua dapat dilakukan melalui teknologi kuasa pintar hanya dengan menekan butang PowerSmart.

Teknologi PowerSmart dapat membantu memanjangkan jangka hayat bateri secara automatik dengan mengubahsuai tahap warna dan kecerahan komputer riba tersebut untuk memberi prestasi optimum.

TimelineX turut disokong oleh unit pemproses baru Intel Core i5 bagi prestasi yang diperlukan dan diadaptasikan kepada keperluan pengguna.

Ia amat sesuai digunakan dalam aplikasi grafik terkini, multimedia definisi tinggi (HD), sistem audio Dolby Home Theater. Peminat permainan video, pencinta muzik dan filem pasti akan merasai kepuasan apabila menggunakan komputer riba ini.

Dalam pada itu, pengguna yang menggunakan TimelineX dapat mengurangkan 66 peratus tenaga elektrik apabila bateri dicas penuh kerana bekalan elektrik akan diputuskan sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga dan tekanan ke atas bateri.


PAPAN kekunci menarik dan kerangka aluminium hitam menjadikan komputer TimelineX memenuhi cita rasa pengguna.


Reka bentuk menarik dan terkini, bahkan gajet seberat 2.2 kilogram (kg) serta mempunyai ketebalan 24 milimeter (mm) mudah dibawa ke mana-mana sahaja khususnya bagi mereka yang sentiasa mengembara untuk menghadiri mesyuarat atau melakukan urus niaga.

Pengurus Besar Acer Sales and Services, Ricky Tan berkata, rangkaian TimelineX adalah susulan daripada Timeline yang dilancarkan pada Mei tahun lalu dengan jualan sebanyak 36,000 buah.

"Rangkaian TimelineX baru ini menawarkan prestasi, jangka hayat bateri lebih lama dan reka bentuk nipis yang mudah dibawa.

"Siri Timeline sebelum ini, digunakan oleh ramai pengguna Malaysia yang mahukan komputer riba yang mampu memenuhi keperluan mereka dari segi prestasi dan reka bentuk. Oleh itu, TimelineX selari dengan aliran dan kehendak pasaran yang sentiasa berubah," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya menjangka pengenalan TimelineX dapat mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai jenama komputer riba paling digemari di Malaysia. Kita menjangka penguasaan pasaran bagi komputer riba bertambah pada tahun ini.

TimelineX yang mempunyai penampilan kemas dengan kerangka luaran berwarna aluminium hitam didatangkan pada harga RM2,999. Maklumat lanjut mengenai gajet berkenaan boleh melayari laman web www.acer.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: