Thursday, May 13, 2010

Laporan tanggungjawab sosial




ADEGAN mengejar, panggilan berbaur ugutan dan hampir dipukul samseng sudah menjadi asam garam lima wartawan program bercorak penyiasatan Eksklusif 1.

Tiada istilah serik dalam diri Hanim Muhili, 28, Nawwar Raidah Aris, 25, Mohd. Yunus Mohd. Nor, 26, Mohd. Faizul Fazrik Kamarudin, 29, dan Norin Hanafiah, 25, sebaliknya setiap cabaran yang datang menjadikan mereka semakin sukar untuk meninggalkan program yang bersiaran di TV1 itu.

Lebih menarik, pada 16 April lalu, program Eksklusif 1 menerusi episod Di Sebalik Ajaran Kahar memenangi Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2009 bagi kategori Dokumentari Video Terbaik dan anugerah tersebut disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menemu bual empat daripada mereka di Kosmo! baru-baru ini, dapat dilihat betapa seriusnya penekanan yang diberi mereka dalam setiap laporan yang dihasilkan.

Kata penerbit yang juga wartawan program itu, Hanim memberitahu, meskipun terdapat beberapa program berkonsep penyiasatan sebelum ini, Eksklusif 1 diberi sentuhan berbeza.

Tidak tertumpu pada isu jenayah sahaja, sebaliknya mereka lebih menitikberatkan masalah gejala sosial yang semakin meruncing di kalangan rakyat Malaysia.


PENCAPAIAN. Muhyiddin (tengah) bersama krew Eksklusif 1 yang berjaya menggondol Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2009 bagi kategori Dokumentari Video Terbaik.


"Biasanya kalau program berunsur siasatan pasti akan dikaitkan dengan isu jenayah tetapi kami di Eksklusif 1 memberi sentuhan yang berbeza kerana kami lebih fokus pada masalah sosial.

"Program kami tidak sama dengan program lain, saya sarankan penonton lihat dahulu program kami sebelum samakan program kami dengan program yang lain," ujar Hanim yang pernah bekerja di bilik berita selama lapan tahun.

Tambah Hanimi, setiap laporan yang dihasilkan mereka akan dikupas secara terperinci sehingga ke akar umbi sesuatu masalah.

"Kami kaji, buat tinjauan dan menyamar seolah-olah kami ini bertugas sebagai perisik hanya untuk mendapatkan satu laporan yang benar-benar mempunyai nilai dan dapat menyedarkan masyarakat serta pihak yang bertanggungjawab," ulas Hanim lagi.

Bergadai nyawa

Program yang sudah bersiaran sebanyak 28 episod itu, juga memberi pengalaman yang berbeza buat Yunus yang baru tiga bulan bersama Eksklusif 1, meskipun sebelum ini dia pernah bertugas sebagai wartawan jenayah selama empat tahun.

"Saya seronok bekerja dengan produksi Eksklusif 1. Kami diberi kebebasan untuk membuat laporan yang tidak sama dengan apa yang dikeluarkan berita televisyen atau akhbar.

"Kerja kami walaupun bahaya tetapi saya anggap ia sebagai satu laporan tanggungjawab sosial yang penting untuk masyarakat," kata Yunus.


FOTO menunjukkan hasil rampasan barang-barang yang diseludup termasuk minyak masak di sempadan negara di Perlis.


Menceritakan pengalamannya bertugas bersama Eksklusif 1, pernah dia membawa serbuk menyerupai dadah untuk meninjau sejauh mana kawalan yang dikenakan di pintu masuk sebuah lapangan terbang.

Hasilnya, serbuk itu dengan mudah melepasi kawalan keselamatan lapangan terbang itu.

"Tujuan kami bukan nak mencari salah orang tetapi memperbaiki setiap kelemahan. Ini cara yang kami pilih untuk menegur mana-mana pihak supaya melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan lebih efisien," ujarnya.

Selain itu Yunus juga pernah menyamar sebagai pelanggan pelacur dan juga Money Boy.

"Setiap video yang kami paparkan jarang disunting kerana kami mahu penonton menyaksikan realiti jenayah dan masalah sosial.

"Ada yang kami rakam dari jauh dan ada rakaman dilakukan menggunakan kamera tersembunyi untuk mendapatkan gambaran serta audio yang lebih jelas," ujar Yunus.

Bagi Fazrik yang baru dua minggu bersama Eksklusif 1, dia begitu gembira dapat bekerja dalam program yang bakal memberi pengalaman berharga buatnya.

"Satu penghormatan buat saya kerana dipilih untuk menyertai Eksklusif 1. Saya tidak takut untuk menghadapi tugasan yang diberi tetapi saya bimbang mutu kerja saya tidak sampai di tahap yang mereka inginkan.

"Episod yang dibikin daripada air tangan saya belum disiarkan lagi tetapi saya berharap penonton akan menyukai dan tersedar daripada kealpaan selepas penonton program ini," tuturnya.

Program kurang popular

Walaupun program berdurasi 30 minit itu memaparkan isu-isu panas, hakikatnya ia sukar memikat hati penonton ketika awal kemunculannya dua tahun dahulu.


HANIM (kanan) dan Norin di lokasi episod Di Sebalik Ajaran Kahar di Kampung Kemensah, Hulu Klang, Selangor.


Konsep bual bicara yang ditampilkan ketika itu ditambah dengan waktu siaran yang kurang sesuai antara penyumbang mengapa program ini sukar mendapat tempat di hati penonton.

Nawwar yang merupakan wartawan asal Eksklusif 1 bersama Hanim dan Norin memberitahu, dia sudah bersama program tersebut sejak konsep bual bicara lagi.

Bagaimanapun, sejak konsep program ini dirombak pada Oktober tahun lalu, dia menyaksikan peningkatan rating yang semakin memuncak.

"Dahulu ketika konsep ini diperkenalkan oleh Ketua Pengarah, Datuk Ibrahim Yahya, kami lakukannya dengan lebih formal.

"Mungkin kerana isinya agak berat, sukar untuk penonton menerimanya. Jadi, pada Oktober tahun lalu, kami tukarkan kepada konsep yang lebih santai dan realiti, nampaknya respon yang kami terima sangat menggalakkan," katanya.

Hanim pula menambah, sukar untuk pasukannya mengikis pandangan masyarakat yang menyangka program yang dihasilkan stesen televisyen kerajaan tidak menarik seperti mana stesen televisyen swasta.

"Sebenarnya banyak program menarik diterbitkan oleh pihak RTM, cuma pandangan masyarakat yang skeptikal terhadap produk keluaran RTM yang menyebabkan ia sukar mendapat perhatian daripada masyarakat.


FOTO ini diambil sempena episod Pemujaan Pulau di Pulau Besar, Melaka.


"Saya memohon kepada penonton di luar sana, tontonlah dahulu program Eksklusif 1 sebelum membuat sebarang penilaian," katanya mengakhiri bicara

Program Eksklusif 1 adalah program berbentuk laporan penyiasatan yang diterbitkan Seksyen Ehwal Semasa RTM yang disiarkan setiap Ahad, pukul 9.30 malam di TV1.

Antara episod yang berjaya menarik perhatian penonton ialah Lanun Parkir, Di Sebalik Ajaran Kahar, Teksi Lintah, Money Boy, Bomoh Tipu, Susuk, Pintu Belakang, Kupu-kupu malam, Pemujaan Pulau dan Si Dalang Judi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: