Monday, May 10, 2010

Lan ATT Dicomor Dengan Cat!

Seorang penuntut UiTM mencomor wajah Lan dengan cat.

DICOMOR dengan cat dari rambut sampai ke kaki, berlakon dengan robot serta mentransformasikan diri sebagai pelukis adalah antara 'ujian' yang perlu dilalui oleh Lan dari Azlan & The Typewriter (ATT) untuk menghasilkan klip video muzik bagi single Gerak Hati.

Gerak Hati ialah single kedua dari album berjudul Peta Minda yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Sebanyak tiga kumpulan penuntut universiti tempatan dan swasta dipilih daripada 70 penyertaan untuk pertandingan Making the Official Video (MOV) anjuran Satu Entertainment dan U.O.X. (University Of X - Celcom).

Tiga universiti tersebut ialah Universiti Multimedia, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Kolej SEGI.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabat Satu Entertainment baru-baru ini, Lan melahirkan rasa kagum dengan kerja tangan peserta MOV yang jelas bukan tipikal.

"Habis seluruh badan saya dicat. Ketiga-tiga finalis pertandingan ini sangat kreatif dan idea mereka juga amat segar.

"Biasanya, kita dah boleh agak isi kandungan video muzik kerana rata-ratanya hampir sama. Terdapat kelainan pada idea para pelajar ini," katanya.

Ahli-ahli kumpulan LOL (Laugh Out Loud) dari Universiti Multimedia bersama Lan.

Bekas vokalis Meet Uncle Hussain itu berkata, pembikin video muzik di pasaran sekarang barangkali kegersangan idea baru.

Bagaimanapun katanya, pelajar terbabit mampu menghasilkan idea-idea baru kerana masih segar.

"Ditambah dengan bantuan tenaga pengajar serta kelengkapan di universiti, hasil kerja mereka boleh dikatakan jauh lebih baik daripada profesional," ujarnya.

Sementara itu, penuntut jurusan Filem dan Animasi dari Universiti Multimedia, Pek Tee Wei, 23, berkata, dia bersyukur kerana cubaan kali pertamanya menyertai pertandingan itu bersama kumpulan LOL (Laugh Out Loud) membawa mereka ke peringkat akhir.

"Kami menggunakan robot untuk menggambarkan Azlan terperangkap di dalam bandar. Dia kesunyian dan kehilangan sesuatu dalam kehidupan sehingga menemui hala tujunya menerusi muzik," katanya.

Kata Pek, penggambaran dijalankan di studio dengan menggunakan teknik stop-motion.

Keseluruhan bajet adalah kurang daripada RM500 kerana semuanya menggunakan kertas.

Kumpulan LOL dianggotai Pek, Calvin Koh Yang Soon, Jason Lim Hoong Yau, Machon, Lee Jian Siang, Kalana dan Kelvin Tan.

Dalam pada itu, Ishak Ismail, 27, yang belajar Reka Bentuk Grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, Lan digambarkan sebagai pelukis seni halus yang cuba mengekspresikan dirinya menerusi lukisan.

Katanya, penggambaran dijalankan selama dua hari di sebuah banglo yang ditinggalkan di Pusat Komersial ICT dan Seksyen 7 Shah Alam, manakala penyuntingan memerlukan tempoh masa seminggu.

Lan digambarkan cuba menyanyi tetapi dibelenggu emosi serta rasa takut dalam klip video kumpulan pelajar Universiti Kolej SEGI.

Lain-lain ahli kumpulan UiTM terdiri daripada Ahmad Afif Zulkepli, 23, (Reka Bentuk Fesyen) dan Ahmad Hamzah Ramly, 24, (Seni Halus).

Menurut Ishak, kumpulannya menggunakan konsep seni surrealism yang menggabungkan ketiga-tiga elemen reka bentuk grafik, fesyen dan seni halus untuk membangunkan konsep video muzik itu.

Sementara itu, penuntut jurusan perakaunan, Nico Januz Kilroy Augustin, 20 dari Universiti Kolej SEGI memberitahu, klip video kumpulannya menceritakan Lan cuba menyanyi tetapi dibelenggu emosi serta rasa takut.

Lain-lain ahli kumpulan itu ialah Jude Ashvin, 20 dari Universiti Kolej SEGI dan Adrian Avinash, 20, dari Universiti Tuanku Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: