![]() |
| IAN WRIGHT |
PELUANG mendekati dan menemuramah personaliti program pengembaraan televisyen popular ini membolehkan kita mengenalinya secara lebih dekat. Daripada pengamatan pada pertemuan singkat yang diatur itu, sememangnya dapat dikatakan Ian Wright seorang insan yang istimewa dan bertuah.
Apa yang membuatkan Wright begitu istimewa dan barangkali berbeza dengan personaliti lain adalah sifat humornya yang pantas mencuit hati.
Bagaimana kita melihat keletah, gelagat dan kenakalannya sewaktu mengacara program di televisyen, begitulah personaliti sebenarnya di luar.
Selain itu, kelebihan anak kelahiran Suffolk, England itu juga terletak pada wajahnya yang sentiasa mengukir senyuman di samping keramahan yang membuatkan sesiapa sahaja selesa berdampingan dengannya.
Selama lebih sedekad bergelar hos rancangan televisyen bercorak pengembaraan, Wright sudah berpeluang mengembara hampir ke seluruh pelosok dunia.
Tudingkan jari anda ke mana-mana negara di atas peta, pastinya Wright mempunyai cerita dan pengalaman menarik yang sudah ditempuhinya sepanjang sedekad mengembara serta melihat negara orang.
Sebagai orang lama dalam bidang televisyen, kadang-kala tertanya juga pernahkah Wright berasa bosan dengan kerjanya sebagai seorang pengembara dan pengacara.
Sambil menghela nafas dan tersenyum, pemilik nama penuh Ian Douglas Wright memberikan jawapannya: “Jujurnya, memang ada terbit rasa bosan dengan kerja ini (mengacara dan mengembara) dan penat yang tidak terkata.
“Separuh hidup saya dihabiskan dengan merantau dan berjalan sehingga saya tiada masa terluang bersama keluarga.
“Ditambah pula, sekumpulan krew produksi yang perlu mengekori saya sepanjang masa ada kalanya membuatkan saya berasa sesak nafas.
“Tetapi, apabila difikirkan semula, rasa bosan itu saya buang jauh kerana inilah jalan yang saya pilih. Mahu atau tidak, saya perlu meneruskannya.
“Satu yang pasti, saya tidak pernah menyesal dengan pilihan saya kerana dengan kerjaya saya sekarang inilah, banyak pengalaman yang saya dapat selain mematangkan saya sebagai seorang manusia.”
Kerana itu nasihatnya, kalau ada bakat-bakat baru yang mahu menceburi bidang pengacaraan khususnya bercorak pengembaraan, fikir semasak-masaknya.
Bagi Wright, menjadi pengacara bukan soal glamor mahupun mengejar populariti. Ia lebih kepada soal tanggungjawab kepada tugas yang diberikan.
“Bukan mahu merendah-rendahkan bakat yang dimiliki oleh anak-anak muda hari ini tetapi ada segelintir daripada mereka hanya mengejar glamor.
“Lalu, apabila diminta untuk melakukan sesuatu luar daripada zon selesa mereka, mulalah mereka merungut dan mencari pelbagai alasan untuk berdolak-dalik.
“Kalau begitu, lebih baik lupakan sahaja niat itu dan berhenti sahaja daripada menjadi seorang pengacara.
“Glamor dan populariti akan datang dengan sendirinya jika kita selalu berpijak di bumi nyata dan terus memberikan hasil yang terbaik,” ujarnya menginjak usia 45 tahun pada 17 Mei lalu.
Cukup dikenali menerusi program Globe Trekker dan Lonely Planet, satu yang pasti kata Wright, dia tidak pernah meletakkan satu tempoh sebelum mengibarkan bendera putih sebagai tanda persaraannya dari dunia televisyen.
Kata Wright, apa yang dilakukan sudah sebati dalam diri dan telah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
“Saya akan terus berada di layar kaca selagi ada permintaan dan peminat yang mahu menonton rancangan saya.
“Apabila minat itu ada dalam diri, memang sukar sekali untuk membuangnya dan kerana itu, saya sendiri sukar meramalkan bilakah saya akan mengundurkan diri.
“Dalam hal ini, saya amat bertuah dan bangga kerana memiliki keluarga yang cukup memahami diri saya biarpun keadaan memerlukan saya jauh daripada mereka,” kata Wright dengan maksud yang mendalam.
Wright yang boleh dianggap sebagai ikon program pengembaraan juga mempunyai perancangan masa depan seandainya tidak lagi mengemudikan mana-mana rancangan.
Memegang status sebagai seorang suami dan bapa membuatkan Wright begitu prihatin dengan permasalahan yang berlaku.
Kerana itu katanya, dia dan isteri sudah pun merancang untuk menubuhkan institusi khas bagi membentuk jati diri kanak-kanak menerusi program berkaitan alam sekitar.
“Apa yang saya lihat zaman moden hari ini telah melenyapkan kesedaran kanak-kanak terhadap alam sekitar kerana kurangnya pendedahan dan bimbingan.
“Untuk itu, menerusi program yang akan dilaksanakan itu, saya mahu membawa kanak-kanak ini kembali kepada dunia di mana manusia perlu berkerja keras untuk hidup.
“Saya mahu membawa anak-anak ini ke hutan dan mengajar mereka tentang hidup serta alam sekitar agar mereka dapat sematkan dalam diri mereka demi masa depan generasi akan datang,” kata Wright yang merupakan seorang vegetarian ini lagi penuh optimis.
Sebelum ini pun, dia pernah menganjurkan program seumpama itu di London dan mendapat sambutan hangat serta dipuji oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke program tersebut.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: