|
|
PERKENALAN penulis dengan penyanyi Noreen Nor bukan sehari dua terjalin. Sudah lebih dua dekad saling mengenali antara satu sama lain. Namun, dek kerana keterbatasan waktu, penulis dan Noreen sudah lebih 18 tahun tidak bertemu. Masing-masing sibuk dengan karier dan kehidupan masing-masing.
Namun baru-baru ini, penulis menghubunginya untuk bertanya khabar lantas membuat temu janji untuk bertemu dan berkongsi perkembangan terbarunya.
Pada hari yang dijanjikan, penyanyi dan pelakon berusia 40-an itu muncul di pejabat Utusan Melayu dengan imej yang sangat sederhana namun masih memperlihatkan 'keseksian' yang selama ini menjadi identitinya.
Hadir dengan busana seluar baggy warna ungu muda dipadankan dengan baju berbunga, Noreen yang penulis kenali dahulu masih tidak berubah - manja dan masih menawan biarpun tubuh ibu tunggal kepada dua orang anak Danial Baharudin,18, dan Diana, 8, sedikit berisi.
Sebetulnya, pertemuan tempoh hari menemukan penulis dengan Noreen yang serba baru. Kalau satu ketika dahulu, dia pernah menempa kemasyhuran yang bukan sedikit, namun semua itu tidak menjanjikan kebahagiaan yang abadi buatnya.
Selama ini, tidak pernah ada siapa yang mengetahui, jauh di dasar hatinya, wanita ini memendam duka yang berpanjangan. Derita yang dilalui barangkali kalau diceritakan dengan begitu mendalam dianggap oleh segelintir kita sebagai 'dongeng' semata-mata.
Hakikatnya, kisah derita Kassim Selamat seperti yang diceritakan oleh seniman P. Ramlee hampir-hampir berulang dalam kehidupan Noreen Nor.
Andai terlewat merujuk kepada doktor pakar, barangkali kedua mata Noreen akan menerima nasib yang serupa seperti Kassim Selamat kerana sering berendam air mata mengenangkan satu demi satu ujian yang diberikan oleh Allah buatnya.
"Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang melihat dunia ini lagi. Kalau saya lambat, mungkin hari ini saya tidak dapat lagi melihat wajah anak-anak saya," Noreen memulakan perbualan berkongsi derita yang ditanggung.
Tanpa diminta, Noreen, artis kelahiran Singapura dan dibesarkan di Melaka menyambung bicara, kejadian yang berlaku awal tahun 2008, bermula apabila matanya secara tiba-tiba bertukar menjadi merah yang 'menakutkannya'.
Tanpa berlengah, Noreen bergegas ke sebuah hospital pakar di Ampang, Selangor. Keputusan hasil pemeriksaan doktor membuatkan Noreen tergamam kerana dia dimaklumkan, salah satu urat matanya terputus menyebabkan berlaku pendarahan dalam.
"Nasib baik, belakang kornea saya tidak luka. Kalau saya lambat berjumpa doktor, mungkin saya sudah buta hari ini. Dulu apabila menonton filem Ibu Mertuaku, Kassim Selamat menjadi buta saya sangkakan ia sekadar sebuah cerita fiksyen.
"Tetapi setelah apa yang saya alami, barulah saya tahu rupa-rupanya betul, kalau kita asyik menangis tanpa henti dan memakan masa yang lama, mata boleh buta," ujarnya lagi.
Sebab dia berendam air mata kata Noreen, sejak empat tahun lalu, hidupnya tidak lekang diuji dengan berita-berita sedih.
Awalnya, abangnya meninggal dunia. Selang dua tahun, ibu tercinta pula pergi menyambut panggilan Ilahi.
Kematian kedua-dua anggota keluarganya itu menyebabkan Noreen seperti hilang arah dan dia tiada pilihan lain selain daripada menangis tanpa henti selama empat tahun lamanya!
"Namun begitu, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana masih sayangkan saya dan memberi peluang kepada saya untuk melihat," kata Noreen hiba.
Kesedihan yang melampau menyebabkan Noreen pernah terfikir untuk menuruti langkah arwah abang dan ibunya sehinggakan setiap malam dia sering memanjangkan doa kepada Allah agar mengambil nyawanya dalam tidur.
"Ketika itu saya beria-ia mahu mati! Tak sanggup rasanya menghadapi derita jiwa begini. Saya pernah mengalami keruntuhan rumah tangga, namun ia tidak meragut kegembiraan dan hidup saya.
"Tetapi apabila saya kehilangan orang yang saya sayang, hanya Tuhan saja yang tahu saya rasa bagaikan nyawa ini sudah jauh melayang, dibawa pergi oleh mereka semua," cerita Noreen sambil air mata bergenang di kelopak mata.
Noreen, anak kelima daripada enam beradik merupakan anak manja kepada pesara polis dari Singapura, Allahyarham Mohd. Nor Ahad.
Walaupun pernah beberapa kali perkahwinannya gagal, namun semangat yang dibekalkan oleh abang tersayang, Allahyarham Roslan Mohd. Nor, Allahyarham ibu, Saodah dan Allahyarham ayah membuatkan dia kental menghadapi kehidupan.
Tetapi apabila mereka yang selama ini memberi semangat untuknya meneruskan hidup meninggal dunia, ia bagaikan noktah dalam kehidupannya.
Abangnya, Roslan meninggal dunia secara mengejut pada tahun 2004 ketika berusia 43 tahun.
"Pagi Jumaat itu, Noreen mendapat panggilan daripada emak beritahu abang meninggal dunia dan akan dikebumikan selepas solat Jumaat.
"Apabila mendapat berita sedih itu, saya masih mampu ke rumah beberapa saudara saya di Kuala Lumpur untuk bawa mereka balik, sebab emak kata akan dikebumi selepas Jumaat.
"Tetapi alangkah kecewa dan sedihnya saya apabila sampai di Melaka, jenazah abang sudah dikebumikan. Lama saya sakit menahan rasa sedih tak dapat berjumpa arwah abang. Kami enam beradik tetapi arwah abang yang merupakan anak ketiga dalam keluarga, paling rapat dengan saya.
"Kalau saya beritahu pada abang, nak balik Melaka, arwah yang ada rancangan bercuti akan batalkan semata-mata mahu menyambut dan bersama saya," cerita Noreen lagi.
Setelah dua tahun, abang kesayangannya meninggal, Noreen diduga lagi. Ibu tersayang Saodah meninggal dunia.
Dua minggu sebelum ibunya meninggal, Noreen menetap di kampung untuk menjaga ibu tercinta.
Tanpa mengira siang malam, Noreen sentiasa berada di sisi ibunya. Bagaimanapun Noreen terpaksa balik ke Kuala Lumpur kerana anak sulungnya, Danial akan menghadapi Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Dua minggu saya duduk di kampung menjaga emak. Saya tidak kira siang atau malam, apa yang pasti saya mahu jaga mak dan makan minum mak.
"Apa saja mak nak makan, saya masakkan. Saya masih ingat sebelum saya balik, mak nak makan sangat sup ayam, saya masakkan.
"Masih terbayang di mata apabila saya nak balik sebab Danial nak periksa (PMR) mak bagaikan berat melepaskan saya pergi. Matanya sayu mengiringi saya balik, tapi...saya terpaksa balik," kata Noreen menyambung perbualan.
Menurut Noreen, sepanjang perjalanan balik ke Kuala Lumpur dia sentiasa berdoa semoga Tuhan memberinya peluang menatap wajah ibunya lagi setelah Danial habis PMR.
Sesampai di Kuala Lumpur, Noreen menghubungi ayahnya di kampung dan dia bersyukur sangat kerana ibunya masih bertahan.
Namun seperti yang dijanjikan bagi setiap insan di dunia, bila sampai waktunya kita menghadap Allah SWT tidak lambat sesaat dan tidak cepat walau sesaat.
Begitulah perjanjian yang ditentukan. Pada 22 Ogos 1996, Noreen mendapat panggilan telefon bonda tersayang pergi buat selama-lamanya.
"Hilang rasanya jiwa saya apabila mendapat khabar sedih itu apalagi saya mendapat tahu sebelum itu tiga empat kali, arwah emak telefon dan bertanya saya.
"Tanpa berlengah saya capai apa yang mampu dan bawa anak-anak balik ke Melaka. Sepanjang perjalanan, saya menangis tanpa henti. Walaupun terkilan tidak dapat mengadap emak di saat akhir, tetapi...sejuknya hati ini ketika melihat jenazah emak," kata Noreen lagi.
Setelah emaknya meninggal, Noreen menemankan ayahnya di kampung kerana tidak mahu ayah tercinta terbiar tanpa perhatian.
Lama juga Noreen menemani ayahnya. Bagaimanapun pada Mei 2007 setelah melihat ayahnya sihat Noreen pulang semula ke Kuala Lumpur .
Namun takdir menentukan segala-galanya, ayah yang ditinggalkan sihat mula terjejas kesihatannya gara-gara kakinya terluka.
"Saya terkejut apabila melihat ibu jari kaki kanan ayah luka tak baik-baik akibat terkena dawai mata punai reban ayam. Tahu-tahu sajalah orang tua, kalau dah duduk kampung menternak ayam seekor dua bagaikan menjadi satu kemestian.
"Apabila luka ayah tak baik, saya bawa ayah balik ke Kuala Lumpur pada akhir 2007. Setelah di rujuk ke Hospital Besar Kuala Lumpur, ayah dimasukkan wad dan ibu jari kaki ayah dipotong.
"Kaki ayah macam kena gangren dan sejak itu kesihatan ayah tidak begitu baik," Noreen berkongsi cerita mengenai derita Allahyarham ayahnya pula.
Sejak itu, Noreen membawa ayahnya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. Kesihatan ayahnya yang tidak menentu membuatkan Noreen lebih banyak menghabiskan masanya menemani dan menjaga ayah tercinta.
"Apabila kesihatan ayah semakin menurun, saya hantar ayah ke sebuah hospital pakar swasta. Selama 39 hari ayah diwad, tetapi ayah tetap tidak berubah.
"Pihak hospital membenarkan ayah dibawa balik ke rumah dan ketika itu, setiap saat ayah hanya terbaring di katil," cerita Noreen dengan nada sebak.
Sepanjang ayahnya dirawat di hospital, Noreen sanggup membuang semua kemewahan demi ayah tercinta.
Kondo mewah miliknya di Bangsar dijual dengan harga ratusan ribu ringgit untuk membiayai perubatan ayahnya yang dijangka akan mencecah RM100,000.
Malah, Noreen juga sanggup menjual kereta mewahnya, Mercedes-Benz dan membeli sebuah kereta jenis MPV bagi memudahkannya membawa ayahnya ke hospital.
"Tuhan lebih menyayangi ayah, pada 1 Oktober 2008 yang merupakan tarikh lahir saya, ayah saya menghembuskan nafas terakhir.
"Saya masih ingat waktu itu pukul 7 malam, senja dan hanya saya, Danial, Diana dan pembantu saya mengadap ayah.
"Dunia rasa gelap tiba-tiba, tapi saya harus kuatkan hati. Dengan bantuan kawan saya, jenazah ayah dibawa ke Masjid Kampung Baru dan segala urusan mandi dan kafankan jenazah dilakukan di situ.
"Setelah urusan selesai pada 2.30 pagi, jenazah ayah dibawa pulang ke kampung untuk dikebumikan pada keesokan harinya," cerita Noreen lagi.
Sejak pemergian orang tersayang, setiap dua tahun, Noreen merasakan hidupnya sudah tidak bermakna lagi.
Dia bukan sahaja berdoa pada Allah supaya setiap kali dia tidur dia tidak akan bangun lagi, malah perniagaannya juga musnah.
"Saya tahu setiap yang hidup akan mati. Malah saya redha dengan semua itu. Tetapi sebagai insan yang kerdil, kadang-kadang saya bagaikan tewas berdepan dengan semua ini.
"Apabila ayah sakit, saya jual Mercedes saya, saya jual kondo saya. Semua itu saya lakukan kerana mahu berikan yang terbaik untuk ayah.
"Ketika itu saya tidak malu apabila terserempak dengan kawan-kawan ada yang bagaikan memperli bertanyakan ke mana Merz saya. Saya tidak kisah semua itu kerana yang penting bagi saya keselesaan untuk membawa ayah ke hospital.
"Saya juga sanggup jual kondominium saya dengan harga lebih RM100,000 semata-mata untuk membiayai perubatan ayah. Sayangnya apabila kondo itu dijual ayah sudah meninggal dunia," katanya lagi.
Bukan itu sahaja, malah syarikat milik Noreen, Padussi Sdn. Bhd. ,yang telah beroperasi sekian lama akhirnya terpaksa ditutup kerana dia lebih banyak menghabiskan masanya meratapi kehilangan orang tersayang.
Padussi, syarikat perniagaan yang membekalkan alat-alat muzik kepada kerajaan dan sektor swasta terpaksa ditutup kerana kos pengurusan yang terlalu tinggi sedangkan bisnes tidak jalan.
"Macam mana syarikat nak buat bisnes kerana saya tidak ke pejabat hampir dua tahun setelah abang meninggal. Waktu itu, dunia saya hanya bilik dan tikar sembahyang. Saya tidak keluar rumah selama enam tahun.
"Pagi, petang, siang dan malam saya hanya mengurung diri di bilik kerana ingin merawat luka di jiwa saya.
"Sehinggalah November lalu, apabila bangun untuk menunaikan solat Subuh, saya bagaikan mendapat kehidupan baru dan bangkit untuk meneruskan hidup dengan anak-anak.
"Kini baru enam bulan saya pulih dari jiwa yang terluka dan harapan saya hanya satu untuk membina hidup bersama anak-anak," akui Noreen.
kesiannn
ReplyDeleteArwah Anak yg baik....semoga rohnya dicucuri rahmat.....aamiin
Delete