|
|
SETELAH gagal beberapa kali menjalin cinta, Dian akhirnya menemukan pelabuhan terakhir cintanya.
Maulana Indraguna Sutowo menjadi tempat hatinya berlabuh setelah bercinta selama dua tahun.
Kedua-duanya bertunang pada 14 Februari lalu dan selang tiga bulan selepas itu, pasangan berkenaan disatukan pula sebagai suami isteri pada 18 Mei.
Pelakon, Ada Apa Dengan Cinta?, Dian atau nama sebenarnya Dian Pramita Sastrowardoyo, 28, menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hati yang juga sebaya dengannya.
Pernikahan yang menggunakan adat Jawa itu dijalankan di Hotel Dharmawangsa Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.
Pada majlis pernikahan itu, Dian menerima sepasang telekung dan perhiasan emas sebagai mas kahwin.
Perhiasan emas seberat 185 gram itu melambangkan tarikh pernikahan mereka pada 18 Mei.
Mas kahwin tersebut diserahkan kepada bapa saudara Dian yang menggantikan ayahnya yang telah meninggal dunia.
Setelah selesai akad nikah Dian dan suaminya melakukan adat panggih (bertemu) pengantin setelah kedua-duanya dipisahkan selama tiga minggu.
Ia merupakan adat yang berasal dari Jogjakarta iaitu pasangan pengantin ditemukan semula setelah rasmi menjadi suami isteri.
Mengikut adat yang diwarisi, pasangan pengantin itu, tidak dibenarkan bertemu selama tiga minggu sebelum mereka disatukan.
Sejam selesai akad nikah, Dian keluar dari 'persembunyian' dan ditemukan dengan Maulana yang secara rasmi menjadi suaminya.
Dian yang anggun mengenakan busana pengantin kebaya off white muncul di depan Maulana dengan senyuman lebar.
Pada acara bersejarah itu, Maulana pula memakai pakaian pengantin berwarna putih dengan topi jawa dikenali sebagai blangkong berwarna hitam setelah penantian untuk bertemu dengan pasangannya berakhir.
Setelah itu dilanjutkan dengan upacara adat panggih yang bermula dengan melemparkan daun sirih di antara Dian dan Maulana.
Dian juga mencuci tapak kaki suaminya dengan air berasal dari lima sumber. Pasangan itu akhirnya duduk bersanding di pelamin di hadapan ratusan tetamu dan ahli keluarga.
Dian mengalirkan air mata semasa pernikahannya. Bukan sahaja kerana bahagia bergelar isteri kepada lelaki yang dicintainya tetapi juga terkenangkan arwah bapanya yang tidak sempat melihat peristiwa bersejarah dalam hidupnya itu.
Menurut Dian, suaminya tidak pernah bertemu dengan bapanya dan hanya melihat gambar-gambar sahaja.
Dian dan Maulana bertemu pada tahun 2007 dan akhirnya menjalinkan hubungan cinta.
Resepsi pernikahan diadakan di Pienary Hall Jakarta Convention Centre di Senayan, Jakarta.
Selepas pernikahan kedua-duanya tetap mahu menjalani hidup seperti sebelum mereka menikah dahulu.
Berdasarkan rancangan dan kata sepakat, pasangan pengantin itu akan meneruskan kehidupan mereka biarpun sudah terikat dengan komitmen sebagai suami isteri.
Baik Dian mahupun Maulana, masing-masing memahami prinsip bahawa kedua-duanya harus menghormati kerjaya peribadi masing-masing.
"Tapi yang pasti dalam kehidupan perkahwinan akan banyak perbincangan dan komunikasi untuk ambil keputusan, salah satunya tentulah tentang pekerjaan.
"Saya dan Dian dari awal sudah memahami pekerjaan satu sama lain. Kalau memang Dian masih mahu memenuhi kerjayanya tidak menjadi masalah, sebab saya juga mempunyai karier sendiri," kata Maulana.
Bagi aktres kesayangan ramai itu pula, selepas bergelar isteri, dia akan memberi perhatian pada rumah tangga.
"Yang pasti kami akan selalu mengutamakan keluarga kemudian baru kerjaya. Sebelum mengambil sebarang keputusan, saya akan berbincang dengan suami.
"Apa-apa yang akan kita putuskan pasti tergantung dengan perbincangan atau komunikasi kami berdua," kata Dian.
Pasangan Dian dan Maulana juga merancang untuk mengelilingi Laut Mediteranian sebagai destinasi bulan madu pilihan mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: