MENJADI antara penyalur berita dan informasi utama negara, memiliki hos atau penyampai berita yang diingati serta mampu menjadi ikon dalam dunia penyiaran amat penting dalam mengekalkan jenama TV3. Dalam mencapai misi dan mengekalkan kualiti, TV3 sentiasa mencari alternatif untuk memastikan penyampai mereka menyemai piawan yang telah dicapai oleh bekas pengacaranya yang berwibawa.
Sebut sahaja nama Datuk Mahathir Lokman, Aznil Haji Nawawi, Christine Ling, Suhaimi Sulaiman dan ramai lagi, mereka mungkin sudah tidak lagi berkhidmat di bawah bumbung itu. Namun, mereka masih diingati sebagai pengacara kelahiran TV3. Itu impak yang menjadi inspirasi kepada generasi baru yang mahu menyertai dunia pengacaraan.
Pencarian secara sehala mungkin tidak lagi berkesan dalam mendapat pengacara idaman penonton. Maka, menerusi program realiti terbitan TV3, Top Host 2010, kelebihan sudah berpihak kepada peserta apabila mereka terlebih dahulu sudah popular walaupun belum bergelar pengacara.
Memulakan siaran pada 3 Mac lalu, salah seorang daripada lima finalis, Za'im Helmi Zaini, 24, Nur Liyana Adnan, 23, Nabihah Md Rosdi, 23, Fadhil Mohamad Isa, 25, dan Syazwani Diyana Mohamad Isa, 24, bakal bergelar juara pada program yang disiarkan pukul 9 malam ini. Pemenangnya akan menyertai keluarga TV3 dengan diberi tanggungjawab mengendalikan sebuah program serta membawa pulang wang tunai RM10,000.
Diterbitkan oleh Ally Iskandar, kelima-lima finalis yang ditemui di pejabat Kosmo! mengaku tugasan yang diberikan sepanjang tiga bulan penyertaan program itu amat mencabar. Namun, mereka semua berjaya menimba apa yang diperlukan oleh seorang pengacara yang komited, bersungguh serta mampu menyampaikan maklumat dengan baik, pantas dan berkesan.
Za'im Helmi Zaini
Berasal dari Shah Alam, figura itu tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang pengacaraan. Namun, minatnya telah mendorong Za'im untuk mencuba nasib. Memberitahu dirinya telah mempelajari cara percakapan lebih jelas, Za'im bagaimanapun aktif mengacara semasa belajar di kolej.
"Selama tiga bulan ini, apa yang utama saya pelajari adalah bertutur dengan menggunakan Bahasa Melayu yang tepat. Saya suka cara bersahaja Ally. Dia seorang pengacara yang yakin dan tahu apa yang perlu dilakukan. Saya sendiri perlu memperbaiki terutama semasa mengendalikan program secara langsung," kata Za'im yang gementar ketika mengacara program Malaysia Hari Ini (MHI) buat kali pertama.
Diberi tugasan secara mingguan, penilaian dibuat oleh juri bagi menentukan siapa yang akan disingkirkan. Manakala tugasan bagi pusingan akhir hanya akan diberi pada hari berkenaan. "Walaupun ini merupakan percubaan pertama saya, suara saya merupakan kelebihan berbanding peserta lain.
"Bagi saya, Top Host merupakan sebuah program yang bagus untuk mencungkil bakat baru. Di sini, saya bukan sahaja dapat memperbaiki bahasa tetapi juga mendisiplinkan diri serta menyediakan diri untuk mencapai impian menjadi seorang pengacara."
Nur Liyana Adnan
Turut tidak mempunyai latarbelakang dalam bidang pengacaraan, Liyana yang mempunyai impian untuk menjadi pembaca berita di TV3 telah memilih Top Host 2010 sebagai platform. Namun, Liyana sedar cita-citanya itu tidak senang untuk dicapai kerana apa yang dipelajari selama tiga bulan itu masih tidak mencukupi.
"Menjadi seorang pengacara bukan senang kerana anda juga perlu tahu selok-belok produksi termasuk menyunting skrip dan visual. Kami belajar bukan sahaja untuk beraksi di depan kamera tetapi juga belakang kamera. Selain daripada itu, kami juga menjadi penerbit dan wartawan penyiaran. Semua benda kami perlu belajar," kata Liyana yang berasal dari Pahang.
Menyukai tugasan Jangan Tidur Lagi, Liyana menyatakan dirinya seorang yang petah bercakap. Namun, itu juga merupakan kelemahannya. "Saya risau jika saya bercakap terlalu laju, penonton tidak akan mendengar apa yang ingin saya katakan. Jadi saya perlu banyak belajar untuk memperlahankan cara percakapan saya.
"Walaupun yakin, saya akan cuba sebaik mungkin untuk merealisasikan impian saya," ujarnya yang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris."
Nabihah Md Rosdi
Mengambil Karam Singh Walia sebagai ikon pujaan, Nabihah mula menyukai bidang pengacaraan pada tahun 2004. Ketika itu, pensyarah Nabihah memberitahu bahawa dia lebih sesuai untuk mencuba bidang penyiaran kerana dirinya suka bercakap. Maka, apabila Nabihah mendapat tahu mengenai uji bakat Top Host 2010, dia mencuba nasib.
"Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka akan berjaya ke peringkat ini. Dalam masa tiga bulan ini, saya banyak belajar. Bagi saya, setiap tugasan yang diberikan ada cabaran dan kelainannya. Dari situ saya mengumpul setiap pengalaman dan ilmu yang diperlukan untuk menjadi seorang pengacara berkaliber," katanya yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan.
Membuat persediaan dengan banyak membaca terutama isi semasa, Nabihah juga sering berlatih bercakap depan cermin. "Nasib baik saya seorang yang tenang semasa bercakap di depan kamera. Mengawal perasaan gemuruh itu amat penting dalam menyampaikan komunikasi sempurna.
"Namun, saya seorang yang cepat hilang inti pati untuk meneruskan perbualan. Jadi sentiasa peka dan bersedia amat penting bagi saya," tambahnya yang merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara.
Fadhil Mohamad Isa
Merupakan satu-satunya peserta yang mempunyai pengalaman dalam dunia penyiaran, Fadhil pernah bekerja sebagai penyampai berita di Bernama TV. Namun, Fadhil tidak menganggap itu satu kelebihan kerana baginya semua peserta datang dengan tangan kosong untuk menimba ilmu.
"Dulu saya merupakan pembaca berita separuh masa. Tapi bagi saya setiap peserta ada kelebihan masing-masing. Setiap orang ada perwatakan serta pemikiran berbeza. Menariknya, Top Host bukannya hanya mengajar kita untuk berada di depan kamera sahaja. Jadi banyak benda yang belum saya kuasai sebenarnya," jelas Fadhil.
Tambah jejaka kelahiran Sibu, Sarawak itu, ada kalanya tahap keyakinan yang ada pada dirinya sedikit sebanyak menjejaskan prestasinya. Jadi sepanjang tempoh pertandingan, dia menggunakannya untuk mengurangkan perasaan yakin dalam dirinya. "Kadang-kala tahap keyakinan yang terlalu tinggi tidak baik. Tapi kita kena percaya dengan naluri hati.
|
|
"Dulu saya seorang yang pemalu tetapi selepas menjadi jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), saya mula mengubah diri dan mengejar impian untuk menjadi seorang pengacara."
Syazwani Diyana Mohamad Isa
Syazwani, pelajar jurusan penyiaran Universiti Teknologi Mara merasakan apa yang dipelajarinya sebelum ini memudahkan dia memahami keseluruhan proses pengajaran di Top Host. Berkongsi ilmu yang ada dengan peserta lain, Syazwani bagaimanapun memberitahu apa yang dipelajarinya hanya teori.
"Mungkin dari segi teori saya mempunyai kelebihan tetapi bukannya praktikal. Ilmu asas itu hanya satu kemudahan kerana banyak lagi yang saya tidak ketahui. Tapi, saya sukakan cabaran dunia kewartawanan. Mencari berita, membaca berita atau menjadi pengacara, semua saya ingin mencuba," katanya yang berasal dari Melaka.
Menyatakan dirinya lebih keras, Syazwani berdepan dengan kesukaran apabila diperlukan untuk mengacara dalam program MHI. "Dalam segmen yang dikendalikan oleh saya itu, saya diperlukan untuk bersantai. Jadi ia sangat sukar bagi saya tetapi saya tidak berputus asa.
"Untuk menjadi pembaca berita keluarga TV3 bukan senang. Jadi saya perlu mencari peluang yang ada sebaiknya. Jika tidak perjalanan saya selama ini akan disia-siakan," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: