|
|
WALAUPUN mengalami alahan yang teruk pada awal kehamilan, ia sedikitpun tidak menjejaskan rutin harian Konstabel Nur Hazwani Ahmad Safri, 26, sebagai anggota trafik yang sudah tiga tahun berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
"Empat bulan pertama hamil, saya mengalami alahan yang teruk seperti loya, pening dan kadang-kadang muntah. Bagaimanapun, saya masih melaksanakan tugas seperti biasa.
"Saya masih menyertai tugasan luar seperti kawalan lalu lintas, sekatan jalan dan operasi-operasi trafik seperti lumba haram dan samseng jalanan," katanya ketika ditemui Gaya Polis di IPD Petaling Jaya baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Nur Hazwani, selepas masuk bulan keempat hamil, dia tidak lagi melakukan tugas-tugas luar sebaliknya digantikan dengan kerja-kerja pentadbiran.
"Ketika sebelum hamil, saya mesti sentiasa bersedia dipanggil bekerja tidak kira masa dan tiada pengecualian menyertai mana-mana operasi trafik.
"Bezanya kini, saya dibenarkan bekerja waktu pejabat iaitu masuk pukul 8.30 pagi dan pulang pukul 5.30 petang setiap hari serta dapat berehat pada sebelah malam," jelasnya.
Tugas harian Nur Hazwani di Unit Pendaftaran Kertas Siasatan dan Statistik Trafik IPD Petaling Jaya sejak hamil termasuklah mendaftarkan kertas-kertas siasatan, merekodkan statistik pengeluaran saman dan lokasi saman.
"Kadang-kadang saya perlu menyediakan lebih 100 kertas siasatan untuk didaftarkan. Bagaimanapun, rakan-rakan dan penyelia sedia membantu sekiranya keadaan saya tidak mengizinkan.
"Biasanya, saya akan berterus terang dengan penyelia jika saya tidak mampu melakukan tugas tersebut dan meminta izin untuk berehat seketika sebelum menyambung kembali bekerja," jelasnya.
Katanya lagi, rakan-rakan sejawat banyak membantu dan memahami keadaan dirinya yang sudah berbadan dua.
"Tiga minggu lalu saya dimasukkan ke wad Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia selama seminggu, kerana paras gula terlalu tinggi serta mengalami masalah sembelit.
"Dalam tempoh itu, tugas-tugas saya diambil alih oleh rakan-rakan sejawat. Malah, tempat saya ini bakal digantikan dengan seorang kerani awam sepanjang tempoh dua bulan berpantang nanti," katanya yang merancang untuk berpantang di kampung ibunya di Melaka.
Tambahnya lagi, selain mendapat sokongan rakan-rakan sejawatnya, dia sangat bertuah memiliki suami yang amat memahami kerjayanya.
Mengimbas kembali kenangan awal pertemuan mereka, Nur Hazwani memberitahu cinta pandang pertama mereka mula bertaut ketika dia sedang bekerja sambilan di sebuah pasar raya di Maluri kira-kira empat tahun lalu.
"Ketika itu saya masih belajar dalam jurusan Diploma Akauntan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dan bekerja sebagai jurujual secara sambilan di pasar raya tersebut.
"Walaupun umur suami lebih tua tujuh tahun dari umur saya, ia bukan penghalang jodoh antara kami. Segalanya berjalan lancar, kami bercinta setahun sebelum mengikat tali pertunangan dan mendirikan rumah tangga tahun lalu.
"Saya amat bersyukur memilikinya sebagai suami kerana dia sangat penyayang, memahami dan memberi sokongan penuh terhadap kerjaya yang amat saya minati ini," katanya tersenyum.
Jelas anak ketiga daripada lima beradik ini, minatnya dalam kerjaya kepolisan ini tercetus gara-gara suka menonton drama dan filem aksi seperti 'Gerak Khas' dan 'Crime Scene Investigation'.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: