SEIRING dengan kematangan usia yang masuk angka 28 tahun, Lan atau nama sebenarnya Norazlan Yuslee bekas vokalis band Meet Uncle Hussain yang kini berdiri di atas nama Azlan & The Typewriter (ATT) secara terbuka memberitahu dia bakal mengakhiri zaman bujangnya pada penghujung tahun ini.
Menurut Lan yang ditemui pada majlis pengumuman tiga finalis projek Pembikinan Video Muzik Rasmi (MOV) di Petaling Jaya baru-baru ini, sudah sampai seru untuknya berkahwin dengan tunangnya Normala Hassan, 28, yang dikenali sejak dua tahun yang lalu.
"Memang saya akan berkahwin hujung tahun ini di antara bulan November atau Disember. Saya memang sudah sedia untuk berkahwin dan dengan umur saya, rasanya tahun ini waktu yang cukup sesuai," ujarnya yang memang menyasarkan ingin menamatkan zaman bujang sebelum umur 30 tahun.
Walaupun begitu akui Lan, jauh di sudut hatinya dia begitu berdebar apabila bercerita bab kahwin kerana baginya tugas sebagai seorang suami yang akan dipikulnya kelak merupakan satu tanggungjawab yang begitu berat.
"Takut sebenarnya bila cakap pasal kahwin. Majlis kahwin itu saya tidak kisah sangat tetapi kehidupan selepas majlis itu yang saya bimbangkan. Bermacam persoalan berlegar di kepala saya.
"Mampukah saya jadi suami yang baik? Bolehkah saya memikul beban dan menjadi seorang ketua keluarga? Nanti bila sudah ada anak macam mana pula? Itu antara soalan-soalan bila saya ingat saya akan jadi takut," terangnya secara jujur.
Oleh kerana itu, jadual harian Lan kini bertambah sibuk daripada biasa. Masanya dihabiskan di studio dan persembahan pentas. Katanya, untuk menambah pendapatan.
"Bila saya fikir tanggungjawab saya akan bertambah, saya motivasikan diri untuk bekerja lebih kuat supaya dapat menambah duit. Perbelanjaan perkahwinan bukannya sedikit, begitu juga kehidupan selepas kahwin.
"Saya tidak boleh lagi menghabiskan masa tanpa arah tuju sebab saya bukan sara diri saya seorang sahaja tetapi akan mempunyai keluarga sendiri selepas ini," ungkapnya yang dilihat bertambah matang.
Majlis perkahwinan yang masih belum ditentukan lokasinya itu pastinya menjadi hari bersejarah untuk Lan. Walaupun bergelar artis, kata Lan, dia mahukan majlis yang sederhana dan biasa-biasa sahaja.
"Lokasi majlis belum tahu lagi sama ada di belah keluarga perempuan di Johor atau di rumah keluarga saya di Hulu Langat, Selangor atau pun kedua-duanya sekali. Majlisnya pula, biar meriah tetapi sederhana sahaja," ujarnya yang telah menghadiri kursus perkahwinan.
Bukan sengaja lewat
Nampaknya Lan kini semakin selesa dengan ATT. Kisah krisis kerjanya dengan band terdahulu dan masalah disiplin yang sering membelenggu dirinya dibuang jauh.
Walaupun tidak dapat lari daripada terlewat seperti mana dia terlewat satu jam setengah pada majlis ini, Lan menjelaskan kesibukannya membataskan dirinya untuk berada di setiap majlis pada waktu yang ditentukan.
"Saya akui saya sangat-sangat sibuk sekarang ini. Waktu tidur pun tidak cukup. Ada kalanya saya hanya sempat tidur satu setengah jam sahaja.
"Kalau terjaga saya sempatlah datang ikut waktu, kalau terlepas nak buat macam mana. Saya bukannya robot, saya manusia biasa.
"Tetapi sebolehnya saya akan patuhi waktu yang ditetapkan. Saya tahu kerja saya membabitkan ramai orang, jika masih ada yang terasa saya minta maaf," tuturnya.
Mungkin selepas kahwin jadual waktu Lan akan lebih terurus jika diuruskan oleh bakal isterinya kelak, Lan bagaimanapun menggelengkan kepala tanda tidak setuju untuk mengheret bakal isterinya itu ke dalam kerjayanya.
"Kerjaya saya biar saya uruskan sendiri kerana dia pun ada kerjayanya juga. Kerja dan perkahwinan kalau boleh jangan dicampurkan. Setakat ini, saya selesa dengan cara kerja saya," luahnya.
70 penyertaan
ATT yang kini popular lagu Kelibat Si Penyair bakal muncul dengan klip video terbaru menerusi lagu Gerak Hati pada 23 Mei depan.
Menariknya projek MOV yang mengharus setiap peserta membikin klip video lagu Gerak Hati itu telah menerima lebih 70 penyertaan, bagaimanapun hanya tiga finalis akan berentap di peringkat akhir.
Mereka adalah pelajar Kolej Segi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Multimedia (MMU).
Status sebagai pelajar tidak menggusarkan Lan kerana baginya golongan pelajar lebih kreatif dan mempunyai pelbagai idea yang segar.
"Letih juga buat klip video dengan mereka. Para pelajar ini amat kreatif dan mempunyai idea yang saya tidak pernah fikirkan sebelum ini.
"Pengalaman saya membuat klip video bersama mereka sangat menarik kerana badan saya di cat, karakter saya di ubah dan saya disuruh berlakon," katanya.
Tambah Lan, kadangkala dia merasakan golongan pelajar lebih kreatif daripada mereka yang berpengalaman dalam pembikinan klip video.
"Bukan nak kata golongan berpengalaman tidak bagus tetapi mungkin sudah terlalu kerap membikin klip video menyebabkan mereka kekeringan idea yang segar," balasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: