Wednesday, May 5, 2010

Bront kini hero




KEMUNCULAN Nasrul Suhaimin atau lebih dikenali sebagai Bront Palarae, di layar filem adalah mahu menonjolkan bakat. Itu sahaja niatnya, tiada lain. Menolak tempias populariti beragam atau berpaksi deretan cerita remeh, aktor berbakat besar itu tidak kisah ditawarkan watak sampingan.

Dalam erti kata lain, dia mendahului karakter pelakon pembantu yang menjadi penyeri keseluruhan sesebuah naskhah sejak enam tahun lalu. Masa lekas berjalan, tanpa disedari, dia sudah menjadi pemain 15 buah filem walau sosoknya muncul dalam beberapa adegan sahaja.

Begitupun, saat Bront sedang menghabiskan waktu bersisa di Hatyai, Thailand lebih setahun lalu sambil menjaga salah seorang ahli keluarga yang uzur, satu panggilan telefon berjaya mengubah rentak tarinya dalam sinema tempatan.

Di hujung talian, kedengaran suara pelakon dan pengarah baru, Jason Chong memberi peluang berharga buat lelaki berusia 32 tahun itu. Tidak lagi menempel beberapa babak, karya Belukar sebaliknya menonjolkan individu fasih berbahasa Hokkien, Thailand, Melayu, Inggeris dan sedikit Itali itu sebagai hero filem.

"Sewaktu dapat tawaran pelakon utama, sudah pasti rasa gembira. Tidak segera menyatakan persetujuan, saya sebaliknya beri tempoh kepada Jason untuk berfikir semula tentang pelawaannya. Mendengar judulnya sendiri membuatkan saya terfikir lokasi penggambaran bakal dilakukan di kawasan hutan.

"Menerima skrip dihantar oleh Jason tidak lama kemudian, saya terus baca lima muka surat awal, pertengahan dan penghujung. Selepas itu, barulah saya tahu plot cerita ini menarik berbanding filem sedia ada di negara ini. Lagipun saya ingin mengelak daripada pamerkan watak lelaki kelakar dan sengal.


GANDINGAN mantap Bront dan Daphne.


"Saya terus hubungi Jason dan memberitahu ingin terlibat dalam filem ini. Terus terang, ia tidak sesukar seperti difikirkan kerana babak saya hanya dilaksanakan sekitar tempat penginapan dan gudang," kata Bront ketika ditemui pada majlis pratonton Belukar di Golden Screen Cinema (GSC), One Utama, Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Sambung Bront yang membuat kemunculan pertama dalam filem Lang Buana pada tahun 2003, menyaksikan wajah sendiri di skrin lebar sebagai watak utama menjadi perkara paling pelik kepadanya.

"Saya pun jadi hairan. Malah, sampai sekarang masih ada perasaan lain apabila jadi hero filem. Tidak anggap ia terlalu melonjakkan populariti sendiri, saya sebaliknya mula lihat tanggungjawab lebih besar selepas dapat watak utama.

"Dulu kalau pegang karakter pembantu dengan dua atau tiga babak tanpa perlu hadiri sesi fotografi dengan pihak media, kini semua mula berubah. Bahkan, saya pikul amanah lebih besar hendak jual filem ini kepada peminat," tuturnya yang mahu lebih dikenali kerana memfokuskan hasil kerja berkualiti daripada menjadi penghias majalah dan surat khabar meraih kemasyhuran.

Pernah ditawar watak utama dalam filem selepas wajah hitam manisnya berlegar di kaca televisyen menerusi drama berantai, Sindarella, Bront bagaimanapun menolak tawaran tersebut disebabkan tidak berminat dengan karakter yang dipegangnya.

"Peluang berlakon dalam karya ini ibarat bulan jatuh ke riba. Berbaloi jugalah rasanya menanti beberapa tahun untuk menerajui watak dalam filem. Sampai tulang rusuk saya boleh bergegar disebabkan memberi komitmen penuh terhadap Belukar.


BRONT pada mulanya 'terganggu' dengan keseksian dan kejelitaan heroinnya.


"Kalau selepas ini ditakdirkan hanya sekali bergelar hero menerusi Belukar, rasanya ia cukup memuaskan hati saya," ungkap Bront yang menanam impian berlakon di bawah arahan sutradara punya keunikan tersendiri, Mamat Khalid.

Belukar yang akan muncul menjadi sinema pertama menayangkan anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu di layar perak memegang peranan utama pasti menjadi pembakar semangat Bront memulakan langkah seterusnya. Atau mungkin, itu satu petunjuk bahawa dunia perfileman Malaysia bakal melahirkan seorang lagi hero baru untuk peminatnya.

Lenggok badan Daphne

Memainkan watak Nik, seorang penyiasat insurans, bekas pengacara Beat TV itu berpendapat karakternya tidak mudah diselesaikan seperti sangkaannya sebelum ini.

"Nik berada dalam dilema antara cinta dan kerja dengan wanita Sabah, Eva lakonan Daphne Iking. Dia seorang manusia bercita-cita tinggi dan serius dengan kariernya. Namun, sampai satu tahap dia mula berubah apabila jatuh cinta dengan Eva.

"Saya bernasib baik kerana tidak berdepan masalah berganding dengan wanita jelita, seksi dan menjadi pujaan ramai lelaki seperti Daphne. Cuma pada permulaan latihan sebelum mula penggambaran, saya ibarat patung kerana Daphne cukup ekspresif.


BELUKAR cukup signifikan dalam karier lakonan Bront.


"Sejujurnya, saya agak terganggu dan malu berlakon dengan Daphne. Barangkali dia perasan kejanggalan saya lalu Daphne tunjuk lenggok badan biasa. Syukurlah kerana selepas itu saya jadi lebih bersahaja. Tiga hari berada di set, kami sudah boleh serasi dengannya.

"Tidak berani bercakap banyak, selebihnya saya serahkan penilaian orang ramai terhadap mutu lakonan saya dalam filem ini," jelasnya yang bakal melibatkan diri dalam projek filem selanjutnya, Hanyut arahan U-Wei bergandingan dengan aktor tersohor Indonesia, Alex Komang bulan depan.

Mengukur paras kepuasan diri beraksi sebagai Nik selepas menonton Belukar yang siap disunting bersama pihak media, Bront tanpa berselindung berkata, masih banyak kekurangan di sana sini perlu diperbetulkan.

"Tidak dinafikan, ada yang harus diperbaiki. Biarpun saya sudah tengok banyak kali dengan pelakon lain, kami rasa ada babak tertentu boleh dibuat dengan lebih baik. Malah, sampai ada rasa hendak buat penggambaran semula demi mencantikkan perjalanan Belukar.

"Tetapi, kami tetap rasa okey dengan hasilnya sekarang. Cuma jauh di sudut hati, masih ada rasa kurang puas hati. Bagus juga muncul perasaan macam ini kerana ia adi pendorong kepada saya dan semua pelakon terlibat perbaiki diri pada masa depan," luahnya yang kali terakhir melibatkan diri dalam filem V3: Samseng Jalanan.


MEMBAWAKAN watak seorang penyiasat insurans bernama Nik.


Selain Bront dan Daphne, Belukar turut dibarisi oleh Chew Kin Wah, Danny Anwa, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Azhar Sulaiman, Sabrina Hassan, Azwan Kombos, Xavier Fong, Ekin Rahman dan Yazer Yusof (AF3) serta ramai lagi.

Untuk mengetahui kelainan Belukar yang menjadikan Sabah sebagai saksi penggambaran selama 24 hari, peminat boleh menyaksikan filem terbitan sulung Preston Zaidan Productions Sdn. Bhd. itu di pawagam seluruh negara bermula 6 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: