
GADIS berusia 34 tahun ini pemilik bibir yang seksi dan unik. Merenung ke arah mulut mungilnya berbicara, membuatkan khalayak turut terikut-ikut gerak bibirnya.
Audrey Tautou atau nama sebenarnya Audrey Justine Tautou memiliki pesona yang tersendiri hingga ada yang menyamakan keseksian dirinya persis sebuah lukisan abstrak - harus lama ditenung dan diberi perhatian hingga terserlah setiap inci kecantikannya.
Anak kelahiran Beaumont, Puy-de-Dôme, Perancis ini kecil molek orangnya. Namun, bakat yang dipikul dalam tubuh yang comel itu melebihi jasad sebenar.
Pada tahun 1998, si manis ini pernah memenangi Anugerah Pelakon Muda Terbaik pada Festival Beziers Kesembilan.
Kemudian muncul pula filem Amelie yang terus melonjakkan namanya. Watak Amelie dalam filem tersebut melekat pada dirinya buat seketika.
"Selepas filem Amelie mendapat kejayaan besar, saya seperti tidak mahu berlakon dalam filem lain.
"Saya hanya mahu melakukan sesuatu yang lebih kecil," jujurnya bersuara menghadapi dunia glamor di depannya.
Kini setelah pernah muncul dalam kancah hiburan Hollywood dengan filem Da Vinci Code bersama Tom Hanks, Audrey membawakan watak seorang ikon fesyen.
Chanel adalah taruhan terbaru Audrey yang bakal ditayangkan di panggung wayang Malaysia bermula Mei ini.
Filem dengan tajuk asal Coco Avant Chanel itu mengungkap masa lampau seorang pereka busana berjaya dan kemudian menjadi sumber inpirasi pereka fesyen yang lahir selepas itu.
"Saya tidak pernah melakukan satu-satu kerja sebanyak dua kali. Saya sukakan kejutan," akuinya dalam satu temu ramah.
Maka, dia cuba membawakan watak pereka fesyen terkenal tersebut walaupun dalam hatinya mengatakan Chanel ialah seorang pembohong.
"Chanel berbohong mengenai masa kecilnya hingga menyukarkan kita untuk menggambarkan dirinya yang sebenar sebelum dia terkenal.
"Saya tidak tahu kenapa, mungkin dia malu atau tidak mahu khalayak berasa kasihan kerana dia berasal daripada keluarga yang miskin," ujar Audrey yang menganggap itu adalah kesulitan membawakan watak legenda tersebut.

Dia mendalami Chanel sebaik mungkin dan menggali kesepian dan kesedihan pereka fesyen yang lahir pada 19 Ogos 1883 dengan nama Gabrielle Bonheur Chanel itu.
Kali pertama Audrey menjejakkan kaki ke Paris, dia teruja melihat kecantikan kaum wanita di sana yang memperagakan busana dengan penuh yakin.
Rezeki datang bergolek apabila Audrey dipilih menjadi wajah baru bagi produk minyak wangi, Chanel No. 5.
Menggantikan Nicole Kidman, ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan untuk gadis yang namanya bermaksud 'kekuatan mulia' ini.
Di luar waktu sibuknya, Audrey, wanita yang pernah tersenarai antara wanita paling seksi tahun 2002, sukakan monyet. Malah dia pernah mengembara ke hutan-hutan di Indonesia untuk membantu pemuliharaan habitat haiwan primat itu.
Pernah menyatakan bahawa dirinya dilahirkan tidak cantik, gadis berdarah Perancis ini turut merasakan Hollywood tidak secocok dengan jiwanya.
"Pada akhirnya, saya tetap seorang pelakon Perancis. Bukan saya tidak mahu lagi untuk membikin filem berbahasa Inggeris tetapi rumah, komuniti dan karier saya berakar dari Perancis.
"Saya tidak mungkin berpindah ke Los Angeles," ujar Audrey yang tebal jati diri Perancisnya.
I luv Audrey <3.
ReplyDelete