|
|
BA'KELALAN sememangnya satu kawasan yang unik di negara ini kerana ia merupakan satu-satunya kawasan yang boleh ditanam dengan epal yang rasanya manis sekali.
Kedudukannya di kawasan tanah tinggi Bario iaitu kira-kira 1,000 meter dari aras laut, membolehkan kawasan jauh di pedalaman utara Sarawak itu menikmati udara sejuk dan nyaman sekali gus tanaman epalnya juga dapat tumbuh dengan subur.
Selain epal Ba'kelalan, keindahan alam sekitarnya yang belum tercemar dengan kemodenan turut menggamit kedatangan orang ramai ke kawasan dengan populasi kira-kira 5,000 orang itu yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum Lunbawang.
Namun di sebalik manisnya epal tersebut dan keindahan alamnya, penduduk Ba'kelalan terpaksa melalui kehidupan yang agak perit terutama untuk berhubung dengan bandar berdekatan.
Lawas boleh dikatakan nadi bagi penduduk Ba'kelalan kerana segala barangan keperluan dan perkhidmatan diperoleh di bandar itu.
Ba'kelalan yang terletak di kawasan gunung ganang dan di tengah belantara tebal tidak mungkin dapat menyediakan segala keperluan untuk penduduknya.
Apatah lagi ia hanya boleh dihubungkan dengan jalan darat yang sebenarnya merupakan jalan untuk lori mengangkut keluar kayu balak dari belantara Ba'kelalan.
Sebab itu, perjalanan antara Ba'kelalan dan Lawas sejauh kira-kira 70 kilometer mengambil masa sehingga enam jam. Itupun bergantung pada keadaan cuaca. Jika hujan, permukaan jalan penuh dengan lumpur yang kadangkala separas dengan lutut.
Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan jalan sukar dilalui tetapi juga mendedahkan risiko kenderaan terbabas atau terbalik ke gaung yang dalam.
Malah jambatan kecil yang merentasi beberapa batang sungai dengan menggunakan batang balak juga kadangkala dihanyutkan arus deras sungai ketika hujan lebat.
Selain jalan balak yang hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda, Ba'kelalan juga mempunyai sebuah lapangan terbang kecil khusus untuk pesawat ringan seperti Twin Otter dan juga helikopter.
Namun sudah pasti ia bukan kenderaan harian untuk penduduk Ba'kelalan walaupun ia juga banyak membantu daripada segi kemudahan lain.
Menyedari keperitan dan kesukaran hidup penduduk Ba'kelalan itu, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bekerjasama untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan di kawasan tersebut melalui program Jiwa Murni yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera.
Komitmen itu kini menjadi realiti apabila kerja-kerja awal pembinaan bermula Oktober tahun lalu.
peruntukan RM52 juta
Menerusi program itu, peruntukan sebanyak RM52 juta disediakan bagi membina jalan baru sepanjang 75 kilometer antara Kampung Buduk Nur yang menempatkan Lapangan Terbang Ba'kelalan dan Lawas.
Kerja-kerja menaiktaraf jalan itu juga melibatkan pembinaan 10 batang jambatan Bailey bagi menggantikan jambatan balak.
Projek tersebut sepatutnya menelan belanja lebih daripada RM100 juta tetapi dapat dijimatkan hampir separuh apabila ia dilaksanakan oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Program Jiwa Murni di Ba'kelalan itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pembinaan empat jambatan Bailey bagi fasa I manakala fasa kedua yang melibatkan kerja meningkat taraf jalan akan bermula sebaik sahaja pembinaan jambatan selesai.
Sebanyak 40 anggota RAJD terlibat dalam program Jiwa Murni itu. Bagi melaksanakan misi itu, anggota terlibat berkampung di Ba'kelalan dengan rutin setiap hari menuju ke tapak projek untuk membina jambatan.
Kerja tersebut tidak mudah kerana anggota terlibat perlu 'bertarung' dengan hujan lebat yang sering membasahi bumi Ba'kelalan dan juga terik matahari sebelum hujan turun.
Keadaan itu juga menyebabkan kerja pembinaan jambalan Bailey terlewat sedikit akibat hujan lebat dan keadaan jalan yang berlumpur menyukarkan lagi pergerakan kenderaan yang terlibat dengan projek tersebut.
Prihatin dengan pelaksanaan projek tersebut dan mahu membuktikan komitmen kerajaan terhadap kerja-kerja menaiktaraf di Ba'kelalan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turun padang meninjau pembinaannya baru-baru ini.
Sebaik sahaja melepasi jalan balak yang penuh berliku itu, Ahmad Zahid sempat bertanya kepada wakil media yang mengikuti rombongannya ''amacam,'' seolah-olah mengingatkan begitulah sukarnya masyarakat di Ba'kelalan tanpa kemudahan jalan yang sempurna.
Lawatan kerja itu turut disertai oleh Menteri Muda Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Naroden Majais; Ahli Parlimen Lawas, Henry Sum Agong; Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan; Nelson Balang Rining; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jen. Datuk Zulkifeli Mohd. Zin dan Panglima 9 Briged, Brig. Jen. Datuk Zulkapli Rahamat serta Panglima RAJD, Brig. Jeneral Datuk Abdul Nasser.
Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu, projek pembinaan empat jambatan Bailey antara Ba'kelalan dan Long Luping di Lawas sudah 90 peratus siap.
Menurutnya, tiga jambatan telah siap dan satu lagi iaitu di Sungai Kelalan sudah 75 peratus siap.
"Walaupun cuaca buruk akibat hujan, anggota tentera kita tetap komited untuk melaksanakan projek berkenaan bagi memberi kemudahan kepada penduduk Ba'kelalan dan Lawas," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek tersebut buat kali kedua.
Sepanjang lawatan tersebut, Ahmad Zahid turut menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi melalui jalan balak sejauh 75 kilometer di kawasan yang berbukit dengan sebahagiannya berselut ekoran hujan lebat sehari sebelum itu.
Ahmad Zahid memberitahu, tiga jambatan yang telah siap ialah Jambatan Sungai Komap, Parih dan Palak.
"Projek jambatan itu melibatkan kos RM2.2 juta dan pembinaan jalan raya pula sebanyak RM52 juta.
"Peruntukan projek ini disediakan khas oleh Pejabat Perdana Menteri dalam usaha meningkatkan kemudahan jalan raya di Ba'kelalan,'' katanya.
Ahmad Zahid berkata, projek membina jalan raya yang bakal memberi kemudahan kepada kira-kira 1,000 penduduk di 13 buah kampung pula akan bermula sebaik sahaja Jambatan Sungai Kelalan disiapkan.
"Kita jangka menjelang November ini, pembinaan jalan raya tersebut akan siap sepenuhnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan projek tersebut," ujarnya.
Projek Jiwa Murni ATM di Ba'kelalan itu memberi harapan kepada penduduk di kawasan tersebut untuk menikmati kemudahan jalan darat yang lebih baik.
Selain disebabkan faktor geografi kawasan itu yang terletak jauh di pedalaman Sarawak, ketiadaan kemudahan perhubungan itu juga menyebabkan anak-anak kecil di Ba'kelalan terpaksa ditempatkan di asrama untuk mengikuti sistem pendidikan formal.
Anak-anak Ba'kelalan juga mempunyai impian untuk menikmati kemudahan seperti yang dirasai oleh rakyat Malaysia lain dan mungkin hanya ATM yang dapat merealisasikan impian mereka dengan adanya program Jiwa Murni.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: