
ANUGERAH Industri Muzik edisi ke-17 (AIM17) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Ahad lalu, memperlihatkan sosok wanita dengan imej bertudung yang sudah biasa dikenali lewat kebelakangan ini, naik dan turun pentas.
Menyihir hampir seluruh mata memandang dengan pakaian rona hitam hasil suai padannya sendiri, dia menjadi antara karyawan generasi baru dan punya segudang potensi, mendominasi gelanggang AIM17.
Dia yang dimaksudkan ialah Yunalis Zarai atau peminat lebih mengenalinya sebagai Yuna. Kemenangan berganda Yuna, bagaimanapun telah dijangka oleh kebanyakan pemerhati muzik, pengamal media dan peminat. Maka, ia bukan menjadi situasi mengejutkan.
Daripada lima anugerah utama AIM17 meletakkan dirinya dengan calon-calon terbaik lapangan hiburan, Yuna meraih empat trofi - Artis Baru Terbaik dan Lagu Terbaik melalui garapan Dan Sebenarnya pada malam itu.
Bukan itu sahaja, wanita berusia 23 tahun itu awal-awal lagi diumum memenangi kategori Lagu Pop Terbaik (Dan Sebenarnya) dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Deeper Conversation), awal sehari sebelum munculnya AIM17.

Hanya pencalonan Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu, dia yang turut bersaing dengan Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor dan Juwita Suwito, tewas di tangan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Tidak pernah terlintas dalam kotak fikirnya sebelum ini untuk menjadi salah seorang pemegang trofi keramat AIM dambaan setiap anak seni, Yuna meluah beragam emosi hampir setengah jam dengan para wartawan selepas acara berprestij tersebut menemui titik noktahnya.
"Alhamdulillah, sudah tentu saya sangat bersyukur dengan semua kemenangan ini. Pertama kali melibatkan diri dengan AIM, saya rasa bertuah tercalon dalam lima kategori serta membawa pulang empat trofi.
"Sampai sekarang saya masih terkejut. Terus-terang, saya sekadar punya keyakinan menang kategori Lagu Pop Terbaik disebabkan lagunya amat menarik dan menonjolkan kelainan. Tetapi, menang pula tiga kategori lain pula dalam masa sama.
"Saya cuma boleh cakap, malam ini menjadi malam bonus untuk tahun ini," kata pemilik lagu Cinta Sempurna yang membuat ramalan sendiri bahawa Bunkface mungkin pulang dengan trofi Artis Baru Terbaik.
Dalam waktu sama, Yuna yang berkiblatkan vokalis wanita seperti Alanis Morrisette, The Cardigans, Lisa Loeb, Fiona Apple, Norah Jones dan Tori Amos mengaku dia bakal menempuh istilah tekanan selepas namanya mengharum dalam AIM17.
"Sudah tentu lebih risau sebab selepas ini orang ramai pasti harapkan karya saya terus bermutu dari semasa ke semasa. Namun, saya tidak anggap sebagai satu masalah sementelah selama ini saya sentiasa menanam semangat melakukan yang terbaik sewaktu berkarya.
"Penganjuran AIM merupakan salah satu platform penggiat seni baik baru atau lama menerima pengiktirafan atas hasil kerja masing-masing. Saya begitu bersyukur apabila dikurniakan bakat menggubah dan menulis lirik sendiri.
![]() |
| KAMI juara. Dari kiri: Faizal Tahir dan Yuna menang besar dalam Anugerah Industri Muzik edisi ke-17 (AIM17). |
"Jika sebelum ini sesetengah pihak tidak percaya bakat dan kebolehan saya, kini mereka boleh membuka mata atas penghargaan yang diberi oleh produksi AIM. Cuma paling penting, saya dan semua artis kita kena kerja lebih keras pada masa depan.
"Selepas ini, saya belum ada sebarang perancangan lanjut. Sebaliknya saya hanya ingin menghabiskan proses rakaman album untuk pasaran tempatan terlebih dahulu.
"Sebelum berpeluang ke Los Angeles, saya bercadang mahu buat 10 lagu untuk album ini. Tetapi, saya terpaksa menukar rancangan dengan hasilkan kurang daripada apa diingini.
"Saya kasihan dengan peminat yang lama menunggu naskhah penuh ini berada di pasaran. Mudah-mudahan, ia dilancarkan pada Julai ini, sebelum saya berangkat ke Amerika Syarikat melebarkan sayap," ungkap Yuna yang telah mempersiapkan sebanyak 50 peratus rakaman album debutnya.
Sebelum menutup bicara, Yuna sempat diberitahu, Siti Nurhaliza menyatakan minat untuk mendapat khidmatnya menghasilkan lagu. Secara nada spontan, dia menjawab: "Oh Tuhanku, saya sungguh terharu. Tiada salahnya kalau dia ingin nyanyikan lagu hasil ciptaan saya.
"Tetapi, saya bukan tergolong di kalangan individu-individu kukuh dan ada rekod tersendiri dalam pembuatan lagu. Sejujurnya saya tidak kisah hasilkan lagu untuk sesiapa saja selepas ini. Cuma mereka kena faham saya buat karya ikut identiti sendiri tanpa perlu jadi orang lain."
Siti pertahankan kedudukan
Mengungguli Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu menerusi Ku Percaya Ada Cinta, Siti meluah kesyukuran kerana pihak juri AIM17 masih lagi mengiktiraf serta mempercayai kemampuan vokalnya.
Sedar ataupun tidak, sudah lebih sedekad namanya sinonim dengan kategori tersebut.
Begitu juga dengan kemenangan pertama wanita berusia 31 tahun itu melalui kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu yang dimenangi bersama Kris Dayanti.
Lagu Amarah ciptaan Audi Mok itu dilihat mencerminkan keserasian dua penghibur tersohor merangkap sahabat baik datangnya dari negara serumpun - Malaysia dan Indonesia, menghasilkan naskhah duet, CTKD.
![]() |
| SHRUTHI, gadis berusia 15 tahun menggondol anugerah Album India Tempatan Terbaik menerusi album Life Is A Mystery. |
"Memang rasa gembira apabila hasil kerjasama saya bersama Krisdayanti meraih pengiktirafan biarpun kali pertama dicalon dalam kategori ini.
"Ini jelas membuktikan kesungguhan kami melagukan karya Amarah yang ternyata bukan mudah diselesaikan semasa proses rakaman. Maka, menjadi perkara membanggakan apabila ia diiktiraf oleh AIM17.
"Amarah memberi definisi baru kepada penyampaian lagu-lagu duet kerana kami harus bergandingan baris demi baris dan bukannya rangkap seperti biasa," terang Siti yang tumpang gembira melihat kejayaan Yuna sambil menyifatkan bakat-bakat baru sepertinya memiliki keistimewaan sendiri.
Tidak ketinggalan, Faizal Tahir yang membawa pulang trofi Album Terbaik dan Album Rock Terbaik menerusi naskhah keduanya, Adrenalin, menganggap kemenangan itu berada jauh daripada jangkaannya sendiri.
"Masa naik atas pentas terima trofi ini, saya rasa gugup sampai cakap pun tergagap. Saya tidak letak keyakinan pada kategori Album Rock Terbaik kerana mengandai kumpulan Hujan yang menang.
"Begitupun, saya anggap ia sebagai bonus sebab masa panjang diambil bagi menyudahkan Adrenalin," jawabnya yang sempat mengucap kalimat kesyukuran kepada Sang Pencipta atas nikmat-Nya setelah diuji pelbagai dugaan sebelum ini.
Kemenangan jejaka berusia 31 tahun itu bagaimanapun dianggap mampu menutup mulut-mulut nakal pihak tertentu sebelum ini kononnya Adrenalin tidak layak bertanding atas alasan kelewatan disudahkan.
Sambil mengisyarat mohon dimengertikan, Faizal menjelaskan: "Harap isu ini tidak lagi timbul. Saya akui, masalah ini berpunca daripada saya sendiri dan syarikat rakaman iaitu Monkey Bone yang tidak buat lebih promosi.
"Hakikatnya, album berupa digital yang memuatkan tujuh lagu awal-awal lagi telah dikeluarkan pada Disember tahun lepas. Cuma naskhah bentuk fizikal baru dilancarkan pada tahun ini."
![]() |
| KUMPULAN Disagree bersama Jason Lo (baju biru) meraikan kemenangan untuk Album Inggeris Tempatan Terbaik. |
Selain Yuna, Siti dan Faizal, Hazami menerusi lagu Survivor memenangi Anugerah Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki) menundukkan Jamal Abdillah, Faizal Tahir, Riz dan Vince Chong.
Anugerah Wirama pula diberi kepada komposer dan penulis lirik popular, Adnan Abu Hassan selepas usia 35 tahun menyumbang jasa dan keringat kepada cabang seni. Manakala Anugerah Kembara, dihadiahkan kepada Bunkface atas perjuangan tiga anak muda itu membawa nama Malaysia pada tahap lebih tinggi.
Dihoskan oleh gandingan 'wajah wajib' - Afdlin Shauki dan Adibah Noor, pentas AIM17 seperti biasa menampilkan persembahan daripada beberapa penyanyi popular tanah air.
Antaranya ialah Datuk Sheila Majid, Siti Nurhaliza, Kris Dayanti, Faizal Tahir, Vince Chong, Yuna, Zee Avi, Jaclyn Victor, Aizat, Ayu (OIAM2), Mila, Riz dan Dafi.
Selain bersiaran di dewan, AIM17 juga disiarkan secara langsung menerusi saluran ntv7 dan stesen radio rasmi, Hot FM.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: