Sunday, May 23, 2010

2 pendaki pecah rekod dunia di Everest


APA LHAKPA TENZING


KATHMANDU - Dua rekod dunia berjaya dicatatkan di Gunung Everest dekat sini semalam apabila dua pendaki yang berbeza masing-masing memecah rekod tersendiri ketika menawan puncak tertinggi di planet Bumi itu.

Rekod pertama dicatatkan Apa Lhakpa Tenzing, seorang jurupandu pendaki atau sherpa dalam bahasa Nepal, yang berjaya tiba di puncak gunung setinggi 8,848 meter itu untuk kali ke-20 pada pukul 8.34 pagi waktu tempatan.


JORDAN ROMERO


Warga Nepal yang berusia 40-an itu dan bertugas sebagai pengutip sampah di Everest juga berjaya mengumpul berat keseluruhan lebih 7,000 kilogram sampah-sarap sepanjang memulakan karier sebagai sherpa pada 1989.

Seorang pegawai Jabatan Pergunungan Nepal, Tilak Pandey berkata, Apa yang sudah berkahwin dan memiliki tiga anak serta kesemuanya menetap di Amerika Syarikat (AS) mengatasi rekod 16 pendakian oleh sherpa Chhewang Nima.

Satu lagi rekod dicatatkan seorang remaja AS, Jordan Romero yang menjadi pendaki termuda menawan gunung itu pada usia 13 tahun, sekali gus mengatasi sherpa Nepal, Temba Tsheri yang menawan puncak itu ketika berumur 16 tahun pada 2001.

Dia pernah menawan Gunung Kilimanjaro yang tertinggi di benua Afrika pada usia 10 tahun, sempat menghubungi ibunya, Leigh Anne Drake yang menetap di California, AS menerusi telefon satelit memaklumkan berita kejayaan itu.

Seramai 233 pendaki mewakili 25 pasukan dari seluruh dunia dibenarkan oleh kerajaan Nepal untuk menawan Everest sepanjang musim bunga kali ini yang membolehkan aktiviti penjelajahan di situ kurang berbahaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: