WALAUPUN karier seni anak muda ini semakin berkembang apabila dilamar sebagai hos baru program hiburan Trek Selebriti, Aril tidak sekali-kali meminggirkan bidang nyanyian yang telah membuka ruang kepadanya hingga dikenali ramai.
Menurut jejaka berusia 24 tahun ini, selain sibuk dengan komitmen baru itu, dia juga sedang sibuk dengan proses rakaman lagu terbarunya yang berjudul Biar Begini.
Lagu yang mendapat suntikan elemen rock dan muzik band itu kini telah 80 peratus siap dan hanya menunggu untuk memasukkan vokalnya.
Aril berkata, lagu tersebut adalah ciptaan rakan baiknya sementara lirik pula diilhamkan olehnya sendiri. Lagu baru itu memperlihatkan kematangan dan perkembangan muzik dan vokalnya sebagai penyanyi.
"Lagu Biar Begini kini sudah 80 peratus siap. Hanya menunggu saya memasukkan vokal sahaja. Saya jangka ia mula dimainkan di radio sekitar Mac atau April ini. Genre lagu ini berentak rock dan mempunyai elemen muzik ala band.
"Namun, ia bukanlah rock yang keras atau membingitkan. Melodinya mudah didengar dan catchy. Kelainan lagu ini berbanding dua lagu saya sebelum ini, Toksik dan Menatap Matamu adalah adunan muzik yang diketengahkan.
"Jika melodi lagu Toksik terlalu rancak dan Menatap Matamu pula kedengaran jiwang dan mendayu-dayu, lagu baru saya ini berbeza sama sekali.
"Biar Begini bakal memperlihatkan transformasi muzik saya kepada aras yang berbeza. Itu kelainan yang ingin saya tampilkan untuk peminat," kata Aril.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: