Tuesday, March 16, 2010

Resipi kejayaan

MEMBUAT kek dan roti yang pada mulanya hanya untuk memenuhi masa lapang selain juadah keluarga, kini usaha itu melangkah lebih jauh apabila berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Brunei.

pix_middle



Di peringkat awal pembabitan, Chofiah Mohd Noor, 55, selaku pemilik Kak Yong Cake House dan Cafe hanya mengeluarkan beberapa jenis biskut, coklat, kek dan roti. Namun, wanita gigih itu kini berjaya menghasilkan lebih 20 produk untuk pelbagai kegunaan dan majlis.


Dia memulakan perniagaan pada 2001 dengan modal kira-kira RM50,000 manakala menerusi bantuan pelbagai pihak, perniagaannya kini semakin maju dan berkembang.


Katanya, selain menghasilkan pelbagai jenis kek, roti dan biskut dengan resipi sendiri, dia turut mengeluarkan enam jenis coklat pelbagai rasa dan kandungan.


"Semua coklat dikeluarkan adalah resipi saya sendiri. Ia dianggap unik dan menarik terutama dengan penggunaan bahan tempatan yang segar dan dijamin halal.


"Coklat dengan campuran pisang kini mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pengguna tempatan termasuk pelancong asing yang membelinya di pasar raya dan pusat beli-belah," kata ibu kepada enam anak itu.


Dia yang mempunyai kedai di Bandar Inderapura, Jerantut, Pahang berkata, setiap bulan dia menghasilkan lebih 10,000 keping biskut, 3,000 kek dan kira-kira 100,000 keping coklat.


Jumlah permintaan produk yang dihasilkan akan bertambah empat hingga lima kali ganda pada musim perayaan dan cuti sekolah apabila pengguna menjadikannya sebagai hadiah, cenderamata serta sajian juadah bersama keluarga. Chofiah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yong berkata, dia kini menggunakan khidmat 10 pekerja terdiri daripada remaja setempat manakala jumlah berkenaan akan bertambah apabila menerima banyak tempahan.


Katanya, selain menjual di kedai dan tempahan, dia mengedarnya ke pasar raya, pusat beli-belah, asrama sekolah, hotel dan resort di seluruh negara.


Untuk usaha promosi pula, dia dari semasa ke semasa menyertai ekspo yang dianjurkan agensi kerajaan di seluruh negara di samping menempatkan produk jualannya di gerai industri kecil dan sederhana Pahang di Melaka.


"Selain penggunaan resipi sendiri dan bahan tempatan yang segar serta halal, harga yang murah menjadi faktor produk yang saya tawarkan mendapat permintaan menggalakkan.


"Harga biskut, coklat dan roti yang ditawarkan kepada pemborong ialah antara RM2 hingga RM8 sekotak sementara kek RM30 sekilogram. Pemborong pula akan menjual kepada pengguna pada harga berpatutan," katanya.


Untuk mempelbagaikan lagi penggunaan produk yang dihasilkan, dia turut menghasilkan hamper, hadiah, hantaran dan cenderamata perkahwinan daripada pelbagai biskut serta coklat. Dengan bantuan anak, Rasid Md Isa yang juga terbabit secara langsung dalam perniagaan ini, dia kini dalam proses membina sebuah kilang berharga RM100,000 di Jerantut.


"Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Sirim dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) antara agensi kerajaan yang banyak membantu saya.


"Tanpa mereka, mungkin saya kini masih berada di paras lama. Sokongan daripada segi khidmat nasihat, modal dan premis membuka peluang lebih luas lagi," katanya yang akan terus berusaha mengembangkan perniagaannya.


Bagi membantu golongan wanita terutama di Jerantut, dia membuka kelas untuk berkongsi pengetahuan mengenai pembuatan coklat, biskut dan kek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: