Sunday, March 28, 2010

Projek amal IRM dan Yayasan CIMB


kanak-kanak yang menyertai program khatan beramai-ramai diarak dengan paluan kompang dan bunga manggar.


SEMPENA cuti persekolahan lalu, Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Rumah Anak Yatim Taman Baiduri menganjurkan program Khatan Beramai-Ramai.

Majlis ini melibatkan anak-anak yatim dan fakir miskin dari tiga rumah kebajikan iaitu Rumah Anak-Anak Yatim/Miskin Taman Baiduri, Dengkil; Pusat Jagaan Kompleks Kebajikan Rukaiyah, Sungai Merab dan Pusat Jagaan Nuri, Setapak.

Seramai 18 kanak-kanak berumur antara enam hingga 13 tahun menyertai program itu.

Acara berlangsung dengan suasana meriah dan penuh tradisi. Seawal pagi para peserta dipersiapkan dengan pakaian lengkap baju melayu.

Mereka diarak dengan paluan kompang dan bunga manggar ke tempat penyemburan air oleh bomba di kawasan padang berdekatan. Acara itu turut mendapat sokongan daripada anggota bomba dan penyelamat Cyberjaya serta sukarelawan perubatan.

Dengan adanya upacara sedemikian, sedikit sebanyak dapat memberi keseronokan dan mengurangkan rasa gementar di kalangan peserta khatan.

Turut menarik perhatian adalah persiapan oleh rakan sukarelawan dalam menjayakan program ini, penyediaan bunga telur dan juga bunga rampai bagi menjadikan program ini lebih meriah.

Turut diadakan adalah majlis penyerahan 'Projek Perpustakaan Rumah Anak Yatim' kepada Rumah Anak Yatim Taman Baiduri. Projek itu adalah salah satu projek tempatan IRM.

Ia mensasarkan satu rumah anak yatim satu perpustakaan. Ini adalah antara bantuan kemanusiaan yang disalurkan melalui pendidikan.

Melalui projek itu, IRM berusaha mengumpul dana membeli buku-buku bermutu untuk kegunaan rumah-rumah anak yatim di seluruh Malaysia.

Sesuai dengan prinsip bantuan kemanusiaan Islamic Relief, projek perpustakaan ini terbuka kepada semua rumah anak yatim yang kurang berkemampuan, tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan ideologi.

Usaha murni IRM ini mendapat perhatian Yayasan CIMB melalui projek 'Komuniti Link'.

Pihak yayasan menyumbang RM50,000 sebagai tajaan dua perpustakaan iaitu di Rumah Anak Yatim Taman Baiduri, Dengkil dan di Rumah Kebajikan Darul Izzah, Bangi.

Islamic Relief adalah agensi bantuan dan pembangunan sosial antarabangsa yang mempunyai status perundingan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan di Birmingham, United Kingdom pada tahun 1984.

Sebanyak 1,000 naskhah buku yang terdiri daripada buku bahasa Melayu tinggi dan buku bahasa Inggeris yang merangkumi buku untuk rujukan ilmiah serta bacaan umum ditempatkan di dalam perpustakaan di rumah kebajikan ini.

Selain itu, IRM turut menyediakan satu set ensiklopedia edisi pelajar untuk rujukan anak-anak yatim tersebut. Buku-buku ini telah disaring oleh komuniti IRM bagi memastikan hanya yang bersesuaian dan mempunyai nilai-nilai murni terbaik yang disediakan.

Majlis itu disempurnakan oleh wakil Yayasan CIMB yang juga Pengurus Kawasan CIMB Zon 18, Jamilah Abu Hashim. Turut hadir, Pengarah Negara IRM, Zawahir Abdullah, Pengurus Rumah Anak Yatim Taman Baiduri, Mohd. Shukry Md. Lata dan Pengurus CIMB Cawangan Serdang Perdana, Zulhazmi Musa.

Program ini juga turut disertai oleh kakitangan CIMB cawangan Serdang Perdana dan sukarelawan-sukarelawan IRM.

Sementara itu, Zawahir percaya perpustakaan seumpama ini dapat mendidik anak-anak yatim menimba ilmu pengetahuan untuk beroleh kejayaan di masa depan.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh melayari laman web rasmi IRM iaitu www.irm.org.my atau menghubungi talian 03-89486334.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: