|
|
MUZIK merupakan satu bentuk pengucapan seni dan pada masa sama ia merupakan luahan emosi bersifat sejagat yang boleh diterima oleh setiap lapisan masyarakat.
Kesejagatan dan keanjalan sifatnya membolehkan sebuah gubahan itu dipersembahkan dalam pelbagai genre daripada bentuk pop, reggae, techno hinggalah kepada klasik.
Apabila muzik bergema dan penyanyi di tengah pentas, maka bermulalah manifestasi seni yang menyusuri sambil mengambil iktibar daripada sebuah keagungan silam.
Gubahan seni selalunya berupaya menyampaikan makna yang lebih mendalam hinggakan iktibar dan semangat daripada sejarah menjadikan seni lebih dekat dengan khalayaknya.
Sedar atau tidak, kita sebenarnya mempunyai khazanah muzik yang cukup kaya dengan nilai tradisi dan seni budayanya yang begitu akrab dengan peribadi kemelayuan.
Tetapi perlu diingatkan bahawa mereka yang berjiwa seni sahaja mampu menilai hasil seni sekali gus mengagumi peradaban, keindahan dan kehalusan sesuatu seni itu.
Pada masa yang sama juga, berasaskan resipi yang sama, kita juga boleh mengembang dan membangunkan khazanah muzik tanah air untuk dihidangkan kepada masyarakat antarabangsa.
Untuk itu, hari ini di bawah Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (Permata) telah diwujudkan program khusus untuk kanak-kanak yang cemerlang di dalam bidang seni iaitu program Permata Seni Negara.
Di bawah program tersebut, kanak-kanak yang menggemari bidang seni boleh memilih sama ada ingin menyertai program Pertama Seni Koir ataupun Permata Seni Muzik.
Sudah pasti kedua-dua program tersebut mempunyai satu hala tuju yang sama iaitu untuk memperkembang dan menyerlahkan potensi kanak-kanak yang cemerlang di dalam bidang vokal atau seni suara dan mainan alat muzik melalui program pembelajaran dan bimbingan yang sistematik dengan penekanan kepada kecemerlangan bakat.
Dapat dilihat bahawa program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada penggiat muzik tanah air malah turut berpeluang mengembangkan seni muzik itu di kalangan generasi muda.
Syafinaz Selamat, 37, merupakan individu yang diberi kepercayaan untuk melatih serta menggilap bakat yang sedia ada di kalangan kanak-kanak yang terpilih menyertai program Permata Seni Koir.
Menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pertama Seni Koir, Syafinaz ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini menyatakan bahawa program tersebut kini dianggotai seramai 51 orang kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun.
"Program ini bukan sahaja menggilap pembelajaran muzik melalui bacaan dan kemahiran mendengar serta gaya nyayian berharmoni malah peserta juga akan dilatih untuk menyanyi secara berkumpulan.
"Dengan ini secara tidak langsung ia memerlukan mereka untuk bekerjasama untuk menyanyi bersama-sama kerana koir bukan hanya suara individu tetapi menyanyi secara berharmoni dalam satu kumpulan,'' jelas beliau yang juga merupakan pensyarah sambilan di Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Tambah Syafinaz, muzik merupakan satu elemen yang penting kerana ia bukan sahaja mampu menjana kreativiti malah ia turut mengajar mendisiplinkan diri di samping untuk perkembangan minda masing-masing terutama di kalangan kanak-kanak.
Ujar beliau lagi, muzik sememangnya penting dalam kehidupan manusia hari ini cuma masyarakat kita sahaja menganggap muzik itu tidak penting.
Menurut Syafinaz, program Permata Seni Koir juga merupakan satu program yang bagus dan penubuhannya tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengembangkan lagi bakat yang sedia ada
Mereka yang terpilih menyertai program tersebut bukan sahaja diberi latihan membaca note muzik malah mereka juga diajar teknik-teknik yang betul untuk menyanyi.
Sejak ditubuhkan Oktober lalu, para peserta telah pun menghadiri bengkel yang dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti Prof. Dr. Siti Chairani Proehoeman (vokal), Datin Sabera Shaik dan Syed Mustafa Syed Yassin (tarian).
Bukan itu sahaja, malah penat lelah mereka selama empat bulan menghadiri kelas latihan setiap Khamis dan Ahad berbaloi kerana pada Mei ini mereka bakal membuat persembahan bersama penyanyi popular Indonesia, Rossa.
Tidak hanya setakat itu, menurut Syafinaz para peserta program Permata Seni Koir juga akan dibawa mengunjungi festival-festival yang diadakan di luar negara dalam usaha memberi pendedahan kepada mereka mengenai kumpulan koir luar negara.
"Kesemua ini masih lagi di dalam perancangan tetapi ia tidak mustahil kerana dengan cara inilah pengorbanan mereka selama ini dihargai,'' katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: