Thursday, March 11, 2010

Ladang haram halia dimusnah

BENTONG: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong memusnahkan ladang halia dan sayuran seluas 20.2 hektar yang diusahakan secara haram di Kampung Chemproh dalam Hutan Simpan Lentang di sini, kelmarin.

BAKAR...kakitangan PHD Bentong membakar pondok warga asing.
BAKAR...kakitangan PHD Bentong membakar pondok warga asing.
MUSNAH...kakitangan PHD Bentong dan Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Pahang Barat memusnahkan pokok halia.
MUSNAH...kakitangan PHD Bentong dan Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Pahang Barat memusnahkan pokok halia.
Turut ditahan dua lelaki tempatan berumur 40-an yang memasuki hutan simpan tanpa permit dan pekerja ladang berkenaan. Pegawai PHD Bentong, Badrol Hisham Abd Rahman, berkata pada operasi bersih kali ini, pihaknya turut merobohkan 27 pondok warga asing termasuk paip digunakan untuk menyiram tanaman.


Menurutnya, operasi dua hari ini disertai 40 kakitangan PHD Bentong dengan bantuan Unit Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Pahang Barat. Katanya, Kampung Chemproh dalam kawasan Hutan Simpan Lentang kini menjadi lokasi utama aktiviti menanam halia, sayuran dan pisang secara haram.


“Kami memandang serius aktiviti pencerobohan hutan simpan di daerah ini terutama di Kampung Chemproh dan sekitarnya berikutan hutan berkenaan menjadi kawasan tadahan air. Hutan Simpan Lentang mempunyai keluasan 36,000 hektar dengan ketinggian lebih 1,000 meter daripada paras laut kini menjadi lokasi utama aktiviti menanam halia, sayuran dan pisang.


“Kami akan terus melakukan pemantauan seterusnya operasi bersih bagi memastikan aktiviti menceroboh Hutan Simpan Lentang tidak terus berleluasa. Aktiviti pertanian yang tidak terkawal boleh mengakibatkan berlaku pencemaran air di tiga sungai utama iaitu Sungai Chemproh, Sungai Benus dan Lurah,” katanya.


Badrol berkata, aktiviti tanaman halia dan sayur tanpa kawalan di Kampung Chemproh mengundang pelbagai masalah kepada penduduk Kampung Janda Baik dan pelancong menggunakan sungai untuk tujuan riadah.

Katanya, siasatan dilakukan mendapati pemilik ladang menggunakan khidmat pekerja asing dari Indonesia, Nepal dan Bangladesh untuk mengusahakan tanaman mereka. Difahamkan, kini terdapat lebih 100 pekerja asing dalam kawasan Hutan Simpan Lentang dan mereka akan bersembunyi setiap kali operasi dilakukan.


Beliau berkata, selain Hutan Simpan Lentang, jabatan itu akan terus memantau Hutan Simpan Bukit Tinggi yang turut menjadi tumpuan aktiviti pencerobohan petani halia dan sayuran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: