Friday, March 5, 2010

KLfm siar program khas kanak-kanak


BARISAN penyampai dan kakitangan yang menjadi tonggak penting menghidupkan stesen radio KLfm.

Suara Permata Malaysia luahan jujur generasi masa depan

BERSEMPENA Konvensyen Hak Kanak-Kanak kali ke 20 UNICEF, stesen radio Lembah Klang, KLfm yang bernaung di bawah rangkaian Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil rasa tanggungjawab untuk menyiarkan sebuah program khas kanak-kanak berjudul Suara Permata Malaysia. Program ini ke udara setiap Ahad, jam 11.30 pagi.

Program yang diterbitkan sebagai satu kerjasama media ke arah terus berusaha memperjuangkan hak untuk semua kanak-kanak di dunia amnya dan di Malaysia khususnya.

Justeru, KLfm memainkan peranan positif dalam usaha menghargai hak kanak di Malaysia dan menyumbang ke arah mewujudkan alam kanak-kanak yang lebih baik.


Penerbitnya, Nazirah Fadhlina Anuar berkata, menerusi program Suara Permata Malaysia, seramai 10 kanak-kanak dari tahun 1 hingga tahun 5 dari Sekolah Kebangsaan Pandan Indah, Kuala Lumpur dipilih untuk menjayakan program ini.

“Rakaman program ini dibuat pada 28 Februari lalu. Menerusi program ini, pendengar boleh mendengar pelbagai pandangan dan maklum balas daripada kanak-kanak mengenai pelbagai isu.

“Sejujurnya, maklum balas yang diluahkan 10 kanak-kanak ini lebih jujur dan asli berbanding orang dewasa. Antaranya yang menarik ialah apabila kanak-kanak ini ditanya mengenai 1Malaysia dan pandangan mereka terhadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” katanya yang orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.unicef.org/Malaysia.

Program Suara Pertama Malaysia juga adalah antara pelbagai strategi diatur KLfm dalam memastikan maklumat dan hiburan dapat disalurkan kepada pendengar.

Sejak lebih tiga dekad beroperasi, KLfm tetap mempunyai peminatnya tersendiri dalam menyokong stesen ini walaupun siarannya di sekitar Lembah Klang. Bagaimanapun, siaran stesen radio ini boleh diikuti di beberapa tempat di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Pengurus KLfm, Normah Abdul Aziz, berkata program berkenaan sebahagian daripada pelbagai acara menarik yang disusun sepanjang tahun ini dirancang pihaknya.

“Menyedari saingan kuat daripada stesen radio swasta, kami juga mencuba melakukan sedaya yang termampu untuk memperbanyakkan program menarik selain menganjur pelbagai aktiviti bersama pendengar.

“Antaranya segmen pagi yang diberi suntikan baru, Rentak Pagi disiarkan setiap hari bermula jam 6 hingga 10 pagi serta segmen Kenangan Lalu KLKL dari jam 5 petang hingga 8 malam menjadi tarikan utama kepada pendengar,” katanya dalam satu sesi ramah mesra sambil makan tengah hari bersama penyampai dan petugas KLfm dengan wakil media baru-baru ini.

Normah berkata, selain itu, KLfm juga akan terus memainkan peranan untuk memberikan maklumat penting kepada warga kota seperti laporan trafik, kewangan, sukan dan isu semasa.

“Kami juga menyiarkan pelbagai ragam lagu, lama dan terbaru. Begitu juga bagi peminat lagu malar segar dan nostalgia untuk slot Kenangan Lalu KLKL.

“Sebagai permulaan untuk 2010, KLfm menganjurkan program Radio Hunt yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini. Ia membabitkan penyertaan pendengar serta diadakan di beberapa lokasi pilihan seperti Selayang Mall, Semua House, PKNS dan The Mall, Kuala Lumpur.

“Kami mempunyai beberapa aktiviti dan program yang sudah disusun sepanjang tahun ini. Begitupun, kami memberi tumpuan kepada satu persatu aktiviti terlebih dulu. Selain program Radio Hunt, pada masa sama kami turut menganjurkan beberapa kuiz, hiburan karaoke yang disertai pendengar setiap Isnin hingga Khamis menerusi segmen khas jam 9 malam manakala aksi lakonan membabitkan pendengar pada malam Jumaat.

“Kami juga menjemput beberapa pelakon dan penyanyi untuk memeriahkan slot yang akan dikendalikan penyampai seperti Hezry dan Nazie, selain memberikan hadiah sagu hati kepada pendengar yang terbabit," katanya yang bersiaran menggunakan frekuensi 97.2 di sekitar Lembah Klang.

KLfm mula ditubuhkan pada 5 November 1973 dikenali sebagai Radio Malaysia Ibukota (RMIK), kemudian pada 1993, stesen radio ini dikenali Radio3 Ibukota dan juga Radio KL sebelum dikenali RMKL (Radio Malaysia Kuala Lumpur) pada 1993.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: