Friday, March 19, 2010

Kemelut wanita Lebanon


LEBANON ialah sebuah negara kecil yang kaya dengan pemandangan indah.


SAMIRA Soueidan merokok di depan rumahnya di Beirut, Lebanon sambil mengenang saat hakim memutuskan anaknya akan mendapat kerakyatan negara tersebut, kemenangan pertama bagi wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing di negara kecil Mediterranean itu.

Namun, kemenangan itu tidak kekal apabila rayuan membantah keputusan tersebut diterima mahkamah. Kisah Samira adalah salah satu daripada kemelut yang dihadapi oleh ribuan wanita Lebanon yang berkahwin dengan rakyat asing, namun undang-undang menghalang teman hidup atau cahaya mata mereka daripada mendapat kerakyatan.

"Semasa peguam saya menelefon dan memberitahu hakim memihak pada saya selepas turun naik mahkamah selama sembilan tahun saya sangat gembira.

"Undang-undang kami tidak adil dan langsung tidak mempedulikan wanita," kata ibu tunggal berusia 48 tahun itu yang pernah berkongsi hidup dengan seorang rakyat Mesir dan dikurniakan empat orang anak.

Samira mengenang nasib diri di kediamannya di kawasan kejiranan kelas pertengahan di kota Beirut.

Undang-undang yang dikuatkuasakan pada 1925, 18 tahun sebelum Lebanon mendapat kemerdekaan dari Perancis, hanya membenarkan lelaki yang berkahwin dengan warga asing mendapatkan kerakyatan untuk isteri dan anak mereka.

Ia dilihat tidak adil kerana anak-anak berbapakan warga asing yang dilahir dan dibesarkan di Lebanon berdepan dengan kesukaran perundangan dan sosial selain disisihkan oleh tanah kelahiran sendiri.

"Setiap tahun saya terpaksa mendapatkan permit untuk anak-anak saya. Saya perlu mencari duit untuk membayarnya, malah ia perlu melalui proses soal siasat.

"Pernah satu ketika dulu, saya gagal mengumpul wang dan pihak berkuasa mengugut akan menghantar anak saya ke Mesir, negara yang tidak pernah mereka jejaki. Saya terpaksa meminjam daripada lintah darat untuk menyelesaikan masalah tersebut," ujar Samira yang bekerja sebagai tukang cuci selepas kematian suami pada 1994.

Bagaimanapun, usaha kumpulan hak asasi dan pertubuhan wanita untuk mengubah undang-undang tersebut mendapat perhatian tahun lalu dengan draf perundangan sedang dipertimbangkan di Parlimen.

Kempen sama yang dilancarkan di tiga buah negara Arab lain iaitu Algeria, Mesir dan Maghribi berjaya membuahkan hasil.


SAMIRA SOUEIDAN (dua dari kanan) memegang pasport Lebanonnya. Duduk bersama Samira sambil menunjukkan sijil kelahiran ialah anak-anaknya (dari kiri) Faten, Mohammed dan Samir.


Mereka yang menentang pindaan undang-undang itu di Lebanon adalah daripada kem minoriti Kristian yang mendakwa jika hak tersebut diberi kepada wanita ia akan mengganggu keseimbangan demografi negara itu.

Hak asasi wanita

Nisbah penduduk Islam di Lebanon adalah 64 peratus berbanding Kristian hanya 35 peratus.

Timbul juga kebimbangan pindaan undang-undang membolehkan kerakyatan diberi kepada ramai pelarian Palestin yang berkahwin dengan wanita Lebanon.

Hakim John Qazzi yang sebelum ini membuat keputusan yang memihak kepada Soueidan berkata, perdebatan mengenai isu itu adalah bermotifkan politik dan memberi gambaran jelas pendekatan tidak adil Lebanon terhadap hal ehwal wanita.

"Ia tiada kaitan dengan kerakyatan, ia adalah berkenaan hak asasi wanita. Ahli politik Lebanon melihat kaum Hawa sebagai rakyat yang tidak matang," ujar beliau.

Hripsmeh Arkanian, 59, yang berumah tangga dengan seorang pelarian Palestin dan dikurniakan dua orang anak juga bersetuju dengan pandangan hakim itu.

"Sudah lama saya tidak mengundi. Jika undi saya dikira, kenapa suara saya tidak didengari?

"Jika undi saya sama dengan undi lelaki, maka perkara sama perlu dibuat terhadap pemberian kerakyatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di pinggir Beirut.

Ujar Hripsmeh, pihak pentadbiran tempatan sengaja menyusahkan anak lelakinya yang terpaksa keluar dan menetap di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).


HRIPSMEH ARKANIAN


"Saya melawatnya baru-baru ini dan mendapati nada dering telefon bimbitnya adalah lagu kebangsaan Lebanon. Ia menyebabkan air mata saya menitis kerana dia begitu menyayangi negara ini.

"Tetapi negara ini menganggapnya orang asing walaupun ibunya berketurunan Lebanon dan dia sendiri dibesarkan di sini," luah Hripsmeh.

Pakar sosiologi, Fahmiyeh Sharaffedin yang menerbitkan kajian mengenai isu kerakyatan itu pada 2008 bingung dengan diskriminasi yang dihadapi oleh wanita Lebanon walhal perlembagaan memberi hak sama rata antara lelaki dan wanita.

"Negara lain mengenakan sekatan kerakyatan yang lebih ketat, namun ia tidak memilih jantina. Saya tidak faham kenapa kebimbangan dikenakan pada wanita saja dan bukannya lelaki.

"Mengapa lelaki Lebanon boleh berkahwin dengan rakyat asing, mempunyai anak dan meramaikan lagi rakyat negara ini baik Kristian mahupun Islam. Mengapa tidak wanita?

"Kami akan memperjuangkan kesamarataan dan tidak akan menerima apa jua perkara yang kurang daripada itu," tegas Fahmiyeh penuh semangat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: