Wednesday, March 3, 2010

Karadzic dakwa kes bunuh direka


KARADZIC


THE HAGUE, Belanda - Bekas pemimpin perang Bosnia Serbia, Radovan Karadzic semalam memberitahu panel hakim Tribunal Jenayah Antarabangsa Untuk Bekas Negara Yugoslavia (ICTY) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa serangan tentera Serbia ketika pengepungan Sarajevo adalah tertumpu kepada sasaran-sasaran yang sah.

Namun, dalam keterangan pembelaaan dirinya, dia mendakwa musuhnya mendirikan pos-pos arahan dan menempatkan penembak curi di sekolah, hospital serta muzium.

Penerangan Karadzic itu berkaitan kepungan selama 44 bulan di Sarajevo yang kemudiannya menjadi perang saudara Bosnia pada tahun 1992.

Karadzic menganggap penduduk Serbia di Bosnia sebagai mangsa 'keganasan yang ditaja oleh pemerintah' iaitu pihak berkuasa beragama Islam yang sedang berusaha mendapatkan kemerdekaan daripada Yugoslavia.

Dia menuduh pemerintah Islam meminta bantuan tentera antarabangsa untuk campur tangan dalam konflik tersebut.

Pada hari kedua perbicaraannya, dia menegaskan isu yang menjadi intipati kepada pembelaannya ialah menafikan kesalahan tentera Serbia.

Karadzic juga mendakwa peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sepanjang perang pada tahun 1992 hingga 1995 seperti kepungan ke atas Sarajevo dan pembunuhan beramai-ramai melibatkan 8,100 orang Islam di Sebrenica sebagai rekaan untuk memburukkan komuniti Serbia.

Para pendakwa menyatakan Karadzic ialah komander tertinggi dalam kempen membunuh serta menghapuskan masyarakat Islam dan Croatia dari wilayah timur Bosnia selain mahu membina negara untuk etnik Serbia sepenuhnya.

Karadzic didakwa dengan dua tuduhan pembersihan etnik dan sembilan tuduhan membunuh, mengusir secara paksa dan menahan 200 orang pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jika didapati bersalah, dia mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Dia juga ada menyentuh tentang serangan-serangan provokatif ke atas masyarakat Serbia pada awal tahun 1992, iaitu insiden tembakan dalam satu majlis perkahwinan dan pengeboman sebuah gereja.

"Kejutan tidak datang pada setiap hari, tetapi setiap jam," katanya.

Karadzic bertegas bahawa Sarajevo bukan bandar yang berada dalam kepungan. Sebaliknya ia merupakan bandar yang terpisah seperti Beirut.

Tentera Serbia turut dikepung sama ada di dalam atau di luar bandar itu.

Dia bangun sebanyak dua kali dari kerusi untuk berjalan ke arah peta Sarajevo yang besar. "Ini bandar saya. Saya menghabiskan masa selama 50 tahun tinggal di sana," katanya sambil menunjukkan garisan yang melintasi kawasan perumahan yang cukup dikenalinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: