Sunday, March 28, 2010

Jon Seda ahli tinju


Jon Seda


AWALNYA dia bercita-cita menjadi seorang pemain bola sepak dan kemudian beralih kepada sukan tinju yang merupakan kegemaran bapanya. Faktor ingin menjadi seorang yang popular menggerakkan hati Jonathan Seda atau nama glamornya, Jon Seda untuk akhirnya memilih lakonan sebagai kerjaya utama.

Dia bangga dengan haluan hidupnya kini walaupun masih berfikir suatu hari nanti dia akan bergelar juara tinju pula.

Terkini dia memegang watak utama dalam siri The Pacific yang bakal disiarkan di saluran HBO HD (Astro 431) dan HBO (Astro 411) bermula 3 April ini pukul 9 malam.

“Saya rasa siri The Pacific mendokong mesej supaya menyayangi keluarga, jangan sekali-kali melupakan asal-usul dan jangan biarkan keadaan menghalang cita-cita,” ujarnya yang menganggap watak Sarjan John Basilone memberi cabaran mental dan fizikal buatnya.

Jejaka yang lahir tanggal 14 Oktober 1970 ini begitu teruja dengan watak yang diberikan. Faktor dia dibesarkan di tempat yang sama dengan lokasi drama ini iaitu New Jersey, Amerika Syarikat membuahkan rasa bangga dan bertanggungjawab untuk melakukan yang terbaik.

Menariknya tentang siri baru yang turut menampilkan Tom Hanks dan Steven Spielberg sebagai pasukan kreatif adalah siri ini dibuat berdasarkan kisah benar yang dialami sendiri oleh pasukan marin Amerika di Pacific Theatre sewaktu Perang Dunia Kedua.

Malah penerbitan The Pacific yang menelan belanja sebanyak AS$200 juta menjadikannya siri termahal pernah direkodkan dalam sejarah.

“Saya sungguh bangga dan terharu. The Pacific membawa pengertian yang sangat signifikan.

“Memegang watak lelaki yang sanggup menggadaikan nyawa memang memberi kepuasan yang maksimum,” ujarnya yang sebelum ini memainkan watak Romano dalam filem Gladiator.

Terdahulu, Jon pernah mendapat pencalonan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Spirit untuk wataknya dalam filem I Like It Like That.

Dia juga menjadi buah hati audiens filem Hispanik dengan kemunculannya sebagai Chris Perez bersama Jennifer Lopez dalam filem Selena.

Selepas selesa bergelumang dalam dunia filem, Jon mencuba kemampuan dalam siri televisyen melalui kemunculan pertama dalam Homicide: Life on the Street.

Dia juga rasa bertuah mendapat tempat dalam drama bersiri Third Watch, Law & Order, House dan CSI: Miami.

Perjalanan karier lelaki yang dikatakan mempunyai wajah jambu ini sedang bergerak lancar. Dia semakin yakin dengan keputusannya untuk bergelar pelakon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: