Monday, March 8, 2010

Johan nafi sengketa media


JOHAN mahu hubungannya dengan para wartawan hiburan erat demi kerjayanya dalam bidang seni.


DARIPADA personalitinya yang sentiasa ceria, ramai peminat yang mungkin kurang percaya apabila timbul dakwaan Johan, pengacara rancangan Raja Lawak musim keempat seorang yang sombong.

Bukan setakat sombong, agak sukar juga diterima apabila ada pihak mengatakan dia seorang selebriti yang sukar didekati wartawan yang ingin mendapatkan cerita-cerita terbarunya.

Minggu lalu contohnya, timbul gosip mengatakan ada di kalangan wartawan hiburan yang dikatakan berasa kecil hati dengan layanan dan kenyataan Johan yang kononnya tidak memerlukan lagi sokongan daripada media massa.

Malah, gosip itu turut menyatakan finalis Raja Lawak musim pertama itu menyalahkan wartawan yang dikatakan lebih banyak menulis cerita kurang elok tentang dirinya sejak bergelar selebriti beberapa tahun lalu.

Johan yang ditemui selepas Gelanggang Raja Lawak 4 di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini, menafikan dia mempunyai masalah dengan segelintir wartawan hiburan yang dikatakan kurang senang dengan dirinya.

Sebaliknya, kata pengacara, pelawak dan pelakon popular ini, mungkin ada di kalangan wartawan hiburan yang kurang senang dengan cara pergaulannya tetapi ia tidak membabitkan wartawan hiburan secara keseluruhannya.

"Setahu saya, saya tiada masalah dengan mana-mana wartawan. Mungkin ada segelintir wartawan yang tidak puas hati dengan saya. Itu saya tidak pastilah. Ini kerana, dalam setandan pisang mesti ada satu atau dua biji yang busuk.

"Saya mungkin mengadakan-adakan cerita apabila bercakap dengan orang. Kalau orang yang kenal dengan saya, mereka mungkin faham apa yang saya maksudkan. Tetapi perkara yang sebaliknya pula berlaku," jelasnya.

Dia menjelaskan perkara itu apabila diajukan persoalan tentang kenyataannya itu yang kononnya diperpanjang-panjangkan oleh pihak-pihak lain sehingga mencetuskan cerita-cerita yang berbeza.

Menurut Johan, sikapnya yang sentiasa ceria dan suka bergurau bukan sahaja sewaktu berada di atas pentas tetapi juga terbawa-bawa ke luar lokasi sehingga ia menimbulkan salah faham segelintir pihak termasuklah wartawan.

"Saya seorang penghibur dan bukannya penyanyi yang serius. Kerja saya ialah untuk menghiburkan orang ramai. Sampaikan kalau orang datang kepada saya mereka tentunya mahu saya buat kelakar.

"Cuma sewaktu di pentas atau di luar pentas saya suka gunakan bahasa kiasan atau dalaman yang mungkin boleh difahami oleh orang-orang tertentu. Orang lain mungkin 'tahu' tentang saya, tetapi mereka tidak 'kenal' saya," ujarnya.

Bagaimanapun, pada masa sama Johan tidak menafikan, kebanyakan artikel yang ditulis oleh wartawan di akhbar dan majalah lebih banyak cerita-cerita negatif berbanding positif.

"Saya baca banyak artikel yang ditulis oleh wartawan kebanyakannya yang negatif tentang diri saya. Saya tidak tahu macam mana perkara itu boleh berlaku seolah-olah kebanyakan yang datang daripada saya adalah yang negatif sahaja.

"Apa pun saya akan mengambil iktibar daripada perkara itu di mana pada masa sama saya tidak pernah kata saya tidak suka wartawan. Mungkin ada satu atau dua wartawan sahaja yang tidak suka dengan saya.

"Mungkin cerita seperti itu timbul daripada wartawan terbabit yang tidak boleh menyesuaikan diri dengan saya. Ataupun mungkin wartawan itu jenis yang tidak boleh bergurau apatah lagi dengan cara saya bergurau," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: