Sunday, March 7, 2010

Doa anak buka hati

JIWA bergoncang kuat apabila mendengar doa tulus putera kesayangannya. Permohonan ikhlas berikan jodoh yang baik buat ibu usai solat Maghrib itu bagaikan aliran elektrik berkuasa tinggi menyentap tangkai hatinya.

pix_middle
pix_topright

Mengharapkan pengertian tiada istilah perkahwinan dalam kamus hidupnya, dia sekali lagi disuntik kesedaran menerusi peringatan dua anak angkatnya, Mohd Daniel Abdullah, 17, dan Mohd Zulhelmy Jamaluddin, 16, bahawa Hawa dijadikan daripada tulang rusuk kiri Adam, malah Allah mencipta manusia berpasang-pasangan. Prinsip yang dipegang selama ini terus lebur, benar selama ini dia terlupa hakikat itu.


Bermulalah dimensi baru dalam hidup aktres tersohor, Umi Khalsum Rahmad Ali (Umie Aida).


Pemilik 'hati batu' ini mula memberi ruang kepada diri menerima kehadiran insan bernama Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, yang bakal bergelar suaminya beberapa hari lagi.


"Hati saya tersentuh dengan kata anak yang mahu melihat saya menamatkan zaman bujang. Bagaikan diatur, kebetulan ketika itu saya berkawan dengan Abang (panggilan untuk Khairuddin) dan dia beberapa kali bercakap mahu mengahwini saya tetapi hasrat itu saya tolak.

"Selepas dua minggu berfikir, saya mengirim SMS kepada Abang untuk menyatakan kesediaan mahu mencuba. Dia terus hantar rombongan merisik dan pada 29 September 2010 kami bertunang.


"Sebelum ini saya cukup takut dengan istilah kahwin kerana dikelilingi ramai teman yang mengalami pelbagai masalah rumah tangga. Namun tiada siapa boleh melawan ketetapan Ilahi, bila sampai seru perlu berani melalui tuntutan Sunnah Rasulullah ini. Sesungguhnya perkahwinan adalah rahsia Allah dan saya perlu bersedia dengan apa juga kemungkinan yang bakal berlaku dan jika percaturan ini membahagiakan, ia rezeki saya.


"Lagipun tiada perkahwinan yang tidak dilanda masalah. Hidup tidak akan berseri jika semuanya indah dan kerana itu saya perlu beranikan diri.


"Kini saya sedar kita tidak boleh takut dengan masalah, sebaliknya perlu bijak bermain dengan dugaan itu untuk kukuhkan lagi ikatan kasih suami isteri," katanya yang menyambut ulang tahun ke-37 tanggal 19 Januari lalu.


Sambungnya sambil tersenyum bahagia, untuk berada dalam dunia baru ini dia perlu banyak bertolak ansur. Sikap kepala batu harus dikikis perlahan-lahan dan dalam masa sama bakal suami harus memahami serta menerima dirinya seadanya.


Pernah sebelum ini Umie berterus-terang dengan tokoh korporat itu bahawa sukar untuknya jatuh cinta dan kerana itulah lambat bertemu jodoh.


Biar apapun kata-kata atau alasan yang keluar dari bibirnya, ia sedikitpun tidak menggoyahkan kesabaran dan kesungguhan jejaka itu.

Akui aktres jelita ini, tidak pernah dia bertemu manusia penyabar seperti Khairuddin, malah tokoh korporat itu sangat mengambil berat keluarganya.


"Setakat ini saya tidak pernah uji Abang lebih-lebih, tetapi mungkin Allah SWT sudah tentukan dia jodoh saya, maka dia dapat bertahan dengan kerenah saya. Saya nampak keikhlasannya untuk memperisterikan saya," kata Umie.


Berbicara majlis pernikahannya yang akan berlangsung di Makkah, adik kepada aktres dan pengarah, Erma Fatima ini menjelaskan, dia dan rombongan yang membabitkan keluarga dan teman terdekat akan berada di Tanah Suci selama seminggu dan upacara akad nikah akan berlangsung antara tarikh 11 hingga 15 Mac ini.


"Ketika mengerjakan umrah saya pernah berdoa, andai ada jodoh, saya mahu berkahwin di Masjidil Haram. Bila saya suarakan hasrat mahu berkahwin di Makkah, Abang bersetuju.


"Saya beri dua pilihan sama ada Masjidil Haram atau Masjid Nabawi di Madinah dan Abang pilih Masjidil Haram kerana di sana boleh campur lelaki dan wanita.


"Di sana upacara mestilah berlangsung dalam keadaan cepat kerana tidak boleh menyusahkan pengunjung masjid yang lain. Kemungkinan besar majlis diadakan selepas Subuh kerana ketika itu tidak ramai orang.


"Buat masa ini belum ada kata putus mengenai tarikhnya, tetapi kemungkinan antara 13, 14 atau 15 Mac.


"Pada hari bersejarah itu nanti saya dapat berkumpul dengan keluarga. Pasti sayu ketika itu kerana arwah ayah tidak dapat menyaksikan detik saya bergelar isteri orang.


"Sudah dua tahun arwah meninggalkan kami, kalau dia masih hidup pasti dia yang paling gembira pada hari itu. Biarlah kami anak beranak dan teman terdekat saja yang menyaksikan momen bersejarah itu.


"Kalau ikutkan, saya mahukan majlis perkahwinan yang ringkas, cukup hanya dengan majlis akad nikah di Masjidil Haram dan tidak mahu disandingkan.


"Itulah impian sebenar saya, tetapi demi menghormati permintaan keluarga saya dan suami, majlis resepsi akan diadakan di Hotel One World pada 28 Mac," kata Umie yang sepatutnya mahu melangsungkan perkahwinan pada hari sambutan Maulidur Rasul lalu namun ditunda ke bulan ini kerana Erma sibuk dengan pementasan teater Antara di Istana Budaya.


Bagi merealisasikan hari bahagianya, Umie memilih pereka fesyen, Jovian Mandagie sebagai perunding perkahwinan.


Pada majlis akad nikah, Umie akan menyarung telekung rona putih sentuhan Jovian manakala bagi acara resepsi pula busana warna merah keemasan serta gaun menjadi pilihan.


Bakal raja sehari akan disandingkan di atas pelamin yang dihias indah oleh Nas Great Idea yang sebelum ini bertanggungjawab mereka pelamin untuk majlis persandingan gilang gemilang Mawi dan Ekin.


Menyusuri dasar hatinya, ternyata wanita berjiwa kental ini bahagia dengan kembara hidup yang dilalui. Bergelar ibu pada usia semuda 20 tahun bukan perkara mudah namun banyak kemanisan dikecapi daripada amanah yang digalas itu.


Tiada yang lebih indah daripada kehadiran dua cahaya mata itu, malah merekalah insan yang menjentik hatinya untuk melakukan beberapa transformasi, termasuk menerima kehadiran 'Adam' dalam lipatan hidupnya.


"Saya bersyukur dikurniakan anak yang baik. Merekalah mencorak keperibadian saya, malah menjadikan saya manusia yang lebih bertanggungjawab pada diri dan orang lain. Sebagai manusia, saya tidak lari daripada melakukan kesilapan namun berpatah balik apabila ingat mereka.


"Kasih saya pada mereka adalah satu keikhlasan. Dari situ wujud sifat keibuan dan tidak ada perkataan 'angkat' kerana mereka anak saya dunia akhirat. Saya bertuah kerana Abang menerima kehadiran anak saya seperti anak kandungnya sendiri.


"Itu yang paling saya harap-harapkan daripada seorang lelaki yang bakal mentadbir hidup saya. Biarpun masing-masing ada anak, saya berdoa dikurniakan lagi cahaya mata daripada ikatan yang dibina ini," katanya yang sukar melelapkan mata kebelakangan ini kerana risau memikirkan banyak perkara termasuk soal persiapan majlis akad nikah, resepsi dan jemputan.


Mengulas rutin selepas bergelar isteri, Umie berkata, dia tetap aktif berlakon seperti biasa, malah tunangnya tidak pernah menghalang kecenderungan yang menjadi darah dagingnya.


Lebih menarik, fokus aktres yang pernah merakam album Romeo & Juliet dan Gema Kasih ini bukan saja kerja depan kamera, malah akan membantu bakal suaminya mengendalikan syarikat produksi yang membekalkan produk Islamik dan ilmiah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: