Friday, March 5, 2010

Chile pengeluar tembaga No. 1




CHILE sebuah negara kecil dengan keluasan 4,185 kilometer persegi merupakan sebuah negara Amerika Latin yang cukup stabil dari sudut ekonomi dan taraf hidup rakyatnya.

Biarpun memiliki populasi melebihi 16 juta orang tetapi masyarakatnya sedikitpun tidak mengeluh mengenai pendapatan dan pekerjaan.

Chile yang terletak di antara Pergunungan Andes dan Lautan Pasifik juga kukuh dari aspek politik selain kes-kes rasuahnya yang rendah. Negara itu juga mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan banyak negara di dunia termasuk Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan, pernah bertitah walaupun Malaysia dan Chile dipisahkan dengan geografi, perbezaan bahasa, budaya dan latar belakang sejarah, ia bukan penghalang untuk mewujudkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.


MONUMEN khas yang diperbuat daripada tembaga ini dibina sebagai dedikasi untuk pelombong-pelombong di Chile.


Sejak wujudnya hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara kira-kira sedekad lalu, Malaysia dan Chile telah mengadakan beberapa kerjasama yang membawa kepada kemajuan dan kemakmuran.

"Beta sukacita apabila negara kita sedang merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang mendorong hubungan ekonomi antara Malaysia dan Chile. Chile akan menjadi negara Amerika Latin pertama yang mempunyai FTA dengan Malaysia," tegas Tuanku Mizan sewaktu melakukan lawatan rasmi ke Chile tahun lepas.

Sebelum kehadiran Sepanyol pada kurun ke-16, bahagian utara Chile pernah di bawah pemerintahan Inka iaitu Orang Asli Peru, manakala di bahagian selatannya didiami oleh masyarakat Orang Asli Araucanian. Meskipun Chile mengistiharkan kemerdekaan pada 1810 tetapi mereka hanya benar-benar bebas daripada cengkaman Sepanyol sekitar 1818.

Chile yang terletak di Amerika Selatan merupakan salah sebuah negara yang memiliki kadar kemiskinan yang rendah. Kenyataan tersebut turut disokong oleh sebuah badan pangkalan data Trade and Environment (TED) yang pernah menjalankan kajian mengenai Chile.

Hasil kajian tersebut mendapati, kestabilan ekonomi Chile berpunca daripada sumber mineral di negara itu.

Malah, Chile tidak ketinggalan memperoleh pendapatan lumayan daripada tanaman, sumber perhutanan dan industri pelancongan. Rata-rata pelancong dari Eropah kerap memilih Chile kerana keindahan pemandangan dan tasiknya.

Namun mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sumber utama dalam meningkatkan kestabilan ekonomi negara itu adalah industri tembaganya.

Chile merupakan pengeluar tembaga terbesar di dunia. Segala-galanya bermula sekitar 1825, apabila negara kuasa besar seperti Eropah dan Amerika mula bersaing dengan pelabur luar untuk mengawal industri tembaga di Chile.


ANTIAGO LLANQUIN-Cordillera kawasan berbukit Valparaiso merupakan bandar kedua terbesar di Chile iaitu kira-kira 120 kilometer ke barat laut Santiago.


Perebutan sengit itu berlaku apabila negara-negara rasa tergugat kerana Chile telah mendahului eksport tembaga sebanyak 12,700 tan setahun sekitar 1883. Ia merupakan satu jumlah yang agak tinggi pada era tersebut.

Malah kecemerlangan industri tembaga di Chile semakin melonjak selepas Perang Pasifik yang berlaku di antara 1879 hingga 1883. Sehingga kini, Chile mampu meluaskan lombong-lombong tembaganya di utara dan di selatan negara tersebut. Lebih menakjubkan pada pada tahun lalu, Chile berjaya mengeksport kira-kira AS$53 (RM1.8 bilion).

Namun begitu kegemilangan industri tembaga di Chile tergugat seketika selepas gempa bumi yang melanda negara tersebut baru-baru ini. Ratusan bangunan dan jalan raya utama di Chile musnah dan rosak teruk akibat gegaran gempa berskala 8.8 Richter. Setakat ini lebih 700 orang terbunuh selain mencetuskan ombak besar tsunami.

Tradisi Chile

Lebih menyedihkan apabila industri tembaga yang memainkan peranan utama pada ekonomi di Chile turut terjejas. Proses penghasilan tembaga terpaksa dihentikan kerana kekangan tenaga elektrik, kemusnahan jalan raya dan tenaga buruh.


SEBUAH jambatan runtuh di Talca iaitu 300 kilometer ke selatan Santiago akibat gempa bumi 8.8 skala Ritcher.


Menurut sumber Codelco iaitu syarikat pengeluar tembaga terbesar di Chile, lombong tembaga di El Teniente dan Andina tidak boleh berfungsi kerana gangguan bekalan elektrik. Kerja-kerja melombong tembaga terpaksa dihentikan di Los Bronces dan El Soldado.

Jelas Menteri Perlombongan Chile, Santiago Gonzalez, gempa yang melanda telah menyebabkan beberapa lombong tembaga terjejas teruk. Namun Gonzalez memberitahu, syarikat Codelco masih beroperasi seperti biasa dan mempunyai stok tembaga yang mencukupi mengikut permintaan eksport.

"Codelco masih beroperasi kerana lombong di Antofagasta dan Mejillones tidak terjejas walaupun lombong kecil di San Antonio ditutup. Kami masih mampu mengeksport tembaga memandangkan ia adalah penyumbang utama ekonomi Chile," tutur Gonzalez pada agensi berita Reuters.

Biarpun Chile sebuah negara yang mewah, stabil dan moden, masyarakat negara itu masih mengekalkan tradisi dan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.


TARIAN cueca antara budaya tradisi penduduk Chile yang kekal pada hari ini.


Lebih membanggakan, tradisi itu turut diterapkan di setiap lapisan umur sama ada kanak-kanak sehinggalah golongan dewasa.

Salah satunya ialah penggunaan kuda dalam pelbagai acara. Haiwan tersebut digunakan untuk mengasingkan gandum daripada jerami ia juga bertindak sebagai pengangkutan untuk pindah yang dikenali sebagai minga. Aktiviti tradisi itu biasanya mengalihkan rumah dari tapak lama ke lokasi baru dengan bantuan kuda.

Kehadiran hiburan moden sedikitpun tidak menghalang rakyat tempatan meneruskan muzik dan tarian mereka. Cueca merupakan salah satu tarian yang memerlukan penari menari dengan rancak sambil melayangkan sapu tangan mengikut alunan muzik klasik.

Seri tarian cueca tampak menyerlah apabila kumpulan penari tampil dengan busana kebangsaan seperti skirt kembang, kemeja lengan panjang dan topi koboi.


SALAH sebuah lombong tembaga BHP Billiton Escondida di barat daya Antofagasta, Chile.


Pengaruh tarian cueca sukar dilenyapkan begitu saja kerana setiap kali sambutan Hari Kebangsaan Chile pada bulan September, tarian tersebut wajib dipersembahkan.

"Inilah yang perlu dipraktikkan oleh setiap negara. Kesedaran masyarakat Chile yang mempertahankan budaya dan tradisi mereka walaupun hidup sebagai negara yang kaya harus dicontohi. Adat resam dan budaya yang ditinggalkan oleh nenek moyang itulah menjadi kekuatan pada pembangunan sesebuah negara.

"Keprihatinan pemerintah Chile yang mewajibkan masyarakatnya menari tarian tradisi cueca pada sambutan hari kebangsaan harus dipuji. Disebabkan tanggungjawab berkenaan, warganegara Chile tidak lupa asal usul dan budaya mereka sampai bila-bila," ujar Pensyarah Sosiologi, Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Fatimah Daud.

Fatimah menyifatkan adalah sesuatu yang memalukan sekiranya sesebuah negara itu mantap dari segi ekonomi, pembangunan dan sosial tetapi lemah dalam memartabatkan budayanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: