![]() |
| Choi Hyun-Mi baru berusia 19 tahun sudah bergelar juara dunia sebanyak dua kali. |
LAZIM anak-anak muda yang gemar mengejar populariti dan ingin menjadi terkenal memilih jalan singkat seperti menyertai program realiti TV atau pertandingan ratu cantik bagi si gadis.
Namun berbeza pula dengan remaja perempuan ini, Choi Hyun-Mi, yang jadi terkenal dan popular selepas berjuang bermati-matian di gelanggang tinju,.
Malah pembabitan dalam sukan berbahaya dan jarang diceburi gadis seusianya, pada awalnya bukan untuk meraih populariti sebaliknya untuk kelangsungan hidup di Korea Selatan selepas melarikan diri bersama keluarga dari tanah air mereka Korea Utara.
Hyun- Mi, 19, yang beralih daripada peringkat amatur kepada profesional, kini merupakan juara bagi kategori featherweight Persatuan Tinju Dunia (WBA).
Ia juga bukti cintanya yang mendalam terhadap sukan yang diceburi sejak berusia 13 tahun lagi di bandar kelahirannya, Pyongyang .
"Saya rasa saya memang dilahirkan untuk bertinju," kata Hyun-Mi ketika mengenang kembali bagaimana dia beralih daripada sukan balapan selepas jurulatih tinju di sekolahnya di ibu negara Korea Utara itu memujuknya masuk ke gelanggang tinju.
Di gelanggang tersebut dia melihat rakan-rakan sebayanya bermandi peluh menumbuk beg pasir, tetapi Hyun-Mi waktu itu lebih seronok berbicara tentang hal-hal kecantikan.
Pada masa sama dia turut berhadapan dengan tentangan keras daripada kedua-dua ibu bapanya yang tidak mahu anak gadis mereka bertarung di gelanggang sukan lasak itu.
"Saya tunjukkan pada ibu bapa saya rakaman video saat-saat saya mengalahkan petinju lain selepas tiga bulan saya berlatih secara rahsia," katanya.
Dari situ baru ibu bapanya percaya kebolehan Hyun-Mi dan gadis sunti itu terus melangkah lebih jauh hingga dipanggil berlatih untuk skuad Olimpik Korea Selatan 2008. Malangnya penganjur sukan Olimpik mengambil keputusan untuk menggugurkan acara tinju wanita.
Perjalanan hidup Hyun-Mi berubah secara drastik pada 2004 apabila bapanya, Cho Chul-Soo, seorang ahli perniagaan Korea Utara yang kaya mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Korea Selatan.
"Waktu itu saya terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku. Tetapi saya tetap bersetuju kerana saya mahukan persekitaran yang baru," katanya.
Menyedari risiko yang tinggi, keluarga Hyun-Mi merancang tindakan melarikan diri itu dengan berhati-hati.
Mereka menyamar seolah-oleh bercuti sekeluarga ke China, sebaliknya mereka ke Vietnam sebelum akhirnya tiba di Korea Selatan.
Dari situ bermulalah peralihan yang begitu sukar bagi keluarga tersebut.
"Saya ingat kami akan tinggal di bangunan tiga tingkat yang ada kolam renang. Saya membayangkan hidup seperti puteri raja dan memakai pakaian yang indah-indah. Tetapi realitinya bukan begitu," kata Hyun-Mi.
Malah pada mulanya dia begitu teruja apabila diberitahu dia boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Bagaimanapun dia mula kecewa apabila gagal mencapai gred yang tinggi sebagaimana dicapai ketika di Korea Utara dan mengambil keputusan untuk mencipta kejayaan di gelanggang tinju saja.
Hyun-Mi membuka langkah pertama sebagai petinju amatur dengan meraih 16 kemenangan.
Dia kemudian beralih kepada peringkat profesional yang menjanjikan hadiah lebih lumayan dan menggunakan wang tersebut untuk membantu keluarganya yang hidup bergantung kepada bantuan kerajaan khusus untuk pelarian Korea Utara.
"Saya rasa perlu membantu keluarga saya dan membalas segala sokongan dan kasih sayang mereka yang tidak bertepi," katanya.
Dia meraih kejayaan profesional pertamanya pada Jun 2008. Pada kejohanan profesional kedua iaitu 11 Oktober 2008 dia berjaya mengalahkan petinju China, Xu Chun Yan untuk meraih gelaran dunia WBA.
"Sejujurnya saya tidak ingat apa yang saya rasa atau fikirkan ketika itu. Segala-galanya berlaku di depan mata saya seperti dalam mimpi.
"Satu-satunya perkara yang saya fikirkan ketika bersiap sedia untuk bertarung ialah tidak ada perkataan kalah. Apa juga yang berlaku saya perlu menang dan saya akan menang," katanya dengan air mata mula berlinangan mengenang detik bersejarah itu.
Kemenangan yang diraih pada usia 17 tahun itu telah menjadikan dia sebagai petinju paling muda meraih gelaran dunia dalam sejarah tinju di Korea Selatan.
Dia mempertahankan gelaran itu sebanyak dua kali - satu seri dengan rakan petinju dari Korea Selatan Kim Hyo-Min pada Mei 2009 dan kemenangan ke atas petinju Jepun, Tenku Tsubasa pada November lalu.
Pada April ini dia akan bertemu dengan petinju Argentina Andrea Lopez untuk mempertahankan kejuaraannya buat kali ketiga.
"Jika anda menang dan tangan anda dijulang, anda akan merasai perasaan yang cukup mengujakan. Ia seperti satu ketagihan. Tinju adalah segala-galanya dalam hidup saya. Ia adalah batu loncatan saya untuk mencapai kejayaan hidup," katanya
Para penganjur kejohanan tinju menggelar Hyun-Mi Choi sebagai 'Gadis Petinju Berpaling Tadah' manakala di kalangan peminatnya dia dikenali sebagai 'Petinju Teknikal' atau 'Petinju Jelita'.
"Saya lebih suka gelaran 'Petinju Jelita'," katanya dalam ketawa.
Bagaimanapun gelaran kegemaran anak gadis ini ialah Million Dollar Baby - mengambil sempena tajuk filem yang memenangi anugerah Oscar pada 2004 .
"Ia bermaksud saya bernilai sejuta atau lebih. Saya suka cara itu," guraunya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: