Saturday, March 6, 2010

Benarkah Oscar akan hilang seri?


TERCALON untuk dua lagu, mampukah Randy Newman memenangi Oscar keduanya tahun ini?


SETIAP tahun, peminat filem di seluruh dunia akan berkumpul di hadapan kaca televisyen bagi menyaksikan penganjuran Oscar yang disifatkan sebagai anugerah paling popular di dunia.

Biarpun ia dianggap sebagai anugerah berprestij dan tertinggi bagi mengiktiraf karyawan seni di Hollywood, hakikat sebenar yang harus diakui ialah populariti Oscar itu sendiri.

Magisnya Oscar ialah ia berupaya menghimpun semua karyawan seni tidak kira latar belakang mahupun kerakyatan untuk sama-sama meraikan majlis yang cukup gilang-gemilang itu.

Bukan sahaja mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dalam industri perfileman tetapi juga peminat filem seantero dunia yang akan sama-sama meraikan Oscar.

Memang cukup menarik untuk melihat bagaimana impak Oscar itu kepada mereka sehingga mampu mencetuskan perdebatan sesama sendiri untuk meneka para pemenangnya.

Tahun ini menyaksikan Oscar meraikan ulang tahunnya ke-82 dan apa yang boleh dikatakan, saingan tahun ini memang dikatakan antara yang paling sengit sekali.

Dengan membariskan 10 buah filem dalam kategori Filem Terbaik, ramai yang melihatnya sebagai salah satu daya penarik untuk penonton terus menonton Oscar.

Apatah lagi, beberapa tahun kebelakangan ini jumlah penontonan semakin berkurangan.

Maka itu, dengan adanya beberapa buah filem pecah panggung yang tersenarai dalam kategori tersebut seperti Avatar, The Blind Side, Up dan District 9 mampu menarik perhatian penonton muda khususnya untuk menonton Oscar.

Mungkin itu satu strategi terbaik yang telah diaturkan oleh pihak akademi tetapi ada seperkara lagi yang membuatkan mereka terlepas pandang jika mahukan rating yang tinggi tahun ini.

Buat pertama kalinya, Oscar memansuhkan persembahan selingan menerusi kategori Lagu Asal Terbaik yang merupakan tradisi Oscar saban tahun.

Alasan yang diberikan oleh penerbit eksekutif Oscar iaitu Adam Shankman dan Bill Mechanic adalah kerana mahu memberikan tumpuan kepada 10 calon Filem Terbaik malam itu.

Tindakan mereka itu dilihat sebagai agak drastik dan tidak kurang juga yang mengatakan ia akan menyebabkan Oscar akan hilang serinya.

Manakan tidak, persembahan artis yang menyampaikan lagu-lagu yang tercalon dalam kategori Lagu Asal Terbaik dianggap antara momen kemuncak dalam penganjuran Oscar.

Hanya dengan persembahan itu sahajalah, ia sebenarnya menyerikan acara tersebut yang sering kali memakan masa sekurang-kurangnya tiga jam.

Persembahan itu juga mampu melenyapkan rasa bosan yang melanda (jika ada) sepanjang acara berlangsung.

Barangkali mereka terlupa bahawa dengan adanya persembahan seperti itu, ia setidak-tidaknya mampu menaikkan rating kerana ia merupakan segmen yang paling ditunggu-tunggu.

Adakah dengan tindakan mereka untuk meniadakan persembahan kategori Lagu Asal Terbaik itu adalah sesuatu yang bijak dan wajar dilakukan?

Sudah pasti tidak. Kerana itulah saat terbaik untuk artis yang sudah dari awal bersedia untuk membuat persembahan serta memperkenalkan lagu-lagu runut bunyi dari filem yang dicalonkan.

Siapa yang dapat lupa beberapa persembahan yang telah meninggalkan impak sepanjang 81 tahun Oscar dilangsungkan.

Pada tahun 1998 misalnya, pentas Oscar diserikan dengan tiga orang penyanyi handalan iaitu Celine Dion, Trisha Yearwood dan Michael Bolton yang mempersembahkan lagu masing-masing.

Tidak cukup dengan itu, siapa yang dapat lupa bagaimana Beyonce memukau audiens pada tahun 2005 apabila menyampaikan kesemua lima calon lagu terbaik tahun itu.

Tahun lalu juga tidak kurang hebatnya apabila pentas Oscar bertukar wajah dan membawa audiens ke dunia Bollywood apabila dua lagu dari filem Slumdog Millonaire dipersembahkan oleh A.R. Rahman.

Jadi, tahun ini bagaimana pula? Cukupkah sekadar dengan penayangan sedutan filem dan lagu untuk kategori Lagu Asal Terbaik dipertontonkan kepada audiens?

Bagi Shankman dan Mechanic, mereka tidak gusar akan perkara tersebut kerana mereka mempunyai agenda tersendiri tahun ini.

Antaranya ialah untuk memberikan sau nafas baru kepada Oscar agar ia kelihatan lebih muda seiring dengan matlamat akademi yang mahukan penonton muda melekat di kaca televisyen.

Kata mereka, tahun ini juga tiada tema yang spesifik seperti kebiasaannya.

Cuma mereka mahukan, penonton akan dapat merasakan hubungan dan memahami hasil kerja setiap karyawan seni yang bertanding.

"Kami mahu semua orang berada dalam momen itu. Percayalah, selepas tirai Oscar dilabuhkan, kita pasti akan nampak peluang yang dilepaskan dan beberapa kesilapan yang berlaku.

"Untuk menerbitkan program besar seperti ini tiada rangka tindakan yang khusus untuk menjadikannya sebagai satu sukses.

"Sudah menjadi adat, kalau mahu melakukan sesuatu yang hebat, kita pasti akan berdepan dengan kekecewaan," kata mereka memberikan penjelasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: