Tuesday, March 9, 2010

Bank Rakyat dibuka sehingga 10 malam

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) akan melanjutkan perkhidmatan kaunternya di beberapa cawangan terpilih di seluruh negara dengan beroperasi sehingga jam 10 malam bagi memberi perkhidmatan berkesan kepada pelanggan.

Khidmat ditawarkan itu termasuk pendaftaran bakal haji dan pengeluaran deposit selaras dengan usaha bank itu untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang memerlukan khidmat sosial dan kewangan.


Pengurus Besar Operasi Cawangan Bank Rakyat, Ahmad Kidzbullah Ridzuan, berkata bank berkenaan yang kini mempunyai 124 cawangan di seluruh negara mampu memberi perkhidmatan terbaik diperlukan pelanggan.


Beliau berkata, usaha kini diberi tumpuan kepada pendeposit Tabung Haji (TH) dan mereka yang mahu mendaftar untuk menunaikan fardu haji dengan membuat pendaftaran terus di bank itu.


Menurutnya, sebelum ini bakal haji menghadapi masalah berurusan dengan TH kerana operasinya ditutup pada jam 5 petang, tetapi kini mereka boleh berurusan terus dengan Bank Rakyat.


“Kemudahan ini disediakan di cawangan terpilih dan akan diteruskan di kesemua 124 cawangan bank,” katanya selepas merasmikan premis baru Bank Rakyat Cawangan Jertih, semalam.

Hadir sama Ketua Wilayah Timur Bank Rakyat, Berhanuddin Che Abdullah dan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Jertih, Ramman Masdar.


Katanya, Bank Rakyat juga memperkenalkan ciri baru bagi pembiayaan Peribadi-I Aslah apabila pembiayaan ditingkatkan menjadi RM200,000 manakala tempoh pembiayaan dari 15 tahun dilanjutkan kepada 20 tahun dengan kadar keuntungan serendah 3.25 peratus.


Menurutnya, bank berkenaan mengekalkan kedudukan sebagai institusi kewangan Islam nombor satu di Malaysia dengan menawarkan pelbagai kemudahan kewangan seperti produk perbankan konsumer dan pembiayaan komersial.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: