![]() |
| DALAM usia 57 tahun, Anita Sarawak mahu terus menyanyi dan menghiburkan peminatnya sehingga dia memutuskan untuk bersara apabila waktunya tiba nanti. |
SELAMA lebih empat dekad menghamba diri sebagai penghibur, Anita Sarawak masih terus berdiri teguh.
Aura dan karismanya juga terus membara biarpun usianya kini sudah mencecah 57 tahun.
Ia secara tidak langsung membuktikan usia bukan satu halangan buat Anita untuk terus beraksi lincah di atas pentas.
Pernah juga terlintas di fikirannya mahu bersara dan berehat di samping melakukan kerja-kerja amal.
Tetapi semangat serta sokongan padu peminatnya membuatkan dia terpaksa melupakan hasrat itu.
"Kerana mereka, saya masih lagi di sini dan meneruskan perjuangan dalam bidang seni.
"Saya kekal di sini adalah kerana minat terhadap seni dan tidak langsung terlintas mahu bersaing dengan sesiapa.
"Bukan lagi glamor mahupun populariti yang saya kejar sebaliknya saya mahu meneruskan tugas saya sebagai penghibur," kata penghibur berusia 57 tahun ini merendah diri.
Anita atau nama sebenarnya Ithnaini Mohd. Taib ditemui pada sidang akhbar Karpet Merah - Glitz & Glam sempena Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park Executive Suites, di ibu negara baru-baru ini.
Buat pertama kalinya juga pelantun lagu Tragedi Buah Epal dan Cinta Nan Satu ini akan berkongsi pentas dengan penghibur ternama negara, Datuk Sheila Majid untuk persembahan eksklusif itu pada 7 April ini.
Menyambung bicara, Anita sedar ada kata-kata nakal yang memperkatakan tentang kedudukannya dalam industri seni dan dilihat cuba bersaing dengan bakat-bakat baru.
Namun Anita tidak ambil pusing dengan kata orang sekeliling kerana apa yang penting baginya adalah kegembiraan dan kepuasan dalam menghiburkan audien serta peminatnya.
"Peminat-peminat masih lagi mahukan saya untuk terus menyanyi dan saya fikir tidak salah jika saya lakukan ini demi mereka.
"Insya-Allah, bila sampai waktunya kelak, saya pasti akan berundur dari dunia seni," katanya dalam nada tenang.
Dalam pada itu, Anita turut mengkhabarkan berita gembira tentang sebuah album kompilasi istimewa yang akan dilancarkan bulan depan.
Jelas Anita, album terbitan dan edaran Life Records itu memuatkan 16 buah lagu-lagu popularnya.
Kesemua lagu di dalam album tersebut jelas Anita, merupakan karya retrospektif yang menceritakan perjalanan seninya dari mula hingga kini.
Album itu turut memuatkan lima video karaoke dan lebih menggembirakan Anita apabila album itu bakal dilancarkan serta dipasarkan di Indonesia.
Biarpun saban tahun menghiburkan peminat untuk minggu setiausaha, Anita akan tetap tampil dengan konsep persembahan yang berbeza.
Untuk persembahannya tahun ini yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Bukit Kiara, Anita menjanjikan sebuah persembahan yang menarik.
"Lagu-lagu yang akan saya sampaikan juga sedikit berbeza dan semuanya itu saya lakukan kerana ada permintaan daripada peminat," kata Anita yang akan beraksi selama 45 minit di bawah iringan muzik oleh Acis.
Saat diminta pendapatnya tentang Sheila, Anita dengan penuh jujur mengakui cukup mengagumi kredibiliti penghibur kecil molek itu.
Baginya, Sheila memiliki bakat yang unik dan maka itu, tidak hairanlah dia mampu bertahan selama 25 tahun.
"Ia juga merupakan satu penghormatan buat saya untuk beraksi bersama-sama Sheila. Kami juga akan menampilkan kejutan dengan berduet menerusi sebuah lagu," kata Anita sambil merahsiakan lagu duet yang akan disampaikan.
Mengenai tiket untuk menyaksikan persembahan yang cukup eksklusif ini pula, harga sebenarnya adalah RM500++ untuk 1st Tier manakala RM350++ (2nd Tier).
Terdapat sedikit kesilapan fakta pada harga seperti mana yang dilaporkan dalam Hits keluaran 23 Mac lalu dan untuk itu, Hits memohon maaf atas kekeliruan tersebut.
Bagi mereka yang mahu menonton persembahan ini, pastikan anda dapatkan tiket dengan segera kerana Hits difahamkan bilangan tiket kini semakin terhad.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: