Monday, May 31, 2010

Pos Malaysia sertai sektor hartanah

PUSAT operasi perkhidmatan Pos Laju di Brickfields    antara  lokasi strategik bakal dimajukan.
PUSAT operasi perkhidmatan Pos Laju di Brickfields antara lokasi strategik bakal dimajukan.
Semakan semula Akta Tanah Pos bolehkan lokasi strategik dimajukan

SEMAKAN semula Akta Tanah Pos yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen Jun ini, bakal menyaksikan penyertaan Pos Malaysia Bhd dalam sektor pembangunan hartanah.
Mengikut sumber yang rapat dengan syarikat itu, ia akan memberi peluang kepada Pos Malaysia mempelbagaikan sumber pendapatannya dengan membangunkan semula tanah miliknya yang kini hanya menempatkan premis operasi pos serta aktiviti yang berkaitan.Difahamkan, semakan semula akta itu sedang dilaksanakan kerajaan menerusi agensi yang berkaitan dan akan dimuktamadkan hujung bulan depan.

Sumber itu berkata, menerusi penerokaan dalam aktiviti hartanah, khususnya yang membabitkan tanah di lokasi strategik di pusat bandar utama, ia akan memberikan pendapatan lumayan yang konsisten kepada Pos Malaysia pada masa depan.

Katanya, antara lokasi utama yang sudah dikenal pasti ialah di Brickfield, Kuala Lumpur yang kini menempatkan operasi perkhidmatan Pos Laju.

“Akta Tanah Pos sedia ada menyatakan semua kemudahan Pos Malaysia yang didirikan di tanah milik kerajaan hanya dikhususkan bagi perkhidmatan pos dan aktiviti berkaitan dengannya dan Pos Malaysia tidak boleh membuat aktiviti lain yang boleh menghasilkan keuntungan lebih baik.
“Ini sekali gus mengehadkan penggunaan keseluruhan 660 cawangan dan pusat pengedaran milik Pos Malaysia.

“Namun, dengan terbentuknya akta baru itu nanti, ia akan memberi kelebihan kepada Pos Malaysia membangunkan semula tanah yang menempatkan prasarananya kepada bentuk pembangunan yang dapat memberikan lebih banyak hasil,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sumber itu berkata, dalam merealisasikan pembangunan semula hartanah itu, Pos Malaysia mungkin bekerjasama dengan pemaju hartanah eksklusif terpilih bagi memajukan projek yang dilaksanakan boleh meningkatkan lagi nilai tanah di lokasi yang dikenal pasti itu.

“Konsep pembangunan yang akan dilaksanakan masih belum dimuktamadkan, namun ia adalah yang boleh menjana pulangan lumayan kepada kumpulan serta pemegang sahamnya,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini banyak agensi pos di luar negara berjaya membentuk perniagaan lain di dalam lokasi sama yang menempatkan prasarana operasi pos mereka, sekali gus dapat menghasilkan sumber pendapatan luar yang konsisten.

“Selain fokus kepada aktiviti utama, agensi pos di luar negara itu juga kini banyak terbabit dengan perniagaan restoran, kedai serbaneka atau kafe yang dibangunkan di atas tapak yang sama dengan prasarana kemudahan pejabat pos yang mendatangkan sumber pendapatan lumayan,” katanya sambil menegaskan pengurusan Pos Malaysia sejak akhir-akhir ini amat aktif meneroka sumber pendapatan baru yang dapat menawarkan pulangan pendapatan lumayan berikutan penurunan dalam aktiviti penghantaran surat.

Semakan semula Akta Tanah Pos itu adalah sebahagian daripada pengumuman Kerajaan untuk melupuskan pegangannya dalam ekuiti Pos Malaysia yang akan dilaksanakan menerusi dua peringkat.

Peringkat pertama membabitkan penekanan dalam menangani persekitaran perniagaan makro Pos Malaysia yang antara lain merangkumi penstrukturan penggunaan tanah milik kerajaan yang diperuntukkan untuk prasarana pos, dan kepentingan pekerja syarikat.

Peringkat kedua yang akan bermula selepas syarat pada peringkat pertama dipenuhi pula, akan menyaksikan proses bidaan untuk memilih pemegang saham utama Pos Malaysia berdasarkan pertimbangan kewangan dan strategik.

Ketika ini, kerajaan menerusi cabang pelaburannya, Khazanah Nasional menguasai 32.2 peratus pegangan strategiknya dalam Pos Malaysia.

Difahamkan, dua syarikat iaitu DRB-Hicom dan Tune Money sudah bertemu Khazanah untuk mengemukakan hasrat pengambilalihan berkenaan.

Dengarnya... KRU lamar Anuar Zain

JIKA benarlah cerita yang Cik Normah dengar ini, rasanya Cik Normah hendak menjadi orang yang pertama mengucapkan tahniah kepada penyanyi lelaki ini. Gembira sungguh diri ini apabila mendapat tahu yang penyanyi kesayangan Cik Normah ini bakal menyumbangkan suara hebatnya untuk sebuah filem epik yang sedang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Walaupun masih belum ada perjanjian rasmi mengenainya dilakukan, namun angin sepoi-sepoi bahasa menyampaikan kepada Cik Normah yang penerbit filem ini begitu berminat untuk menyunting penyanyi ini untuk menyampaikan lagu latar filem ini.
Khabarnya, perbincangan sudah pun diadakan dan bagi pihak si penyanyi sendiri nampaknya menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama. Dengar ceritanya, penyanyi lelaki kacak dan mempunyai ramai peminat ini berminat selepas mendengar lagu berkenaan ditambah dengan gandingan bersama kumpulan orkestra. Tentunya ramai yang ingin tahu siapakah penyanyi yang Cik Normah maksudkan, bukan? Jika tiada aral melintang, besar kemungkinan vokal mantap Anuar Zain bakal berkumandang menghiasi filem Hikayat Merong Mahawangsa yang diarahkan oleh Yusry KRU.

Wah! Bijak sungguh KRU memasang strategi untuk mempromosikan filem ini. Bagi Cik Normah sendiri, pemilihan Anuar sebagai penyanyi latar untuk filem inji memang tepat. Apatah lagi nyanyiannya nanti bakal diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia. Terbayang-bayang Cik Normah akan kehebatan vokal Anuar bersatu dengan muzik yang dilantunkan oleh orkestra berkenaan. Pasti hebat! Hmm tak sabar Cik Normah menanti hasilnya.

Dengarnya...: Penyanyi celupar buat hal lagi

RASANYA sebelum ini sudah berbuih mulut Cik Normah menasihatkan artis yang seorang ini. Tapi nampaknya dia ini boleh diibaratkan seperti mencurah air ke dalam daun keladi. Kata-kata nasihat yang diberikan padanya memang tak memberi kesan langsung. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Entah mengapa, sejak menceburi dunia seni, dia memang mempunyai masalah untuk mengawal mulutnya.
Kata-kata yang terpacul dari mulutnya mesti akan menyakitkan hati sesiapa yang mendengarnya. Terbaru Cik Normah dengar, dia buat hal lagi. Menurut sumber Cik Normah yang berada di seberang lautan sana, penyanyi ini diundang untuk menjayakan persembahan makan malam oleh sebuah syarikat gergasi. Syarikat apa? Biarlah ia menjadi rahsia.

Sewaktu mengadakan persembahan, biasalah sebelum menyanyi, penyanyi ini berkomunikasi dengan tetamu yang boleh tahan ramai malam itu. Cuma yang tak sedapnya, ada ke patut dia mempersoalkan kredibiliti syarikat terbabit di hadapan khalayak yang hadir.

Apa lagi, terkejut badaklah semua yang berada di dalam dewan itu. Berani mati sungguh si penyanyi ini mengeluarkan soalan kurang cerdik seperti itu. Kalau ya pun nak bergurau, banyak lagi perkara lain yang boleh dikatakan daripada mempertikaikan kewibawaan syarikat yang memberikannya rezeki malam itu.

Disebabkan mulutnya yang lancang itu, sewaktu dia menyanyi, hampir separuh tetamu yang hadir keluar dewan. Mungkin masing-masing menyampah nak tengok muka penyanyi yang tak sedar diri ini. Tak taulah Cik Normah kalau si penyanyi itu masih tak sedar diri lagi. Asyik nak ikut kepala sendiri saja.
Bila kejadian seperti ini berulang kembali, Cik Normah pun tak tahu nak nasihat apa lagi. Iyalah, bila nasihat, nanti dia buat balik perangai lama. Kalau macam inilah, Cik Normah hanya mampu menggeleng kepala saja. Malas nak layan.

Siapa kata pura-pura?

pix_gal0
Fauzi Nawawi dan Lisdawati tepis gosip mengatakan rumah tangga mereka berantakan

SEMAKIN rancak orang bercerita mengenai kemelut rumah tangga mereka, semakin mesra dan intim Fauzi Nawawi dan Lisdawati. Malah, melihat kemesraan mereka tatkala berdepan dengan media atau ketika menghadiri majlis, memang sukar mempercayai gosip yang mengatakan Fauzi ‘curang’.
Berbuih-buih juga mulut mereka menafikannya namun ada yang mengatakan mereka berpura-pura bahagia. Baik Fauzi mahupun Lisdawati, masyarakat boleh terus melemparkan apa saja tuduhan. Yang jelas, hanya empunya badan saja yang tahu kebenaran. Namun baru-baru ini, wartawan dan hadirin yang menghadiri majlis melancarkan drama Buih Buih Cinta musim kedua bagaikan tersentak seketika apabila Fauzi berkata mahu mencekik dan menampar isteri jelitanya itu. Apa sudah jadi sebenarnya?

Apakah kata-kata yang terpacul daripada mulut bapa kepada dua anak bernama Nur Aini Farhana dan Nur Aina Fazneesya seperti salah didengari?

“Ikutkan hati memang macam nak cekik dan tampar saja isteri saya ini. Tapi jangan salah faham pula, saya rasa macam itu gara-gara watak lakonannya sebagai Lolly dalam drama Buih Buih Cinta 2 ini. Masya-Allah, gediknya dalam drama itu memang menjadi. Saya yakin anda sendiri yang menontonnya pun akan jadi geram dan menyampah,” ungkapnya sambil tersenyum kerana usikannya mahu mencekik Lisdawati itu menggamatkan majlis pada petang itu yang diadakan di Cineleisure, Damansara.

Dalam drama itu, Fauzi dan Lisda masih dikekalkan sebagai teraju utama. Mereka memegang watak suami isteri seperti di alam realiti. Pengarah Osman Ali masih dikekalkan untuk musim kedua. Drama ini akan mula disiarkan esok di TV3. Musim pertama disiarkan pertengahan tahun lalu.
“Selalunya orang akan cakap musim pertama sesebuah drama, telefilem atau filem akan menjadi yang terbaik jika mahu dibandingkan dengan musim seterusnya.
Tetapi berlainan pula pendapat kali ini kerana saya berasakan Buih Buih Cinta 2 lebih baik daripada yang pertama.

“Osman Ali juga berjaya membentuk hasil yang sangat menarik. Osman Ali juga boleh saya katakan sebagai pengarah yang pandai membentuk pelakonnya untuk terus memberi yang terbaik. Watak Lisdawati sebagai Soraya dan Lolly juga mampu membuatkan anda tak kering gusi,” katanya.

Rujuk peguam soal Bravo 5

DALAM pada itu, Fauzi turut ditanya mengenai filem pertama arahannya, Bravo 5 terbitan Karya Prima Production (KPP) Sdn Bhd yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pertahanan (Mindef). Bagaimanapun hasratnya untuk memikul mandat sebagai pengarah tinggal mimpi saja.

Produksi filem yang berkisar kepada kisah perjuangan anggota komando dalam memerangi pengganas komunis di era 80-an itu akhirnya menggugurkan namanya sebagai sutradara. Perkara itu diketahuinya hanya melalui e-mel yang dihantar KPP pada tanggal 5 Mei lalu.

Kata Fauzi, apa yang dilakukan jelas menampakkan mereka tidak profesional. Ketika ini, dia dan Korie (salah seorang pelakon yang terbabit) sudah ke pejabat peguam untuk membawa masalah ini ketengah.

“Semuanya masih dalam proses perbincangan di antara kami dan peguam. Malah kami mengusulkan ini juga melalui persatuan Seniman. Sehari selepas saya menerima e-mel itu, saya menghantar surat kepada mereka. Bagaimanapun sehingga ke saat ini, saya tidak mendapat maklum balas.

“Selepas dipukul canang untuk mengarahkan filem ini secara lisan, saya sebenarnya masih menanti kenyataan bertulis daripada mereka mengesahkan perkara itu. Malah, penggambaran yang dijadualkan sejak Disember tahun lalu juga sering bertukar tarikh ke satu tarikh. Tapi akhirnya semuanya masih tak menjadi.

“Sepanjang empat bulan menunggu untuk merealisasikan filem ini, produksi lain juga sudah tidak berani menawarkan kerja kepada saya kerana tidak mahu mengganggu komitmen saya terhadap filem ini. Banyak projek yang saya terpaksa tolak dan ia sekali gus menjejaskan pendapatan bulanan saya,” katanya yang dijangka mengarahkan filem perjuangan berjudul Garis-garis Merah pada September depan.

Ironinya filem itu juga turut menyenaraikan Lisdawati sebagai pelakonnya. Tetapi menurut Lisdawati, dia masih menunggu makluman pihak produksi itu.
Katanya, dia sendiri tidak tahu statusnya kini sama ada masih kekal berlakon dalam filem itu atau sebaliknya.

“Sudah beberapa kali penggambaran filem ini dianjak tarikhnya ke satu tarikh. Tapi sampai sekarang masih belum nampak bayangannya. Saya pun tidak pasti, apakah nama saya juga akan terpalit sama digugurkan atau digantikan dengan pelakon lain dek kes yang dialami suami saya dengan produksi itu.

“Saya hanya mampu menunggu dan terus menunggu. Ikutlah angin saya macam mana. Tapi yang jelas dengan apa yang terjadi, produksi ini memang tak profesional,” kata Lisdawati.

Mesin serba guna inovasi anak tempatan


Zuraidi Yaacub mengalih-alihkan kedudukan lemang dan ayam di dalam mesin MTL 01 L bagi membolehkan kedua-duanya dibakar dan masak serentak.


Pernah lihat peniaga ayam percik atau ayam golek dan lemang? Lihatlah bagaimana susah payahnya mereka yang seolah-olah turut sama 'dipanggang' ketika menyediakan makanan kegemaran itu.

Kaedah memanggang secara tradisioanal itu bukan sahaja memerlukan bahan api seperti arang yang banyak, tetapi juga memcemarkan alam sekitar dengan asap dan kotoran yang ditinggalkan.

Susah payah dan penat lelah golongan itu memberi ilham kepada Zuraidi Yaacub untuk mencipta satu alat memanggang yang menjimatkan.

Berpegang kepada prinsip di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan, dia menggunakan bakat yang ada untuk menghasilkan sesuatu yang dapat membantu masyarakat.

Hasilnya, ciptaan itu bukan sahaja cukup membantu dalam kehidupan seharian, ia juga menjimatkan kos, masa dan tenaga bagi para peniaga.

Mesin pembakar serba guna yang dikenali sebagai MTM 01 L juga membuktikan anak tempatan mampu menghasilkan peralatan yang berguna.

Zuraidi yang merupakan Ketua Unit Bengkel Pembaikan Kenderaan, Jabatan Pertanian di Serdang, Selangor berkata, ilham untuk mencipta MTM 01 L selepas melihat masalah yang dialami peniaga ketika hendak membakar ayam, ikan mahu pun lemang.

''Mereka terpaksa berpanas, bersusah payah mendirikan tempat pemanggang tetapi hasilnya agak berkurangan dan tidak berbaloi.

''Malah kita sering lihat mereka membakar makanan tersebut di tepi jalan yang terdedah dengan habuk serta kekotoran," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran mesin tersebut di Serdang baru-baru ini.

Hasil pemerhatian serta daya kreativiti beliau maka MTM 01 L dicipta bagi menyelesaikan masalah yang sering dihadapi oleh para peniaga tersebut.

Jelas Zuraidi, mesin itu yang direka di bawah kelolaan syarikat CrewWork Engineering Constructions Sdn. Bhd. mampu membakar tiga jenis atau lebih masakan sekali gus.

''Kita boleh bakar ayam 24 hingga 30 ekor sekali gus dan pada masa yang sama ia juga boleh membakar 15 batang lemang, serta ikan (bergantung kepada saiz)," katanya.

Diperbuat daripada keluli tahan karat, mesin tersebut juga boleh digunakan untuk membakar kuih tradisional seperti baulu, kuih bakar dan sebagainya.

Ia hanya mengambil masa satu setengah jam untuk memanggang 30 ekor ayam.

Apa yang pasti kos penyediaannya adalah sangat murah iaitu hanya RM1 untuk setiap pembakaran.

Berbanding kaedah biasa yang menggunakan arang, dapur mesin tersebut dipanaskan dengan menggunakan api daripada gas memasak.

Pastinya kos membakar menggunakan arang jauh lebih tinggi berbanding menggunakan gas. Yang paling penting pembakaran adalah tertutup.

Maknanya ia dapat menjamin aspek kebersihan makan yang disediakan.

Kos membina MTM 01 L juga agak murah dan berbaloi dimiliki jika dibandingkan dengan mesin pembakar seumpamanya dipasaran.

Ini kerana, penggunaan motor untuk menggolek ayam adalah ringkas dan mudah diselenggarakan.

Terdapat tiga hingga empat besi menggolek ayam yang diputarkan oleh satu motor manakala satu motor lagi digunakan untuk memutar lemang.

Kedua-dua motor tersebut dijanakan menggunakan elektrik menerusi alat pengubah bagi mengawal kelajuan putarannya.

MTM 01 L didatangkan dengan dua saiz (L dan M) berbeza mengikut kemampuan para peniaga yang ingin mendapatkannya.

Mesin beraiz Lberharga RM9,900 seunit dan pengguna boleh mendapatkannya sebulan selepas tarikh tempahan.

Jelas Zuraidi, mesin ciptaannya juga boleh dibina mengikut kemampuan para peniaga.

"MTM 01 L mampu menghasilkan masakan yang sama kualitinya jika dibakar seperti biasa. Malah boleh dikatakan ia lebih baik daripada mesin yang sedia ada kerana dibuat khas mengikut kesesuaian jenis masakan seperti lemang.

"Sebelum ini saya juga ada mencipta alat pembakar lemang sahaja. Namun ia tidak begitu berkesan kerana jualan lemang hanya akan meningkat ketika musim perayaan," ujarnya.

Justeru, melalui MTM 01 L, jika di luar musim perayaan ia boleh digunakan untuk masakan lain.

Niat, cara perlu praktikal

MELIHAT kembali 'dosa' yang telah kita lakukan memang berat dan sukar untuk ditelan kerana jadam pahitnya. Apatah lagi jika telinga kita nipis ketika menerima kritikan.

Sementara ada yang mengikat perut dek bajet yang ketat, ada juga yang bermewah-mewahan dan melakukan aktiviti yang langsung tidak berfaedah - atau dalam bahasa kasarnya - berpeleseran.

Berbilion ringgit dihabiskan untuk membangunkan keseronokan yang membazir, tetapi pada akhirnya tidak mencapai objektif yang diharapkan. Mewujudkan jawatan dengan gaji dan pangkat yang tidak munasabah dengan kerja, bidang kerja yang entah ke mana dan apa - adalah barah di segelintir sektor mewah milik kerajaan, yang diurus tadbir secara mewah juga - tetapi yang dikutip daripada rakyat.

Inilah yang dikatakan kemudahan kelas pertama, mentaliti kelas ketiga. Dalam kata yang lebih tegas, bagai kera mendapat bunga.

Petronas - serta agensi milik kerajaan 'yang sewaktu dengannya' adalah antara agenda yang diharap dapat bersama-sama membantu membangunkan sektor pendidikan negara ke satu tahap yang lebih tinggi daripada sekarang, bukan semakin merosot dan mengancam masa depan pelajar dengan aktiviti picisan yang berakhir seperti debu atau menuang air di daun keladi.

Perancangan yang cukup lemah, tidak mempunyai objektif yang jelas, tenggelam dan lemas dalam kemewahan, dan gaya hidup segelintir kakitangannya - yang tidak sepatutnya - menjadikan duit ditabur sahaja ke dalam longkang dan dinikmati oleh segelintir umat manusia yang beruntung dan kekenyangan.

Berbelanja untuk berseronok-seronok - makan malam mewah, artis popular, neon bergemerlapan - semuanya dibolehkan, tapi bila hendak melabur dalam pendidikan, maka semuanya mahal, membazir dan tidak ada bajet. Malah segala aktiviti pendidikan diperniagakan dengan memeras duit kerajaan atau pelanggan - seperti pelajar dan sekolah. Wajarkah?

Organisasi yang mengaut untung yang cukup banyak daripada hasil perut bumi di Malaysia itu sepatutnya memulangkan semula kepada anak-anak kita dalam cara yang betul dan ikhlas. Janganlah hanya melabur berapa sen sahaja atas nama tangungjawab sosial korporat (CSR) kerana hendak memperaga jasa.

Banyak perkara yang boleh difikirkan dan ingin dicadangkan di ruangan Perspektif ini, bukan untuk menyakiti hati sesiapa, tetapi sekadar renungan tentang perkara sekecil-kecilnya sehingga kepada yang berat.

Cuba sekali-sekala bila kita melintas di depan sebuah pusat pameran sains di Menara Berkembar Petronas, kita lihat berapa caj yang dikenakan kepada setiap kepala kanak-kanak comel daripada kampung dan pedalaman yang datang dari jauh dan dekat. Kenapa hendak mengambil kesempatan?

Isu pokoknya ialah apakah sebenarnya peranan pusat sains mewah tersebut? Apa yang ada di dalam pusat sains tersebut? Gajet mainan, mendengar celoteh abang dan kakak - atau apa?

Cuba anda melawat ke Pusat Sains Negara di Bukit Kiara. Anda akan melihat seribu satu kekurangan berbanding Pusat Sains di Singapura mahupun di California.

Saya pernah berkunjung di kedua-dua buah pusat sains itu, dan saya melihat kita tidak inovatif dalam mengurus sumber, memanfaatkan peluang, dan tidak pandai menjangka risiko.

Apakah perlunya dua pusat sumber pembelajaran sains (Petrosains dan Pusat Sains Negara) di dalam radius beberapa kilometer?

Saya dan anak-anak tertarik ke Singapura dan California kerana tawaran sains berhibur (science is fun) jauh lebih menarik daripada di Petrosains - yang saya lihat lebih kepada Sains ialah funfair. Pergilah sendiri untuk merasainya. Kenapa pula tidak dikelompokkan sahaja kedua-dua pusat sains ini (Petrosains dan Pusat Sains Negara) atas satu nama supaya Bukit Kiara lebih seronok dikunjungi rakyat?

Untuk menambah keberkesanannya, maka kita boleh meniru inisiatif Pusat Sains California mengadakan sekolah untuk komuniti setempat dengan beberapa pendekatan baru dan sistem persekolahan yang baru. Mungkin boleh difikirkan sebuah sekolah asrama separa swasta yang dibiayai oleh Petrosains yang kaya itu. - khusus untuk pelajar miskin luar bandar yang prodigy. Mungkin ini satu lagi showcase pendidikan negara yang unik. Sebuah sekolah di dalam Pusat Sains Negara.

Sebelum segelintir pihak terus berbelanja mewah dan menghabskan duit rakyat, sesuatu mesti dilakukan. Kita mungkin tidak bankap, tetapi kita diajar oleh guru di sekolah bahawa sikap boros ialah sahabat syaitan.

Jerayawara pembestarian sekolah di Kuantan


PESERTA Jerayawara peringkat negeri Pahang bergambar selepas mengikuti program itu di SMK Rahman Talib, baru-baru ini.


PROGRAM jelajah program pembestarian sekolah atau Jerayawara diteruskan selepas program sulung di Pulau Pinang, kali ini di Kuantan Pahang, dengan Sekolah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib menjadi tuan rumahnya.

Jerayawara merupakan inisiatif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang program pembestarian sekolah, dan bagaimana mereka boleh berperanan membantu pihak sekolah mencapai hasrat yang murni itu. Program turut dianjurkan Kementerian Pelajaran Malaysia, dengan Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi program.

Program pada kali ini mendapat sambutan daripada ibu bapa, yang menerima dan memberi input tentang pembestarian di sekolah anak masing-masing, selain pentadbir sekolah dan guru yang mendapat input tentang konsep asas pengurusan dan pentadbiran abad ke-21 dan amalan integrasi menggunakan medium yang diperolehi daripada gelanggang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Program dikendalikan oleh Penasihat Portal Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain, yang juga pensyarah kanan di Institut Perguruan Ipoh, Perak dan pegawai dari Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang.

Program dihadiri juga oleh guru penyelaras ICT dan guru media.

Objektif kepada Jerayawara pada kali ini adalah seperti berikut:

1. Membina kesedaran tentang kesan pelaksanaan program pembestarian seeolah kepada masyarakat awam.

2. Mempercepatkan pelaksanaan model gandaan secara eksponen dalam usaha pembestarian sekolah.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang Jerayawara adalah seperti berikut:

1. Taklimat tentang Piawaian Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS) dan menjadikan semua sekolah bestari. Taklimat bagi sesi ini disampaikan oleh pegawai dari Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang.

Taklimat memberi penekanan kepada perkara berikut:

1. Sejarah gagasan mercu tanda Sekolah Bestari

2. Melaporkan perkembangan terkini tentang kemudahan ICT yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran serta pelaksanaan program di sekolah sebagai menyokong usaha pembestarian sekolah.

3. Tentang SSQS sebagai alat pemantauan untuk mengukur guna pakai ICT di sekolah.

4. Mengemas kini keputusan rating sekolah di bawah program pembestarian di Pahang.

2) Taklimat pembudayaan pembestrian sekolah

Sesi ini dikendalikan oleh Dr. Ismail. Bengkel dan ceramah berfokus kepada isu semasa dan cabaran, sudut pandang kemahiran abad ke-21, pengurusan sekolah bestari dan aktiviti pintar dalam pengajaran dan pembelajaran.

JPNIN lancar kempen satu poskad satu pelajar di sekolah


T. Murugiah melawat gerai pameran pada majlis sambutan Minggu Sambutan Perpaduan peringkat negeri di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 30 Mei - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan melancarkan kempen satu poskad satu pelajar melalui Kelab Rukun Negara di sekolah-sekolah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah berkata, kempen itu akan menggalakkan pelajar menambah kenalan di luar dari negeri mereka tinggal.

Sebagai sokongan, katanya, setiap kelab di sekolah rendah dan menengah yang berminat akan diberikan sumbangan RM1,000 untuk menggerakkan pelajar menulis poskad masing-masing dan diserahkan kepada pihak kelab.

''Melalui poskad itu, generasi muda akan mengenali teman-teman baru yang berbeza agama, kaum dan budaya misalnya di kalangan masyarakat di Sabah seterusnya memahami nilai-nilai persahabatan di antara mereka.

''Justeru matlamat kempen untuk melahirkan masyarakat yang saling mengenali rakan-rakan dari negeri lain yang berbeza latar belakang dan budaya akan tercapai seterusnya mewujudkan perasaan saling hormat- menghormati satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Sambutan Perpaduan anjuran JPNIN dengan kerjasama Balai Seni Lukis Negara (BSLN) di Dewan Putra Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Harun dan Pengerusi BSLN, Datuk Rozali Isohak.

Sementara itu, Murugiah melahirkan rasa bangga dengan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kelantan yang berjaya memenangi lima daripada tujuh kategori Anugerah Kualiti Rukun Tetangga anjuran jabatan tersebut di peringkat kebangsaan baru-baru ini.

''Buat masa ini, SRS Kelantan paling aktif berbanding negeri-negeri lain dan berjaya membantu pihak polis menurunkan kadar jenayah sebanyak 30 peratus.

''Ahli berdaftar kini 22,000 orang daripada 277 buah SRS yang ada di negeri ini dan kejayaan itu menunjukkan kesungguhan masyarakat membanteras jenayah tanpa penggantungan sepenuhnya pada pihak berkuasa," katanya.

Murugiah menambah, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penglibatan orang ramai yang berminat menjadi ahli SRS.

Katanya, ahli SRS yang baru akan dibekalkan dengan peralatan seperti radio, kayu cota dan lampu suluh untuk membantu mereka melakukan rondaan.

Perlindungan untuk gajet mudah alih




PENINGKATAN kadar jenayah siber hari ini telah mengundang pelbagai masalah kepada pengguna Internet sama ada menerusi medium komputer statik mahupun gajet mobiliti.

Antara yang sering dihadapi adalah seperti pencerobohan kandungan dan kehilangan data.

Sememangnya terdapat banyak perisian anti virus perlindungan komputer dijual di pasaran.

Namun, untuk fungsi keselamatan pada gajet mudah alih seperti telefon bimbit pula, ia belum dilaksanakan secara meluas.

Melihat kepada keperluan itu, syarikat global bagi penyelesaian keselamatan simpanan dan pengurusan sistem komputer, Symantec telah memperkenalkan perisian Norton 360 semua dalam satu.

Selain fungsi keselamatan dan capaian fail mudah secara dalam talian, perisian tersebut juga sesuai diaplikasikan untuk telefon bimbit android, iPad dan juga iPhone.

Untuk memastikan pengguna sentiasa dilindungi, perisian berkenaan didatangkan dengan teknologi beta sekuriti terkini iaitu sistem sokongan data jarak jauh.

Ia turut merangkumi perlindungan serangan menerusi pelayaran web serta laman rangkaian sosial.

Aplikasi teknologi yang boleh dimuat turun secara mudah itu bakal memberi perlindungan kepada dokumen, muzik, foto dan video yang disimpan di dalam peranti.

Menarik mengenai Norton 360, ia membenarkan pengguna mencapai storan secara dalam talian sama ada secara pelayaran web, memuat turun atau emel.

Menurut Pengurus Pasaran Produk Pengguna Symantec Asia Pacifik, David Hall, perkhidmatan itu akan memudahkan pengguna mengakses dokumen yang diinginkan secara mobiliti pada bila-bila masa.

''Dengan cara itu juga, pengguna akan dapat berinteraksi dengan rangkaian laman web sosial dengan lebih selamat,'' katanya.

Teknologi Norton 360 turut didatangkan dengan fungsi peningkatan prestasi komputer serta dapat menjimatkan masa.

Di samping itu, melalui aplikasi Smart Start-up pula, sesebuah aplikasi akan dapat dijalankan dengan mudah tanpa sebarang gangguan.

Perisian versi 4.0 tersebut turut menyokong penggunaan bersama sistem operasi Microsoft XP, Windows Vista dan juga Windows 7.

Norton 360 edisi biasa dijual pada harga RM229 untuk tiga pengguna dan RM119 untuk seorang pengguna termasuk ruang storan dalam talian dua gigabit (GB).

Untuk edisi premium pula, harga pasaran yang ditawarkan adalah RM279 dengan kapasiti storan 25GB.

Maklumat lanjut mengenai perisian itu boleh diperolehi daripada laman http://updatecenter.norton.com.

Sanyo hasil produk mesra alam


Sistem fotovoltaik keluaran Sanyo yang digunakan untuk mengecas bateri telefon atau kamera.


PELBAGAI barangan terkini keluaran Sanyo Electric Co. Ltd (Sanyo) dipamerkan semasa Persidangan Produk Asia Pasifik yang diadakan di Sentosa, Singapura baru-baru ini.

Persidangan berkenaan mempamerkan hampir semua produk dan sistem Sanyo yang kebanyakannya telah menerima anugerah antarabangsa kerana reka bentuk dan persembahan.

Ini termasuk sistem tenaga pintar (SES), kelengkapan rumah dan penyelesaian digital mewakili Sanyo dalam tiga domain utama iaitu tenaga, ekologi dan elektronik.

Ketua Pegawai Serantau Asia Pasifik Sanyo, Yoshinori Nakatani berkata, Sanyo memulakan dengan bisnes penyelesaian tenaga pada 2009 dan telah membawa kepada peningkatan dalam kesedaran jenama dan jualan.

Sanyo telah bekerjasama dengan kedai serbaguna di Thailand menggunakan kamera litar tertutup, alat hawa dingin dan pameran.

"Sanyo kemudian melangkah maju menjadi peneraju dalam aplikasi penjimatan tenaga, alam sekitar dan gaya hidup, Sanyo akan terus mengembangkan bisnes penyelesaian tenaga bagi mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2)," katanya.

Selain itu Sanyo juga akan mengaplikasikan kemudahannya itu dalam pelbagai bangunan seperti kilang, sekolah, kedai dan rumah di rantau Asia.

Pembangunan ekonomi di rantau berkenaan menyebabkan peningkatan bilangan kedai, pasar raya, pejabat dan kilang.

Beliau menambah, kesedaran dalam isu alam sekitar Sanyo akan memberikan penekanan kepada perniagaan berkaitan tenaga dalam alam sekitar.

"Sebagai satu inisiatif bagi mendapatkan masyarakat dengan tenaga bersih, Sanyo akan meluaskan bisnes solar di Singapura dan rantau Asia Pasifik," katanya.

Januari lalu, sistem fotovoltaik terbesar di Singapura menggunakan modul solar heterojunction with intrinsic thin layer (HIT) telah digunakan di Universal Studio, Singapura.

Ia telah diiktiraf sebagai hub bagi perkongsian maklumat dan dilihat sebagai barisan depan dalam eko teknologi dan inisiatif.

Ini telah memberikan peluang kepada Sanyo untuk mempamerkan projek berkenaan sebagai yang pertama di rantau Asia Pasifik.

Pada April lalu, Sanyo telah mula memasarkan panel HIT ke Malaysia, Thailand dan India manakala lampu solar LED pada Julai depan.

Sanyo juga akan menggunakan teknologi canggih dan mencipta produk khusus bagi keperluan penduduk di Asia Pasifik, memberikan penekanan bagi memastikan produknya akan mendapat permintaan menggalakkan.

"Rantau Asia Pasifik merupakan antara yang pasaran penting bagi Sanyo dan kami akan berterusan menghasilkan produk tenaga dan alam sekitar bagi memenuhi kehendak pasaran," katanya.

Pentingnya biokeselamatan sektor perikanan


Kerjasama daripada pengusaha industri perikanan dan kerajaan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.


Permintaan terhadap produk makanan yang berkualiti tinggi, mesra alam dan selamat menjadi isu yang hangat diperkatakan kini.

Isu tersebut sekali gus menggalakkan industri sektor perikanan meningkatkan teknologi akuakultur dan sistem pengurusannya agar lebih bersih dan selamat.

Ia juga selaras dengan kesedaran umum yang semakin meningkat di kalangan masyarakat negara ini terhadap keselamatan makanan.

Seiring dengan peningkatan teknologi serta kesedaran yang mendalam di kalangan pengusaha dalam mengeluarkan produk, kini permintaan terhadap hasil perikanan turut meningkat saban tahun.

Menyedari akan kepentingan mengenai isu keselamatan makanan termasuk akuakultur,

Persatuan Perikanan Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menganjurkan Seminar Penyakit Ikan Bersirip bertujuan meningkatkan pengetahuan di kalangan pengusaha dan pengguna mengenai isu tersebut.

Pengerusi seminar terbabit, Prof. Madya Dr. Hassan Mohd. Daud berkata, pada 2008 penghasilan ikan ternakan seperti siakap, kerapu dan jenahak berjumlah hampir 16, 000 tan.

''Manakala bagi ternakan ikan tilapia, keli dan pelbagai lagi jenis ikan air tawar turut mencecah 100,000 tan.

''Oleh itu, kebersihan serta ancaman penyakit terhadap ikan ternakan amat dititik beratkan kini," ujarnya ketika ditemui di Seminar Penyakit Ikan Bersirip di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau yang juga pensyarah di Unit Kesihatan Haiwan Akuatik, Fakulti Kedoktoran Veterinar UPM berkata, kesan penyakit yang tidak dapat dibendung mampu melumpuhkan industri perikanan.

Malah, masalah tersebut juga turut memberi implikasi negatif terhadap pengguna yang saban hari menjadikan ikan sebagai sumber makan utama di negara ini.

Serangan penyakit

Sejak berabad yang lalu, penternakan ikan kolam di sekitar kawasan pantai mahupun air tawar sering berhadapan dengan serangan penyakit yang pastinya merugikan penternak.

Ketua Unit Perdagangan dan Pelaburan, Jabatan Perikanan, Dr. Marzuki Hashim berkata, seminar itu bertujuan memberi maklumat yang tepat kepada pengusaha berkenaan jenis-jenis penyakit ikan.

''Selain itu, kita juga dapat menerangkan kepada pengusaha bahawa mereka perlu memastikan ternakan sentiasa bersih agar produktiviti akan terus meningkat.

"Bersih dalam erti kata lain termasuklah daripada sumber pemakanan ikan ternakan dan pengurusan kolam yang bebas daripada penyakit," ujarnya.

Terdapat sesetengah penternak gemar mencari jalan mudah dengan menggunakan bahan buangan terutama dari pusat-pusat penyembelihan sebagai makanan kepada ikan untuk menjimatkan kos.

Hasilnya bukan sahaja mereka mengalami kerugian malah memberikan imej yang buruk kepada penternak yang lain.

Sekiranya punca makanan ikan tidak bersih ia juga bakal mengundang pelbagai penyakit kerana diet pemakanan yang tidak seimbang dan tepat akan mengurangkan daya ketahanan ikan melawan penyakit.

Jelas Marzuki, sebagai usaha membendung kejadian tersebut berlaku, pihaknya kini turut mengeluarkan sijil perakuan kebersihan terhadap penternak ikan.

Setelah menerima sijil tersebut, segala pengurusan kawasan serta kebersihan penternakan ikan akan pantau oleh kerajaan dari masa ke semasa.

Ia sekali gus dapat menjamin sumber ikan yang bersih kepada pengguna.

Seminar tersebut turut membincangkan masalah yang dihadapi oleh penternak seperti kekurangan sumber benih, keadaan persekitaran yang sesuai untuk sektor penternakan ikan.

Selain itu para penternak yang menyertainya turut didedahkan terhadap teknik pengurusan pemakanan, turun naik harga ikan dipasaran dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka dimasa hadapan.

Walaupun sektor penternakan ikan bersirip di negara ini mengalami pelbagai halangan serta masalah namun perniagaan tersebut tetap membawa keuntungan yang berlipat kali ganda kepada pengusahanya.

Sementara itu menurut Presiden Persatuan Perikanan Malaysia, Dr. Annie Christianus, pihaknya berharap seminar tersebut memberi peluang kepada peserta berkongsi maklumat terkini mengenai isu penjagaan ikan yang baik untuk membendung masalah penyakit.

''Ia juga dapat mengenal pasti penyakit yang banyak mengakibatkan kematian ikan dan seterusnya menyebabkan kerugian dalam industri akuakultur,'' katanya.

Mahu eksport kerisik ke pasaran dunia


KERISIK yang telah siap dimasak sebelum menjalani proses pembungkusan.


MEMEGANG kata-kata semangat Arab, 'sujaah' yang bermaksud keberanian, anak muda berusia 25 tahun ini tidak pernah gentar mengharungi suka-duka dunia perniagaan.

Malah, bagi Abdul Latif Othman, pengalaman menceburi bidang tersebut sejak berumur 15 tahun banyak membantunya memahami cabaran sebagai seorang usahawan.

"Saya memang minat berniaga dan menjadikan prinsip hidup berani mengambil risiko sebagai pendorong untuk berjaya dalam bidang ini.

"Peringkat awal pendedahan diterima daripada ayah ketika membantunya mengusahakan perniagaan kerisik,'' katanya ketika ditemui pada lawatan media anjuran Agrobank di Kampung Laneh, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Sebaik tamat sekolah menengah, anak sulung daripada 10 beradik itu menyambung pengajian Diploma Syariah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Ipoh, Perak.

Dia kemudiannya mendapat tawaran meneruskan pengajian Ijazah Syariah Undang-Undang di Mesir tetapi mengambil keputusan untuk menangguhkannya kerana ingin memberi fokus kepada perniagaan.

Dengan bermodalkan wang hasil simpanannya, Abdul Latif telah membuka kilang memproses kerisik di Kuala Kangsar selepas menamatkan pengajian diplomanya.

Pada tahun 2008 pula, dia telah membuat pinjaman bernilai RM50,000 daripada Agrobank sebagai usaha memperkembangkan operasi kilang.

Kini, dia boleh menghela nafas lega kerana syarikatnya yang dibangunkan menerusi penjenamaan Sujaah Enterprise telah mempunyai beberapa cawangan di Ipoh dan juga di Bagan Datoh, Perak.

Untuk memastikan produk kerisiknya mempunyai kualiti yang baik, sedap dan wangi, dia telah mempelajari teknik memasak makanan itu daripada bapanya.

"Memang ramai orang tahu buat kerisik, tetapi tidak semua mengikut cara yang betul.

"Sebenarnya, kelapa tua sangat sesuai digunakan untuk menghasilkan kerisik selain perlu dicampur dengan kelapa muda bagi mengeluarkan bau wangi,'' jelas bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Abdul Latif memberitahu, penetapan tempoh memasak itu adalah berdasarkan permintaan pelanggan.

"Tempoh ini akan menentukan warna kerisik kerana lebih lama ia dimasak, warnanya akan menjadi lebih gelap mengikut kadar pecahan minyak.

"Ia sesuai digunakan dalam penyediaan hidangan seperti rendang, kari, kerabu dan inti roti,'' katanya.

Kerisik yang telah siap dimasak akan dipek dalam bungkusan kemas dengan pilihan berat 100 gram, setengah kilogram (kg) dan satu kg.

Bagi mengurangkan bahan buangan kilangnya, dia mengambil langkah membakar tempurung kelapa yang tidak digunakan untuk membentuk kiub arang sebelum dijual kepada syarikat yang memerlukannya.

Dengan kapasiti enam orang pekerja, syarikatnya mampu mengeluarkan enam tan kerisik dalam masa sebulan dengan penggunaan 400 biji kelapa sehari.

Mengenai sumber bahan mentah pula, 10 peratus bekalan kelapa diperoleh daripada Indonesia manakala selebihnya dia bersama ayahnya memajak kebun kelapa seluas 30 ekar di Kuala Kangsar bagi mengurangkan kos pengeluaran.

Kebanyakan kerisik keluaran syarikatnya akan dipasarkan ke seluruh kawasan Semenanjung termasuk jualan secara borong kepada pasar raya besar. Harganya pula adalah sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram.

"Pada masa depan, saya memang berhasrat untuk memperluaskan pasaran kerisik ini ke peringkat global pula,'' jelasnya yang mendapat sokongan penuh daripada isteri serta keluarga untuk terlibat dalam bisnes tersebut.

Selain bantuan input daripada ayahnya, Abdul Latif turut mendapat bimbingan perniagaan daripada beberapa jabatan agensi seperti Jabatan Pertanian, Mara dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Produk-produk keluarannya turut dipromosikan melalui penyertaan pameran serta ekspo seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Untuk memperluaskan lagi perniagaannya, dia turut menghasilkan pelbagai produk kosmetik dan kesihatan berasaskan buah kelapa dara gred A seperti sabun, minyak rambut, minyak urut, jeli kelapa, nata de coco dan sebagainya.

Tidak terhenti setakat itu, beliau ketika ini merancang untuk membuka kilang menghasilkan santan segar pula.

"Menerusi perluasan operasi ini, saya ingin buktikan bahawa belia juga mampu bersaing dalam dunia perniagaan kerana peluang ada di mana-mana,'' ujarnya.

HMM setaraf Hollywood


SALAH satu adegan filem Hikayat Merong Mahawangsa yang bakal ditayangkan pada bulan Februari tahun depan.


KRU Studios sememangnya mahu menjadikan filem terbaru mereka, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) sebagai produk yang disegani di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bukan sahaja dari segi penceritaan filem itu, tetapi aspek teknikal juga amat dititikberatkan oleh KRU Studios dalam memastikan HMM setaraf filem antarabangsa.

Justeru, apabila KRU Studios menjalinkan kerjasama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) untuk menghasilkan penataan muzik bagi HMM, ia bukanlah perkara yang menghairankan.

Apatah lagi, dengan semangat dan iltizam yang mahu melihat filem ini berjaya apabila ditayangkan tahun depan, sememangnya wajar untuk HMM menerima sentuhan terbaik daripada MPO.

Bagi Presiden KRU Studios merangkap Penerbit Eksekutif HMM, Norman Abdul Halim, kerjasama yang terjalin antara pihaknya dengan MPO diharap dapat membuka ruang kepada pembikin filem tempatan untuk memberikan kualiti dari segi muzik untuk sesebuah filem.

Menurut Norman, KRU Studios memang sejak dari awal lagi mahu menggunakan khidmat dan kepakaran MPO dalam memberikan magis kepada muzik latar HMM.

Dengan status MPO sebagai salah sebuah kumpulan orkestra terbaik di rantau Asia, Norman melihat kredibiliti MPO mampu mewarnai HMM dengan muzik mereka yang bertaraf dunia itu.

"Apabila kami membentangkan cadangan kepada MPO, mereka melihatnya sebagai perkara yang positif.

"Sesuai dengan pelaburan dan kualiti tinggi yang dipersembahkan menerusi HMM, maka itu kami juga mahu hasilkan perkara serupa dari aspek skor muzik untuk filem ini," katanya dalam nada optimis.

Norman ditemui pada sidang akhbar pengumuman kerjasama KRU Studios dan MPO bagi penataan muzik HMM yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPO, Karina Ridzuan; pengarah filem HMM, Yusry Abdul Halim dan adiknya, Edry Abdul Halim.

Pada majlis itu juga, Norman turut mengumumkan pemilihan penyanyi lelaki ternama negara, Anuar Zain yang akan menyampaikan lagu tema HMM yang berjudul Sedetik Lebih.

Skor muzik asal HMM telah dihasilkan dua komposer muda yang berkhidmat di KRU Studios iaitu Reza Ramsey dan Yudi Ashadi.

Sebaik siap skor berkenaan, karya yang dihasilkan itu dipersembahkan kepada MPO yang kemudiannya menyerahkan tugas menggubah muzik dalam bentuk orkestra kepada Ahmad Muriz Che Rose dan Vivian Chua.

Bukan soal wang ringgit

Seterusnya, di bawah seliaan pengarah muzik MPO, Claus Peter Flor, proses rakaman skor muzik HMM dijalankan selama tiga hari berturut-turut di DFP bermula 23 Mac lalu.

Penghasilan skor muzik tersebut menyaksikan penglibatan seramai 105 orang pemuzik profesional yang berkhidmat bersama MPO.

Berbicara tentang soal kos pula, Norman memberitahu, sememangnya peruntukan itu telah ada sebaik sahaja projek HMM bermula.

Tetapi katanya, projek HMM bersama MPO semuanya mengikut kemampuan dan juga bajet yang telah diperuntukkan.

"Kerjasama ini bukan soal wang ringgit tetapi usaha KRU Studios dan MPO untuk memartabatkan sekali gus meletakkan filem tempatan di peta perfileman dunia.

"Biarpun kami bekerja berdasarkan apa yang telah disediakan, namun kami tidak berkompromi soal kualiti kerana kami percaya dengan hasil kerja MPO yang tidak mengecewakan," ujar Norman sambil memberitahu album skor muzik HMM akan dipasarkan serentak dengan tayangan filem itu nanti.

Sementara itu, Karina pula menjelaskan, pihaknya tidak menunggu lama untuk bersetuju menjalin kerjasama dengan KRU Studios.

Katanya, pihaknya yakin dengan HMM yang disifatkannya sebagai filem yang berkualiti dan kerana itu MPO tidak teragak-agak untuk menyumbangkan tenaga kreatif bagi filem tersebut.

"Sewaktu Norman datang berjumpa dengan saya tahun lalu dan menceritakan tentang HMM, saya merasakan ia sebuah projek yang cukup menarik.

"Apatah lagi, MPO belum pernah menjalin kerjasama seperti ini. Kami berpendapat, inilah masa terbaik untuk berbuat demikian.

"Jika ada penerbit filem lain yang mahu bekerjasama dengan kami selepas ini, kami tidak akan menolaknya dengan syarat ia merupakan produk yang berkualiti.

"Kami mahu filem dan muzik kami bergerak seiring dalam memberikan hasil kualiti serta kepuasan kepada audiens," ujar Karina memberikan hujahnya.

Melihat kepada kerjasama sulung itu, adakah ini bermakna selepas ini KRU Studios akan terus menggunakan khidmat MPO untuk menghasilkan skor muzik filem-filem mereka akan datang?

Menjawab persoalan itu, Norman tidak menolak kemungkinan itu tetapi jelasnya, semuanya perlu diselarikan dengan konsep mahupun tema sesebuah filem yang mereka hasilkan.

"Kami merancang untuk menerbitkan filem bercorak aksi dan epik seperti HMM sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh lima tahun.

"Jadi, siapa tahu selepas ini kalau KRU Studios terbitkan lagi filem-filem sebegini, kami pastinya mahu menjalinkan kerjasama dengan MPO sekali lagi," kata Norman yang menjangkakan HMM akan ditayangkan pada bulan Februari tahun depan.

Nostalgia indah Fatimah Yassin


WAJAH terbaru Fatimah Yassin.


SEJARAH tidak boleh diubah. Sejarah akan terus kekal buat selama-lamanya. Kerana sejarah jugalah membuatkan penulis terpanggil untuk menyelak nostalgia silam seorang personaliti yang pernah memainkan peranan penting dalam kehidupan sebahagian besar kaum ibu di negara ini.

Semuanya bermula sekitar tahun 1974 apabila stesen radio RTM memperkenalkan segmen drama radio 15 minit.

Drama yang dimaksudkan ialah Nombor 5 Persiaran Satu menerusi Rangkaian Nasional.

Kalau RTM yang memulakannya pastinya ia mencatat sejarah. Drama berkenaan mencatat sejarah kerana bersiaran selama 13 tahun di stesen radio berkenaan.

Selama tempoh itu juga, suara Fatimah Yassin menemani kaum ibu pada setiap pagi.

Bukan saja kaum ibu, bahkan ramai juga kaum bapa yang menjadikan drama Nombor 5 Persiaran Satu sebagai siaran wajib dengar!

Selain Fatimah, drama berkenaan turut menampilkan Atan Wahab, Zuraida Musib (Amiza), Che Om Dahari (Amran) dan Amir.

Diingatan mereka yang setia dengan drama radio berkenaan, pasti tidak akan mudah melupakan dialog yang cukup sinonim dengan drama itu iaitu: "Di mana Rumah Nombor 5, Persiaran Satu?"...."Oh rumah kembar dua tingkat tu? Di belakang masjid, di depannya mini market."

Sehingga kini, penangan Nombor 5 Persiaran Satu yang begitu menitik beratkan tema kekeluargaan tidak dapat diatasi oleh mana-mana karya.

Di samping menekankan nilai-nilai murni dalam membentuk keluarga bahagia, drama tersebut juga banyak menjentik nasihat dan motivasi kepada para pelajar yang kecewa untuk terus belajar.

Kepada peminat setia drama itu, andai sehari tidak mendengarnya kisah keluarga bahagia Encik Aman (Atan Wahab) dan Cik Yam (Fatimah Yassin), ia seperti tidak lengkap kehidupan harian suri rumah.

Nombor 5 Persiaran Satu ke udara pukul 9 pagi lima hari seminggu mulai hari Isnin hingga Jumaat dan diterbitkan oleh Mahani Ujang, Norela Samad dan Ishak.

Kini setelah 23 tahun berlalu, pendokong utama drama berkenaan, Fatimah yang membawa watak Cik Yam bukan sahaja rindukan 'keluarga' dalam drama itu bahkan tidak pernah menyangka dia masih dikenali setiap kali muncul di khalayak.

Bukan itu sahaja, malah ada kaum ibu yang seusianya tidak segan silu memanggilnya Cik Yam jika terserempak di mana sahaja.

"Saya pun tak sangka masih ada yang kenal saya. Kalau nak dibandingkan drama radio dan televisyen, mestilah televisyen lebih glamor. Tetapi ketika itu drama Nombor 5 Persiaran Satu memang popular.

"Drama itu bukan sahaja telah mendekatkan kami para pelakon dengan pendengar malah sejak itu saya juga mula mendapat tawaran berlakon drama televisyen dan filem," kata wanita yang sudah mencapai usia 71 tahun dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur minggu lalu.

Mengimbas sejarah pembabitan Fatimah dalam gelanggang seni, balu kepada Allahyarham Kamaruddin Ahmad dan ibu kepada dua orang anak Nordiba Akmal, 40, dan Ahmad Fazwan, 38, itu menceburi bidang lakonan ketika berusia belasan tahun di Singapura.

Dramatis berasal dari Chencery Land, Singapura (sekampung dengan aktres Rubiah Suparman) itu mula mencipta nama sebagai pelakon dalam drama pentas Ribut yang diadaptasi dari drama Cina, Thunderstorm pada tahun 1960-an.

Ribut bukan sahaja mencatat drama paling panjang yang pernah dipentaskan di Victoria Theatre Singapura iaitu selama empat jam, malah dipentaskan tanpa henti dan pernah dipentaskan di DBKL yang dibawa oleh MCA pada era yang sama.

Ribut yang dilakonkan oleh Allahyarham Salim Bachik, Maniseh Haji Sirat, Zana Ismail, Atan Wahab memberi peluang Fatimah membawakan watak utama sebagai May Fan.

Menurut Fatimah, semasa di Singapura. sebelum berlakon drama pentas dia harus berlakon tablo (berlakon menggunakan gerak bibir) untuk mengukur kemampuan dan selain memastikan kemahiran seseorang dalam bidang lakonan.

"Saya masih ingat lagi, pada tahun 1958 sebelum berlakon drama pentas saya diwajibkan berlakon tablo iaitu kita berlakon tetapi dialog diucapkan oleh orang lain.

"Sebagai pelakon gerak bibir kita mesti selari dengan dialog yang diucapkan oleh pelakon lain di belakang pentas. Nampak macam senang, hakikatnya sangat susah. Ia saling tidak ubah seperti penyanyi miming ketika di pentas," cerita Fatimah sambil ketawa.

Setelah menunjukkan kemampuan dalam tablo barulah Fatimah berpeluang berlakon Ribut.

Selain Ribut, Fatimah telah berlakon lebih 100 drama di Radio Televisyen Singapura yang kebanyakannya diarahkan oleh Allahyarham Zain Mahmud.

Barangkali juga, ramai yang tidak tahu, sebelum aktif berlakon teater dan drama, Fatimah merupakan seorang guru bahasa Melayu di Sekolah Convent of The Holy Infant Jesus, Singapura (1954 -1957).

Ketika itu, dia harus membahagikan waktu siang mengajar dan sebelah petang pula terpaksa mengikuti pengajian bahasa Melayu di Teacher's Training College untuk melengkapkan dirinya menjadi guru bahasa Melayu bertauliah.

"Waktu malam pula saya berlatih berlakon teater bersama Persatuan Sriwana yang memang cukup popular di Singapura.

"Ketika itu, kami memang tidak dibayar walau sesen kerana tujuan pementasan adalah untuk amal dan persatuan. Tetapi kami rasa seronok dapat menyumbangkan tenaga untuk persatuan walaupun upahnya hanya nasi bungkus dan makan sate di Beach Road," katanya menyelak kembali lembaran sejarah silam kerjaya seninya.

Bagaimanapun, kata Fatimah, setelah mencipta nama di Singapura, dia kemudiannya nekad meninggalkan Singapura pada akhir tahun 1966 selepas mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham suaminya.

Penghijrahan wanita ini ke Kuala Lumpur membuka ruang yang lebih luas kepadanya untuk melebarkan sayap seninya.

Atap Genting Atap Rumbia arahan Allahyarham Roslee Jalil merupakan drama pentas pertama lakonannya yang dibawa terus ke kaca televisyen.

Menyusul selepas itu, satu demi satu drama televisyen yang dilakonkan antaranya PJ Holdings, Rempah Ribu dan Idaman yang mencecah hingga ratusan episod.

Walaupun dalam drama itu, Fatimah dibayar gaji bulanan sebanyak RM10,000 namun PJ Holdings terbitan RTM benar-benar meletakkan mercu tanda dalam sejarah penglibatannya dalam bidang lakonan.

Drama PJ Holdings yang lahir di tengah-tengah kegilaan penonton Melayu mengikuti drama bersiri Hollywood, Dallas membuatkan mereka yang terlibat dalam drama itu diletakkan dalam standard yang tersendiri.

Selain Fatimah, PJ Holings drama Melayu ala siri Dallas turut dilakonkan oleh Osman Zailani, Datuk Aziz Singah, Datuk Yusof Haslam, Azmil Mustafa dan Melissa Saila.

Menurut Fatimah, selain sibuk di lokasi penggambaran drama dia juga tidak terkecuali daripada tugasnya sebagai juruhebah (deejay) FM Stereo yang cukup popular dengan rancangan Oldies, Melodi Indah, Sound Of Strings dan Rampai Selera pada tahun 1970-an.

Kemudian pada tahun 1990-an, Fatimah berhijrah ke Rangkaian Nasional sehinggalah bersara pada tahun 1999.

Fatimah juga berbakat dalam bidang penulisan.

Buku Wanita Ideal hasil tulisan Fatimah Yassin yang diterbitkan pada tahun 1980-an memberi panduan adab sopan ketika di meja makan majlis-majlis khas terutama kepada kaum wanita.

Buku yang pernah diulang cetak beberapa kali sehingga tahun 2003 dikatakan telah terjual lebih daripada 10,000 naskah.

Kini, setelah bersara selain duduk di rumah bermanja dengan tiga orang cucu-cucunya ; Arif Iskandar, 9, Aiman Majid, 6, dan Nurfateha, 3, Fatimah lebih banyak menumpukan perhatian pada kerja-kerja amal dan belajar mengaji dengan Datuk Julie Sudiro.

Menyentuh mengenai impiannya kini, Fatimah yang akan muncul dengan buku Tribute To Fatimah hasil nukilan kawan baiknya berkata: "Memang dalam usia sekarang saya tidak larat berlakon lagi. Saya seronok dapat membuat amal untuk pertubuhan ibu-ibu tunggal.

"Tetapi saya tidak akan menolak andai Nombor 5 Persiaran Satu akan diterbitkan semula demi untuk para pendengar radio.

"Drama ini mempunyai nilai sentimental yang tersendiri dan saya tidak dapat bayangkan betapa sayunya hati tatkala melihat air mata Norela Samad menitik satu demi satu tatkala drama itu dihentikan," katanya yang cuba menyembunyikan air mata daripada jatuh berlinang sebelum kami menoktahkan perbualan tempoh hari.

Anne hilang kain untuk bersanding


ANNE dan Nik berbeza perangai tapi serasi.


ALAM meniti hari-hari untuk bergelar seorang isteri, setiap wanita pasti berdebar-debar dengan segala persiapan yang dirancang. Pastinya, kaum wanita yang akan lebih sibuk dari pasangan mereka merencanakan perjalanan hari bahagia mereka agar ia kelihatan sempurna.

Merancang tema perkahwinan, busana yang akan dipakai pada hari diijabkabulkan, hiasan hantaran, bunga apa yang menghiasi meja tetamu, aturcara majlis, semuanya halus diteliti oleh bakal pengantin agar tiada cacat-cela.

Sama sahaja buat wanita bertubuh genit ini. Anne yang merupakan salah seorang penyampai radio Hot FM sibuk kini sibuk menjadi perancang perkahwinan buat dirinya sendiri.

Bercerita tentang persiapan menuju ke gerbang perkahwinannya yang tinggal kurang dua minggu lagi, imbas pemilik nama Putri Andreanna Syigim Mohd. Razalli, 29, ini pelbagai ujian dan dugaan yang melanda dirinya.

Paling kalut, Anne kehilangan kain untuk busana majlis persandingannya yang dibelinya di Indonesia.

Kejadian itu berlaku akhir tahun lalu ketika dia dan saudara-maranya bercuti di Indonesia.

"Saya jatuh cinta dengan kain ela yang saya temui di sana. Saya terus dapat bayangkan diri saya memakai busana yang indah daripada kain itu ketika majlis saya nanti.

"Tetapi malangnya, beg yang dipenuhi kain ela yang dibeli di sana untuk saya dan sepupu-sepupu saya yang ditugaskan sebagai pengiring saya nanti hilang begitu sahaja apabila mendarat di Kuala Lumpur," katanya yang mengakui sangat sedih mengenangkan insiden itu.

Lantaran terlalu meminati kain berkenaan, Anne meminta bantuan ibu saudaranya yang kebetulan ke sana untuk membeli kain yang sama.

"Sifat saya memang begini. Kalau saya sudah suka sesuatu barang, saya akan berusaha untuk mendapatkannya dengan apa cara pun," ujar Anne yang akan disatukan dengan cinta hatinya, Nik Mahathir Zainudin, 33.

Terang Anne yang bakal diijabkabulkan dengan jejaka yang berjaya bertakhta di hatinya pada 12 Jun ini di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM4,000 kerana kehilangan kain-kain itu.

Namun, semua itu dianggap Anne sebagai dugaan kecil dan dia percaya ada hikmah disebalik semua itu.

Hiba meniti hari bahagia

Walau agak gentar untuk melangkah ke alam rumah tangga, namun pengendali segmen Hot FM Zone pukul 8 hingga 12 tengah malam bersama Ikhwan ini sentiasa ceria menguruskan perkahwinan idamannya.

Di sebalik seri bakal pengantin ini, terselindung rasa sedih dan sayu mengenangkan insan yang paling rapat dengannya tiada di sisi dalam merencanakan hari bahagianya itu.

Insan yang dimaksudkan ialah Raja Norhizam Raja Adnan, bonda tersayang Anne yang kembali ke rahmatullah sejak empat tahun lalu akibat penyakit jantung.

Merupakan anak bongsu daripada dua beradik, kehilangan bondanya amat dirasai buat masa ini memandangkan dia bukan sekadar seorang ibu, malah teman yang paling rapat buat Anne.

Ketika hayat ibunya, Raja Norhizam sering berada di sisi Anne ketika membuat sebarang keputusan besar dalam hidup anaknya itu.

Lalu, apabila tiba saat-saat sebegini, air mata Anne sering tertumpah mengenangkan dia harus melalui semua ini dan membuat keputusan seorang diri.

"Ada masa saya tertekan menguruskan semua ini, saya menangis. Saya pernah berasa lemah dan patah semangat memikirkan pelbagai benda yang perlu diuruskan sendirian tanpa mama di sisi.

"Tetapi saya beruntung kerana punya abang, kakak ipar dan saudara-mara yang banyak membantu saya dan sentiasa memberi sokongan untuk saya terus kuat," ujar Anne ketika ditemui di sebuah sesi fotografi yang diadakan di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Anne, dia dan Nik akan bersanding pada 13 Jun di di Kelab Golf Perkhidmatan Awam bertemakan warna merah jambu dan perkahwinan dalam taman.

Majlis sebelah lelaki pula akan diadakan di kediaman keluarga Nik di Bukit Indah, Ampang, Selangor pada 19 Jun yang bertemakan warna biru dan mengetengahkan ciri klasik dan tradisional.

Melihat Nik yang bekerja sebagai pereka grafik untuk agensi berita Al Jazeera dan Anne ketika berada sesi fotografi, ternyata jelas kelihatan keserasian antara mereka berdua.

Namun, Nik ternyata agak kontra dengan sifat Anne apabila dia lebih banyak memberikan senyuman dan berdiam diri manakala Anne pula mulutnya saling tidak ubah seperti bertih jagung.

Menurut Nik, perbezaan antara mereka berdualah yang membuatkan mereka umpama saling melengkapi kerana walau berbeza mereka sentiasa memahami dan dpat menerima perangai masing-masing.

"Anne seorang berazam tinggi dalam mencapai apa yang dia inginkan, rajin, sentiasa ceria, ramah dan personalitinya itu membuatkan saya terpikat dengannya.

"Bukan rupa paras yang saya pandang tetapi kualiti dan personaliti dalamannya yang menjadi keutamaan saya dan Anne memiliki ciri-ciri wanita idaman saya," ujar Nik yang turut bercerita dia merisik Anne pada 28 November tahun lepas dan mereka membuat keputusan untuk tidak mengikat tali pertunangan.

Bagi Anne pula, dia yang ramah ini menyukai Nik yang pendiam, penyabar, rajin dan amat memahami dirinya dan kerjayanya yang ternyata sungguh sibuk.

Menyambung bicara, menurut Nik, detik perkenalan antara mereka berdua bermula lima tahun lalu apabila kedua-dua mereka bekerja di bawah satu bumbung iaitu MiTV yang beroperasi di KL Plaza.

Anne yang pada waktu itu bertugas sebagai penerbit dan Nik pula sebagai pereka grafik senior sering bekerjasama dan lama-lama mereka menjadi rapat.

Dari keluar makan bersama sebagai rakan sekerja, sering berkongsi cerita, akhirnya ia membuahkan bibit-bibit cinta, namun merek sendiri tidak tahu tarikh sebenar mereka berikrar menjadi pasangan kekasih.

Anne enggan ditaja

Selalunya, apabila mendengar ada selebriti yang ingin menamatkan zaman bujangnya, pasti ada tajaan mana-mana syarikat yang akan terlibat memeriahkan majlis mereka.

Berbeza dengan Anne, dia mahu segalanya dilakukan sendiri dan datang daripada hasil titik peluh sendiri.

Bahkan dia sendiri menguruskan segalanya tanpa mengupah perancang perkahwinan.

Dari konsep, pakaiannya dan pengiringnya, bunga hiasan, hidangan, jurugambar, semuanya Anne yang tentukan sendiri dan mengeluarkan duit mereka sendiri.

Berpengalaman menguruskan perkahwinan abangnya, Anne gemar melayari internet untuk mendapatkan idea serta melihat blog-blog berkaitan dengan perkahwinan yang baginya cukup menarik.

"Cuma pelamin sahaja ditaja oleh Butik Dina Halim. Itupun kebetulan kerana rupa-rupanya pemilik butik itu pernah menjadi rakan serumah saya ketika kami sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

"Pada mulanya saya dan kakak ipar saya mengunjungi butik itu di Rawang kerana tertarik dengan pelaminnya yang saya lihat dalam blognya.

"Itu sahaja yang ditaja, itupun kerana rakan saya itu bersungguh-sungguh ingin menajanya memandangkan kami pernah rapat dahulu," ujar Anne yang akan menggayakan busana rekaan Arma Wedding Couture pada majlis persandingannya nanti.

Kata Anne, menguruskan perkahwinan sendiri tanpa ditentukan oleh orang luar lebih memberikan kepuasan kepadanya kerana ia akan menepati apa yang mereka berdua idamkan untuk majlis mereka.

Pada hari persandingannya, Anne menjelaskan, acara, resepsi anjuran keluarganya bertemakan perkahwinan dalam taman. Acara berkenaan katanya, akan diadakan serba sederhana tetapi meriah.

Menariknya kata Anne, dia tidak perlu pening memikirkan siapa yang perlu dijemput untuk menghiburkan tetamunya nanti kerana ahli keluarga khususnya saudara mata ibunya ramai yang boleh menyanyi, bahkan ada yang mempunyai kugiran sendiri.

Pada majlisnya nanti, saudara-maranya sendiri akan menghiburkan tetamu dan Leya, rakan setugasnya di Hot FM turut berjanji akan menyampaikan sebuah lagu pada hari bahagianya nanti.

"Daripada sepupu sehinggalah makcik dan pakcik saya, ramai yang boleh menyanyi dan bermain muzik. Saya jamin tetamu saya nanti pasti terhibur dengan persembahan mereka.

"Matlamat saya dalam menyempurnakan majlis saya nanti agar semua yang hadir gembira terutamanya ahli keluarga saya yang banyak membantu saya," ujar Anne yang sudah empat tahun bersama Hot FM.

Anne dan bakal suaminya yang merancang untuk menunaikan umrah sebaik selesai hari bahagia mereka juga akan berpindah ke kondominium di Segambut yang dibeli mereka berdua.

Pada majlis pernikahannya nanti, Anne akan menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan selain wang hantaran berjumlah RM11,181 iaitu simbolik hari kelahiran Anne pada 11 Januari 1981.

Guru lepasan ijazah jadi rebutan


Sebahagian daripada 263 graduan gembira pada Konvokesyen Institut Perguruan Kampus Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 30 Mei - Bidang perguruan semakin mendapat perhatian masyarakat khususnya di kalangan generasi muda apabila jumlah siswazah yang memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kian bertambah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pihaknya menerima 40,000 permohonan KPLI setiap tahun iaitu jumlah yang sangat ramai.

''Selain siswazah, KPLI turut menjadi buruan golongan yang telah bekerja dan sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam, jurutera, pegawai eksekutif dan pensyarah bergaji lebih lumayan untuk menjadi seorang guru.

''Perkembangan ini amat menakjubkan kerana mereka sanggup mengorbankan kerjaya yang telah diterokai dan melepaskan gaji tinggi semata-mata menjadi guru," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvokesyen kali ke-47 Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim.

Dalam pada itu, Alimuddin meminta guru pelatih menunjukkan kesungguhan yang berterusan selepas bergelar guru dengan mengajar murid-murid daripada pelbagai latar belakang dengan ikhlas.

''Sekiranya teori dan praktikal semasa latihan gagal diaplikasikan, rujuk dengan guru-guru yang lebih berpengalaman," katanya.

Sementara itu, seorang graduan dan bapa kepada tiga anak dianugerahkan Pelajar Cemerlang Kokurikulum apabila berjaya menyeimbangkan di antara akademik dan aktiviti luar.

Shahrul Nizam Shahlan, 32, mengakui untuk menyeimbangkan akademik dan kokurikulum memang meletihkan.

Sebelum mengikuti KPLI, Shahrul Nizam memegang jawatan Pengurus Keselamatan di Johor Bahru selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Teknologi Percetakan dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Seorang lagi pelatih yang juga bekas Eksekutif Pemasaran Takaful Malaysia cawangan Kota Bharu, Mahani Mat Deris, 33, berkata, dia sanggup meninggalkan jawatan dan gaji lumayan semata-mata untuk menjadi guru.

''Guru adalah cita-cita sejak kecil dan apabila anak-anak semakin membesar, kerjaya ini paling sesuai kerana mempunyai lebih banyak masa dengan mereka," katanya yang dianugerahkan sebagai Pelajar Cemerlang Praktikal.

Penerima Anugerah Pencapaian Terbaik Keseluruhan, Aminah Sabtu, 29, berkata, dia pernah kecewa apabila permohonannya sebelum ini untuk memasuki maktab perguruan ditolak.

Namun dia tidak berputus asa dan kesabarannya itu berbaloi apabila hari ini, selain anugerah itu dia turut menerima anugerah Pelajar Cemerlang Akademik.

Aminah kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Batu Unjur, Klang, Selangor sebagai guru bimbingan dan kaunseling.

Adam terus mengorak langkah



Bukan mudah bergelar bintang apatah lagi lahir dari program realiti TV, hakikat itu diakui sendiri pemilik nama Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman yang lahir dari Akademi Fantasia (AF2) musim kedua.

Setelah berusaha mencipta nama dan mempunyai golongan peminat tersendiri, Adam, 27, boleh menarik nafas lega kerana masih dikenali walaupun setelah enam tahun musim AF2 berlalu.

Walaupun cuma mendapat tempat ketiga dalam program realiti itu, Adam ternyata mengatasi populariti juaranya.

“Adam anggap ini rezeki masing-masing, Adam tak pernah berbangga diri kerana masih dikenali, tetapi Zahid pun masih ada golongan peminatnya dan masih dikenali tapi yang Adam boleh kata rezeki masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tak Tahu, Joget Lambak dan Robot ini dikhabarkan dalam proses menyiapkan album keempatnya yang dijangka akan dilancarkan sekitar Julai atau Ogos tahun ini.

Menariknya, bagi percubaan pertama untuk berdiri di atas kaki sendiri, Adam menjadi komposer, penulis lirik dan juga penerbit untuk albumnya kali ini.

“Bukanlah mahu bersikap tamak atau terlalu yakin dengan diri sendiri, tetapi Adam mahu berdikari untuk menerbitkan album Adam sendiri dan dibantu beberapa individu lain,”

“Tetapi Insya-Allah, album Adam mungkin akan diedarkan oleh KRU, malah mereka sentiasa memberi sokongan kepada Adam untuk menerbitkan album Adam sendiri,” katanya yang menafikan mahu membawa diri kerana kemunculan bintang-bintang AF8 yang baru.

Adam berkata tidak timbul isu membawa diri atau merajuk kerana mengibaratkan dirinya seperti anak yang sudah dewasa dan perlu hidup berdikari.

“Tak timbul isu Adam merajuk atau rasa tergugat dengan kehadiran bintang-bintang AF, cuma Adam rasa sudah tibanya masa Adam berdikari dan KRU sendiri tidak menghalang hasrat Adam itu,” katanya yang kini muncul dengan single terbaru, Tension.



Persediaan menghadapi konsert

Demi menghargai peminat-peminat yang banyak menyokong kariernya, Adam kini dalam proses persiapan mengadakan konsert jelajah, Adam Empire Tour – Borneo Edition yang dijangka akan bermula selewat-lewatnya September ini.

Adam berkata, konsert edisi pertama, fasa pertama itu akan memulakan jelajahnya di Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Semporna manakala fasa kedua di Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu. Fasa ketiga di Sepitang, Labuan, Keningau, dan kemuncaknya di Kota Kinabalu (KK) dan dijangka pada malam tahun baru.

“Apa yang menarik, konsert ini akan diadakan ala karnival di mana pada siang hari akan diadakan jualan oleh pihak penaja manakala konsert Adam akan diadakan pada sebelah malamnya,”

“Bukan mahu pilih kasih, selain permintaan penaja untuk lakukan konsert di Borneo dahulu, Adam mengibaratkan persembahan pada konsert di Borneo seperti ibarat burung pulang ke sarang, selepas selesai di Borneo baru Adam akan buat jelajah di Semenanjung untuk edisi kedua pula,” katanya yang turut menjangkakan akan merasmikan syarikatnya, Aico Empire Group di KK.



Tidak layan gosip liar

Bukan mudah menjalani kehidupan sebagai individu yang dikenali, ada harga yang perlu dibayar atas populariti yang dimiliki. Malah Adam juga tidak terlepas terkena tamparan gosip liar yang dihalakan dalam kehidupannya.

Bukan setakat dikatakan gay kerana memiliki muka ‘jambu’ tetapi Adam juga turut dikatakan ditaja, mempunyai Sugar Mummy dan juga playboy.

Titik permulaan kepada bintang AF

Setelah lebih kurang seminggu konsert akhir Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) berlalu, namun kehangatannya masih belum padam bagi segelintir peminat AF.

Ternyata demam AF masih belum kebah setelah keputusan yang diperolehi juga nampaknya tidak terlalu dipertikaikan peminat yang selama ini menyokong 10 minggu siarannya.

Berikutan rating konsert AF8 yang dikatakan mencecah lebih kurang 1.2 juta penonton, maka tidak salah percaturan Astro Entertainment Sdn Bhd. (AESB) dalam membuat pelaburan menerbitkan single untuk kesemua dua belas pelajar itu.

Album yang berjudul AF8 Hits yang merangkumi semua single itu sudah ada di pasaran sejak 23 Mei lalu di seluruh Malaysia.

Pengarah Eksekutif AESB, Zainir Aminullah berkata, penghasilan album kompilasi single bagi 12 bintang AF ini sebagai titik permulaan dan platform kepada mereka dalam mengetengahkan diri di persada seni.

Antara lagu yang terkandung dalam album ini Berakhir Sebelum Bermula oleh Anum, Hati Hati nyanyian Ema, Bernafas Lagi oleh Shah, Aku Sudah Merdeka daripada Nad, Bangun Semula oleh Aif, Kebahagiaan Dalam Perpisahan iaitu Shahir, Hujung Minggu nyanyian Farina, Kenapa oleh Daus, Penanggung Sepi oleh Ain, RSVP nyanyian Maulana dan V.I.P dendangan Iwan.

Sementara itu, bagi pihak AESB yang mungkin akan bekerjasama dengan KRU Production bagi satu jangka masa panjang sangat mengharapkan perkembangan bakat bintang-bintang ini akan dapat diperkembangkan kepada bidang lain seperti lakonan.

Bagi menghangatkan lagi rangka promosi Album AF8 Hits, satu program jelajah akan bermula pada 12 Jun di Selayang Mall, 13 Jun (KL Sentral, KL), 19 Julai (Terminal One, Seremban), 17 Julai (Mahkota Parade, Melaka) dan 24 Julai (Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang).

Watie: Hentikan Tohmahan Atau Dia Ambil Tindakan

ISTILAH kontroversi memang tidak asing bagi anak kelahiran Sungai Besar, Selangor ini. Sejak kembara seninya bermula sebagai anggota kumpulan pop Elite hampir 15tahun lalu, Watie Sadali terus dihujani pelbagai cerita dan persepsi serong masyarakat.

Baru-baru ini, pelakon Gelora Di Hati Sara 2 ini diuji lagi dengan penyebaran gambarnya pada sebuah majlis hari jadi di internet selain dakwaan kononnya dia menghidap Hepatitis. Lebih memburukkan keadaan, impak daripada fitnah itu menjejaskan tawaran lakonan padanya.

"Saya kesal dan kecewa dengan tohmahanpihak yang mendakwa saya menghidappenyakit berjangkit baru-baru ini.Kesannya, tawaran lakonan yang diterimaterus merudum. Jika benar saya disahkanmenghidap penyakit berbahaya, tidakmungkin pihak hospital membenarkan sayakeluar selepas beberapa hari sahaja ditahan.

"Mungkin banyak produksi masih tidaktahu status sebenar kesihatan saya ekoranfitnah itu. Terus-terang, saya tidak sakitseperti yang didakwa, hanya gastrik sahaja.Kini, saya sudah sembuh sepenuhnya daningin kembali bekerja," jelasnya.

Setelah sekian lama tunduk bersabar, Watie bertekad untuk tidak beri muka lagi pada pihak yang sengaja 'memalit lumpur' hingga menjejaskan periuk nasinya.

"Selama ini, saya hanya diamkan diri dengan apa jua fitnah atau cerita-cerita buruk mengenai saya yang ditokok-tambah daripada fakta sebenar. Namun, nampaknya tindakansaya mendiamkan diri memberi kesan pada periuk nasi saya.

"Saya tidak mahu beri muka lagi pada mana-mana pihak yang sengaja mencemar nama saya. Bukan saya suka-suka cari kontroversi. Banyak kontroversi yang melanda datangnya daripada persepsi serong dan hasad dengki segelintir pihak terhadap saya. Selepas ini, saya pasti akan ambil tindakan jika cerita-cerita buruk terus dilemparkan," tegas Watie.

Alyah Juara Malam Kemuncak Gah 1

Datuk Seri Dr Rais Yatim (dua, kiri) memberi tepukan kepada penyanyi baru, Alyah (kanan) yang muncul juara GAH1 sempena Malam Kemuncak GAH1 di Surf Beach Sunway Lagoon, malam tadi. Turut kelihatan ialah Ajai (kiri) yang merupakan pencipta lagu Tak Mungkin Kerana Sayang

PETALING JAYA: Penyanyi berbakat besar, Alyah menjadi juara keseluruhan pada Malam Kemuncak Gah 1 musim ketujuh yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, malam tadi.

Lagu Tak Mungkin Kerana Sayang (komposer: Ajai / penulis lirik: Habsah Hassan) dendangan juara pusingan ke-4 itu membolehkannya menjuarai Anugerah Lagu Terbaik Gah 1 dan Anugerah Persembahan Terbaik.

Ini bermakna Alyah mengikuti jejak langkah juara terdahulu seperti Misha Omar menerusi lagu Pulangkan pada musim pertama, Jaclyn Victor (musim kedua), Yazer dan Hazama - Lagu Jiwa Lagu Cinta (musim ketiga), Adibah Noor - Terlalu Istimewa (musim keempat), Ramlah Ram - Ketentuan (musim kelima) dan Meet Uncle Hussain - Lagu Untukmu (musim keenam).

Alyah membawa pulang hadiah berjumlah RM50,000 iaitu RM40,000 untuk Anugerah Lagu Terbaik dan RM10,000 (Persembahan Terbaik) yang disampaikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Barisan juri yang menilai persembahan sekaligus memilih lagu terbaik adalah Johari Salleh, Datuk David Arumugam, Khairil Johari Johar, Adnan Abu Hassan dan Razlan.

Alyah dalam sidang akhbar memberitahu, dia bersyukur atas kemenangan yang tidak dijangkakannya itu.

"Alyah tidak pernah jangka, tidak pernah jangka, tidak tahu nak cakap apa-apa..tak target apa-apa. Saya menyanyi lagu itu kerana ia merupakan lagu terakhir yang akan dipertandingkan. Jadi saya memberikan persembahan terbaik.

"Semasa menyanyi lagu itu, saya bayangkan saya dikenali dengan lagu ini. Bila lagu ini tak dipertandingkan lagi, jadi saya bayangkan macam mana saya boleh naik, dengan promosi dan tak ada duit, dengan susah payah sayalah.. itulah yang memberikan saya kekuatan," katanya kepada pemberita.

Hampir 10,000 penonton membanjiri taman tema air terbesar negara itu bagi menyaksikan pertandingan berprestij anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) tersebut.

Acara karpet jingga turut diadakan bagi menambahkan kemeriahan majlis itu. Warna jingga dipilih bersesuaian dengan warna rasmi saluran penyiar utama iaitu saluran TV2.

Sementara itu, Misha Omar merangkul anugerah Lagu Terbaik Tempat Kedua menerusi lagu, Cinta Adam dan Hawa (komposer: Azmeer / penulis lirik: Loloq).

Misha yang tidak dapat hadir diwakili oleh Juara Bintang RTM edisi 2009, Nur Ernie Shahirah Zakri atau Ernie untuk membuat persembahan.

Misha memperoleh hadiah sebanyak RM30,000 atas kemenangannya itu.

Dalam pada itu, kumpulan 6ixth Sense mengulangi pencapaian musim lalu apabila sekali lagi menggondol anugerah Lagu Paling Popular Pilihan SMS.

Kumpulan handalan itu meraih habuan bernilai RM20,000.

Selain wang tunai, pemenang bagi setiap kategori turut menerima sijil penyertaan berserta trofi kemenangan.

Sebanyak sembilan lagu tersenarai ke peringkat akhir. Ini termasuklah Cinta Adam Dan Hawa nyanyian Misha Omar, Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Rawan (Azharina), Bencinta (Faizal Tahir) dan Rindu Terhenti yang dipopularkan oleh Tomok.

Lain-lain lagu termasuk Khatimah Cinta (6ixth Sense), Pakai Buang (Stacy), Cinta Gila (Grey Sky Morning) dan Menggegar Dunia nyanyian duet Adam dan Stacy.

Lagu-lagu yang dipertandingkan merupakan ciptaan komposer-komposer terkenal tanah air iaitu Ajai, Habsah Hassan, Loloq, Hazami Aubrey Suwito dan Asmin Mudin.

Nadia Mustafa Dikuarantin Kerana Anak-Anaknya Terkena H1N1

Nadia Mustafa berlakon dalam Slot Lagenda, Siong.

KUALA LUMPUR: Pelakon drama popular, Nadia Mustaffa buat masa ini terpaksa mengkuarantinkan diri di rumah bersama suami kerana anak-anak kecilnya dijangkiti virus H1N1.

Dia berkata, tindakan berjaga-jaga itu diambil selepas anak perempuan, Qaisara Hazil Izham, 2, dan anak lelaki, Qaliss Hazil Izham, 1, dikenal pasti dijangkiti virus berbahaya itu pada Ahad lalu.

Bagaimanapun kata Nadia, anak-anaknya telah dibenarkan keluar dari hospital Pantai Cheras pada Khamis lalu.

"Mereka dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu dan empat hari kemudian, mereka dibenarkan keluar dari hospital. Tidak lagi dikenakan drip dan mereka dah boleh minum susu.

"Walaupun dah empat hari, saya tidak boleh keluar dari rumah," katanya kepada mStar Online di sini, semalam.

Nadia yang sedang mengambil cuti sakit berasa hairan bagaimana dua anaknya boleh dijangkiti virus H1N1 itu kerana mereka tidak dibawa keluar dari rumah selama dua minggu sebelum itu.

Katanya, sanak-saudara pernah datang melawat tetapi mereka tidak dikesan membawa virus tersebut selepas pemeriksaan kesihatan dibuat.

"Pada Ahad lalu, Qaisara mengalami demam panas secara mendadak. Suhu badannya mencecah 40 darjah celsius. Dalam tempoh lima jam kemudian, adiknya Qalis pun kena mengalami simptom yang sama iaitu demam panas secara mendadak, batuk dan selesema.

"Saya cepat-cepat membawa mereka ke hospital kerana mengesyaki dijangkiti virus H1N1. Bila periksa di hospital, doktor mengesahkan anak-anak saya dijangkiti H1N1," ujarnya yang turut berlakon dalam sketsa dan komedi terbaru, Terbelahak.

Nadia berkata, pemeriksaan doktor bagaimanapun mendapati dia dan suaminya pula tidak dijangkiti virus yang boleh mendatangkan maut kepada pesakit.

Dalam pemeriksaan perubatan terbaru yang dilakukan, aktres jelita itu berkata, dia berkeadaan baik dan hanya mengalami selesema.

Tambah Nadia, dia memakan vaksin serta Vitamin C serta minum banyak air untuk memastikan badannya mempunyai antibodi yang kuat.

Nadia mengakui cuti sakitnya itu telah mengganggu penggambarannya dalam satu telefilem.

Aznil: Shahir Lambat Pasang Gear Lima

PENGKRITIK tetap Akademi Fantasia 8, Aznil Nawawi atau lebih mesra disapa Paknil semasa konsert akhir program realiti itu pernah berkata dia tidak akan mempertikaikan apa-apa sekiranya Adira dinobatkan sebagai juara AF8.

Kesudahannya adalah Shahir menjuarai AF8 pada malam itu dengan meraih undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi iaitu melebihi 43 peratus.

Aznil yang juga penyampai Pagi Bersama Era menjelaskan AF ini adalah bergantung kepada undian SMS dan oleh itu, tidak akan mempertikaikan keputusan pengundi.

"Yang mengundi adalah mereka yang menyokong Shahir. Jadi kita tak boleh mempertikaikan kemenangan Shahir.

"Sebab dari segi persembahan, dia telah melonjakkan kebolehannya. Dari minggu-minggu awal lagi, dia tidak menunjukkan persembahan yang memberangsangkan....dia nie kira macam orang yang lambat bermula.. lambat pasang gear lima," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Menurut Paknil, Shahir hanya mempamerkan kehebatan sebenarnya pada penghujung program realiti kegemaran ramai itu.

"Pada konsert ke-9 baru nampak 'tembelang'nya. Jadi, ini adalah kaitannya dengan pengundi... Mereka yang akan mengundi Shahir. Mereka juga yang akan membeli album Shahir. Jadi kita tak boleh mempertikaikanlah," katanya.

Dengan kemenangan itu, Shahir, 22, membawa pulang kereta Peugeot 207 tajaan Nasim Sdn Bhd, percutian hebat ke Hong Kong Disneyland, bekalan BRAND's Innershine selama setahun tajaan Cerebos, dua tiket pelancongan ke New York tajaan Maybelline New York dan set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo.

Dia turut memperoleh jam tangan lelaki dan wanita jenis Hugo Boss tajaan AD Time, Coway Air Purifier-Lombok tajaan Coway, percutian tiga hari dan dua malam di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG Electronics dan trofi juara Akademi Fantasia.

Peserta yang berasal dari Kampar, Perak ini pernah tersingkir pada Debaran AF8 minggu ketujuh tetapi diundi masuk ke akademi menerusi AFundi Masuk pada minggu berikutnya.

Dalam persembahan akhirnya, Shahir membawakan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan (komposer dan lirik oleh Edry KRU) dan Biru Mata Hitamku (Wings) sehingga menambat hati para penonton untuk mengundinya.

Lambat kesan punca merebak


PENDUDUK kampung dan nelayan giat membantu membersihkan tumpahan minyak di kawasan persisiran pantai Tanjung Ayam, Pengerang, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI - Kegagalan pihak-pihak berwajib mengesan pergerakan sisa tumpahan minyak lebih awal dikenal pasti sebagai punca sisa berkenaan memasuki perairan negara sekali gus menjejaskan persisiran pantai Pengerang di sini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, pergerakan tumpahan minyak yang memasuki perairan negara itu dikesan agak lewat lantaran cuaca buruk dan keadaan laut yang bergelora.

Katanya, keadaan menjadi lebih buruk ekoran kegagalan boya-boya yang dipasang menyekat 'kemaraan' sisa tumpahan minyak selain teknik penyuraian minyak yang digunakan kurang berkesan.

"Ketika ini, pelbagai pihak sedang memainkan peranan masing-masing bagi memastikan perkara ini diatasi segera," katanya selepas melawat beberapa pesisiran pantai yang terjejas akibat tumpahan minyak di sini semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Rosnani Ibrahim.

Sebelum itu, Douglas bersama pelbagai agensi seperti JAS, Jabatan Laut, polis dan Jabatan Perikanan menghadiri satu taklimat khas mengenai perkara itu.

Mengenai kegagalan boya-boya dan teknik penyuraian yang digunakan, Douglas berkata, teknik itu masih merupakan yang terbaik bagi memastikan situasi tidak bertambah teruk.

Penduduk bantah bagi kepada bukan Melayu


CADANGAN pembangunan Kampung Baru dibuka kepada bukan Melayu dan pelabur asing dibantah oleh penduduk kampung itu.


KUALA LUMPUR - "Jangankan 40 peratus, seinci tanah Kampung Baru pun akan kami pertahankan daripada statusnya diberi kepada bukan Melayu."

Demikian tegas sebilangan besar anak jati kampung tradisional Melayu itu yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai cadangan supaya 40 peratus pemilikan hartanah kampung tersebut dijual kepada golongan bukan Melayu.

Mereka berpendapat, biar pun cadangan itu bertujuan untuk pembangunan dan pemodenan namun, bagi mereka, Kampung Baru merupakan satu-satunya rizab Melayu yang tidak wajar dikorbankan.

Ahmad Sabir Mukisan, 34, yang terkejut dengan cadangan itu berkata, ia satu-satunya tanah rizab Melayu di ibu negara yang tidak wajar diganggu.

"Kalau tanah ini mahu diusik, mana lagi orang Melayu hendak pergi," katanya yang lebih 30 tahun menetap di situ.

Rakannya, Mohd. Fazli Talib, 42, yang memiliki sebuah bengkel motosikal pula menegaskan, cadangan itu seolah-olah isyarat untuk mengusir penduduk keluar dari kawasan itu secara perlahan-lahan.

"Mula-mula hanya 40 peratus tetapi perlahan-lahan pemilikannya akan berkembang tanpa sesiapa menyedarinya dan akhirnya mereka akan menjadi majoriti," katanya.

Abdul Ghani Mohd. Noor, 46, berkata, cadangan itu bagai dijangka kerana banyak pihak tidak sabar untuk menukar wajah Kampung Baru menjadi kawasan pembangunan moden.

Raja Pot diserang hendap


ROSLAN menunjukkan barang yang dirampas daripada Raja Pot yang ditahan di Kampung Geluguh, Binjai Rendah, Marang baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket dadah terbesar di negeri ini dengan tertangkapnya seorang pengedar yang dikenali sebagai Raja Pot dalam satu serbuan di Kampung Geluguh, Binjai Rendah, Marang dekat sini Khamis lalu.

Turut ditahan dalam operasi khas pada pukul 11 malam itu ialah dua pembantu kanan Raja Pot berusia 30 dan 40 tahun selain merampas 35.79 gram dadah jenis heroin gred 4 bernilai RM11,200 dan wang tunai berjumlah RM13,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, drama penahanan Raja Pot dan dua lagi suspek lain bermula apabila polis menyerang hendap kenderaan suspek hasil maklumat orang ramai.

Menurut beliau, semasa kejadian, anggota sindiket dadah terkenal di negeri ini dipercayai baru pulang dari negara jiran selepas mendapat bekalan dadah.

Katanya, selepas menunggu hampir lima jam di Kampung Geluguh, sepasukan pegawai dan anggota polis menyerang hendap dan mengepung sebuah kereta Perodua Viva yang dinaiki suspek dan dua rakannya.

"Polis kemudian meminta ketiga-tiga lelaki dalam kereta itu supaya menyerah diri, namun rakan Raja Pot yang memandu kereta tersebut telah mengundur kenderaan itu sebelum terlanggar tiang lampu di tepi jalan.

"Apabila cubaan itu gagal, mereka cuba pula memandu laju ke depan namun polis yang bersedia lebih awal telah mengepung laluan depan termasuk menggunakan sebuah kenderaan berat.

"Pada waktu itu, ketiga-tiga suspek masih enggan keluar dari kereta dan mengunci dari dalam," kata Roslan pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, tindakan Raja Pot dan rakannya yang mengunci kereta dari dalam menyebabkan polis terpaksa memecahkan cermin kereta tersebut sebelum menahan suspek-suspek itu.

Kata beliau, Raja Pot yang berasal dari Alur Limbat di sini dan berusia dalam lingkungan 30-an sebelum ini pernah cuba merempuh pegawai dan anggota polis dalam satu operasi di Kampung Tebakang, Marang pada 13 Mei lalu.

Roslan memberitahu, suspek digelar Raja Pot kerana dia berjaya menguasai pasaran dadah empat daerah utama di negeri ini menerusi rangkaian pengedaran dadah yang terancang.

Raja Pot ialah pengedar heroin terbesar di Terengganu dan menguasai empat daerah iaitu Marang (Tebakang), Dungun (Jerangau Barat), Hulu Terengganu (Bading) dan Kuala Terengganu.

"Selain itu, dia juga mempunyai antara 150 hingga 200 orang penagih selain sering berulang-alik ke sempadan Thailand untuk mendapatkan bekalan dadah dengan nilai transaksi mencecah RM100,000 seminggu," ujar beliau.

Alyah juara GAH 1


ALYAH (dua dari kanan) dan Ajai (kanan) bersama para pemenang lain selepas Pertandingan GAH 1 di Sunway Lagoon, Petaling Jaya malam tadi.


PETALING JAYA - Lagu Tak Mungkin Kerana Sayang membawa tuah kepada penyanyi Alyah apabila berjaya menggondol Anugerah Lagu Terbaik dan juga Persembahan Terbaik pada Pertandingan GAH 1 terbitan RTM di Sunway Lagoon di sini malam tadi.

Lagu yang dicipta oleh Ajai dan lirik oleh Habsah Hassan itu membawa pulang wang tunai RM40,000 bagi kategori Lagu Terbaik dan RM10,000 untuk Persembahan Terbaik selain trofi dan sijil.

Penyanyi baru Erni yang menggantikan penyanyi asal Misha Omar untuk lagu Cinta Adam dan Hawa pula berjaya mengungguli tempat kedua dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

Sementara itu, kumpulan 6ixth Sense berjaya membawa pulang RM20,000 apabila lagu popular mereka, Khatimah Cinta dipilih Lagu Paling Popular pilihan SMS.

Pertandingan GAH 1 yang sebelum ini dikenali sebagai Hitz 1 Gah 1 dinilai oleh barisan juri profesional dan dikendalikan oleh dua pengacara remaja iaitu E'One dan peserta Bintang RTM 2004, Eyeja Arshad.