ALOR SETAR - Nasi lemak 70 sen di Kedai Pak Mat Kopi, Jalan Sultanah Sambungan, di sini, menjadi tumpuan penduduk tempatan disebabkan harga murah.
Menurut peniaga, Ahmad Kp Abdullah, 58, yang juga dikenali sebagai Pak Mat Kopi, dia menjual aneka nasi lemak pada harga 70 sen sahaja.
“Alhamdulillah, sambutan pelanggan terhadap nasi lemak 70 sen ini sememangnya baik. Mana-mana pelanggan tetap akan datang beli setiap hari.
“Setiap hari, kira-kira 150 bungkus nasi lemak dijual di gerai kami yang beroperasi di Taman Wira Blok B seawal jam 5 pagi hingga 12 tengah hari untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Menurutnya, dia menjual nasi lemak ayam, udang, bilis telur, bihun dan mi goreng pada harga 70 sen di kawasan itu sejak beberapa tahun lepas.
“Ketika awal berniaga sekitar 1994, nasi lemak dijual kira-kira 50 sen sebungkus. Setelah sekian lama, nasi lemak itu masih dijual murah untuk pelanggan. Saya belum ada perancangan menaikkan harganya,” katanya.
Seorang pelanggan, Dol Mohammad, 47, berkata, harga nasi lemak 70 sen itu merupakan antara termurah di sekitar Bandaraya Alor Setar, malah sukar lagi mencari nasi lemak dengan harga sedemikian.
Menurutnya, dia berasakan nasi lemak dijual bukan hanya murah dan sedap, malah mampu menjadi alas perut kepada penduduk tempatan.
Bagi Norizan Abdul Rahman, 48, dengan keadaan ekonomi semasa, harga nasi lemak di kedai itu sememangnya membantu meringankan beban penduduk.
Katanya, dia berasakan nasi lemak yang dijual berpatutan dan membantu keluarga yang memiliki anak ramai antara tujuh hingga lapan orang.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid berkata, dia tidak menyangka masih ada peniaga mampu menjual nasi lemak dengan harga serendah 70 sen berbanding di tempat lain.
Tambah Mohd Kholib, pihaknya berharap tindakan diambil Pak Mat Kopi mampu menjadi contoh kepada peniaga lain untuk menjual murah demi membantu penduduk.